GUA MUSANG - Pengalaman melahirkan anak di dalam kereta ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan dalam proses kelahiran anak kedua wanita ini.
Mana tidaknya, Nurul Farahana Shaari, 30, tidak menyangka akan menyambut kelahiran anak perempuannya itu dalam perjalanan kira-kira 10 kilometer dari Hospital Gua Musang (HGM), di sini.
Menurutnya yang kini ditempatkan di HGM, dia dalam perjalanan dari Hutan Melintang, Perak, dan mahu pulang ke Kota Bharu bersama adik ipar, Redzuan Abd Manaf, 30, dan anak pertamanya untuk menunggu detik kelahiran.
"Mengikut kiraan, saya dijangka bersalin pada 10 Mei ini. Jadi, saya memilih untuk pulang pada 30 April lalu bersama adik ipar kerana suami, Saharudin Abd Manaf, yang juga anggota bomba di Perak, terpaksa bertugas pada waktu itu.
"Saya berani untuk pulang kerana masa melahirkan anak pertama, kelahirannya sama seperti tarikh jangkaan. Malah, saya tidak merasa sakit sewaktu turun dari rumah pada jam 7.45 pagi.
"Namun, ketika dalam perjalanan, perut saya mula sakit dan pada 11 pagi, kontraksi setiap lima minit mula terasa. Setengah jam selepas itu, saya dapat rasakan bayi akan keluar dan adik ipar memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan meminta pertolongan orang yang lalu lalang," katanya lagi.
Tambah Farahana, sekumpulan peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi yang juga berbangsa Cina menghulurkan pertolongan dan seorang wanita Cina yang berkereta turut membantu memotong tali pusat bayinya.
"Semasa proses kelahiran, adik ipar saya yang menyambut anak. Selepas itu, wanita Cina membantu memotong tali pusat dengan pisau kerana tiada sebarang kelengkapan lain. Ada yang menghubungi ambulans dan mengawal lalu lintas.
"Apabila proses kelahiran selesai, adik ipar kembali memandu dan membawa saya ke hospital dengan iringan pasukan konvoi tersebut. Perjalanan mengambil masa selama 10 minit dan jururawat segera mengeluarkan uri kerana bimbang berlaku sebarang komplikasi terhadap saya.
"Alhamdulillah, walaupun bersalin di jalanan, saya dan bayi dengan berat 3.3kg, selamat namun terpaksa ditahan untuk tiga hari serta perlu menghabiskan antibiotik kerana proses pemotongan tali pusat menggunakan pisau sahaja," jelasnya.
Kata Farahana lagi, pengalaman ini membuatkan dia akan lebih berhati-hati di masa akan datang dan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan