Oleh Athirah Hanapiah
PORT DICKSON: Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Kamarulazman Habibur Rahman membayangkan parti yang pernah dihuninya
bakal ‘karam’ sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Dakwa Kamarulazman, terlalu banyak kelemahan dan kebocoran yang masih
belum diperbaiki pemimpin parti tersebut, yang dilihat menjadi faktor
penyebab sebelum ia berjaya memegang sebarang kerusi pada pilihan raya
itu kelak.
“Saya berpendapat bahawa bahawa ‘kapal’ ini akan karam sebelum PRU14 nanti.
“Mungkin pada peringkat awalnya jika mereka menyedari dan mengakui
hakikat bahawa ada sesuatu yang tak kena kepada bahtera parti ini dan
mereka membuat sesuatu, tetapi nampaknya mereka tidak membuat apa-apa
tindakan yang baik," katanya.
Malah kata Kamarulazman, ekoran ketiadaan tindakan untuk memperbaiki
keadaan oleh kepimpinan, berkemungkinan lebih ramai lagi ahli PPBM akan
mengikut jejak langkahnya keluar parti dalam tempoh terdekat.
Beliau juga mengulangi bahawa terdapat lebih 800 ahli PPBM di Port
Dickson yang bakal keluar parti itu tidak lama lagi, sekaligus menjadi
bukti ketidakstabilan yang wujud dalam parti tersebut.
“Akan berlaku lagi beberapa tindakan-tindakan yang akan menyebabkan
parti ini makin lama akan lemah dan perkara ini tidak akan dapat
dielakkan kerana saya merasakan bahawa ada di kalangan kami yang agak
keliru, gusar dan terganggu dengan perjalanan parti yang tidak seperti
dijangkakan.
“Jadi saya merasakan bahawa akan ramai lagi ahli-ahli yang akan membuat keputusan yang sama untuk keluar dari parti ini.”
Kamarulazman pada bulan lalu mengumumkan untuk keluar PPBM selepas
kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam parti teraju Tun
Dr Mahathir Moahamd itu.
Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti,
termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha
Kerja PPBM pusat.
Dalam kenyataan ketika mengumumkan keluar parti, Kamarulazman turut
menyelar sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan,
malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan'layanan
kelas kedua'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan