PETALING JAYA - Ketua Srikandi PKR, Senator Siti Aisyah Shaik Ismail mencabar Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, agar berani menegur pucuk kepimpinan negara jika mereka melakukan kesalahan.
"Dia orang Melaka, tapi sibuk hendak campur tangan urusan Selangor. Dia kata YB Azmin (Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) penakut, dan tidak boleh buat keputusan.
"Saya nak tegur Ketua Puteri Umno, kamu cakap Azmin penakut, tapi dia (adalah) menteri besar, dia jaga negeri dengan baik. Kamu ketua puteri, tapi menikus apabila pemimpin kamu mencuri dan berbuat maksiat," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-12.
Katanya, jika begitu sikap pemimpin Umno, maka rakyat perlu pastikan ketua wanita Umno tumbang di Melaka pada pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, Siti Aisyah mahu wanita PKR bangkit merawat virus yang sedang merebak dalam negara.
"Kita tahu negara kita sedang dijangkiti satu virus yang dibawa oleh satu bakteria yang mana mereka ni sedang melakukan gerak kerja di peringkat bawah yang mensasarkan pengundi wanita dan orang Melayu bagi memastikan mereka kekal berkuasa dalam pilihan raya.
"Adakah kita akan membiarkan Umno dan BN terus menipu golongan wanita? Adakah kita akan terus membiarkan wanita Umno menipu wanita lagi?,"katanya.
Katanya, bila ada virus harus ada vaksin. Wanita PKR perlu jadi penyampai yang baik dan turun padang bertemu rakyat dan beritahu semua kaum, Cina India Melayu, agar tidak lagi takut membawa perubahan.
"PKR akan pastikan parti ini memimpin lebih baik daripada Umno dan BN.
"Rakyat selalu merungut, kalau dulu kata hendak berjuang untuk rakyat tapi bila sudah menang, rakyat jadi nombor dua. Akhirnya bila rakyat menderita, rakyat buat keputusan wakil rakyat itu perlu dikembalikan menjadi rakyat," katanya.
Tambahnya, rakyat mahukan seorang tokoh. Apa juga yang berlaku Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibebaskan
"Bebaskan Anwar kerana dia bakal pemimpin kita. Ketepikan persengketaan, salah faham dan bersatu dalam pilihan raya. Tumbangkan BN.
"Kita bina Malaysia yang lebih baik. Jangan cari parti lain Kerana PKR adalah parti masa depan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan