Khamis, 18 Mei 2017

PKR, Pembangkang bingung tanpa Anwar hadapi PRU-14?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Paluan berundur sudah dibunyikan. PKR membuat keputusan, semua lantikan politik PKR di dalam kerajaan Kelantan diminta melepaskan jawatan terbabit serta merta, kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
 
Adalah nyata bahawa PKR tidak mahu berunding apatah lagi memujuk PAS supaya bekerjasama menghadapi pilihanraya umum (PRU ke-14). Malah arahan presidennya itu adalah tanda mulanya PKR “menekan dan menentang” PAS secara terbuka.
 
“PKR akan segera mengatur langkah bersama Pakatan Harapan dan sekutu lainnya yang mendokong agenda reformasi untuk menghadapi pilihanraya umum ke-14,” katanya.
 
Percaturan menarik keluar ahli PKR dalam kerajaan Kelantan adalah isyarat jelas bahawa PKR mahu PAS mengambil langkah sama – meninggalkan semua lantikan politik PAS di Selangor kerana tahaluf siyasi PAS-PKR sudah mati. 
 
Setakat ini PAS masih berpaut pada hujah bahawa ia menanti perkenan Sultan Selangor untuk Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali mempersembahkan senarai exco baru dan dan ketika itu baru semua wakil PAS mengosongkan kerusi dalam kerajaan negeri.
 
Di segi percaturan untung rugi, tentu PAS akan terasa kehilangan kedudukan tiga exco, wakil dalam syarikat berkenaan kerajaan negeri (GLC), Jawatankuasa-jawatankuasa tindakan Kerajaan, Majlis-majlis Kerajaan Tempatan hingga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 
Di Kelantan PKR cuma ada satu kerusi Dewan Undangan Negeri dan wakil-wakil kerajaan tempatannya boleh dihitung dengan jari. Kehilangan jawatan berkenaan tentu tidak meninggalkan kesan besar pada PKR.
 
Nasib Selangor di tangan Azmin
 
Namun mesej lebih besar ialah soal maruah. PKR sanggup tinggalkan kerajaan negeri Kelantan, adakah PAS ada maruah untuk mengambil yang sama?
 
Bagaimanapun pimpinan PKR yang bermesyuarat malam Rabu lalu nampaknya seolah-olah “tidak tergamak atau mungkin tidak berani” membuat keputusan bagi pihak Timbalan Presiden yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
 
Mereka sanggup menunggu sehingga beliau pulang dari tugas di luar negara untuk memuktamadkan keputusan memecat lantikan politik semua ahli PAS dalam kerajaan negeri.
 
Kini terpulanglah kepada jurus silat Azmin pula untuk menentukan nasib PAS dalam kerajaan Selangor. Bagi pimpinan PKR ia menerima hakikat PAS bukan lagi sahabat politik. Biarlah Azmin sendiri mengemudi kerajaan Selangor bersama PAS atau tidak!
 
Cuma ada pandangan sinis menyimpulkan bahawa pimpinan PKR memilih jalan “pukul anak sindir menantu” di Kelantan tapi tidak berani menyinggung pengaruh Azmin yang semakin meluas dalam PKR.
 
Justeru, biarlah Azmin membuat keputusan yang kurang popular “menyingkirkan” PAS dari kerajaan Selangor. Jika Azmin melakukannya dengan ‘cekap dan berkesan’, biarlah beliau memungut dividen politik daripadanya. 
 
Jika sebaliknya memecat PAS dari kerajaan Selangor menimbulkan masalah baru, biarlah Azmin juga yang menanggung risikonya. Ramai yang mahu pengaruh Azmin ‘tercemar’ kerana kini kedudukannya dalam parti nampaknya semakin kukuh. 
 
PAS nekad bersendiri
 
PAS nampaknya benar-benar yakin mampu menghadapi PRU 14 bersendirian. Ia tidak memerlukan kerjasama PKR, DAP, Amanah mahupun PPBM. Untuk itu ia mahu melebarkan jaringan kerusi Parlimen yang ingin ditandinginya dari 80 kepada 100 buah. 
 

Pada semua kerusi berkenaan, PAS mengunjurkan akan menentang Umno-Barisan Nasional. Maka terpulanglah pada Pakatan Harapan mahu menjadi persaing di 100 kerusi parlimen berkenaan dalam pertandingan dua atau lebih penjuru. 
 
PAS sedar bahawa secara langsung atau tidak tindakannya akan membantu PH atau memenangkan calon-calon Umno-BN. Namun PAS nampaknya sudah nekad. Ia yakin tidak banyak manfaat diperolehi bagi umat dan Islam jika PH menang mutlak. 
 
Begitu juga ia tidak mahu Umno-BN terus menang lagi dalam PRU 14. Di peringkat ini PAS nampaknya benar-benar yakin bahawa kejayaan Pakatan Rakyat menafikan kemenangan dua pertiga kerusi Parlimen dalam PRU 2008 dan 2013 adalah kerana Pakatan Rakyat bersandar pada jentera pilihanrayanya. 
 
Kini PAS tidak mahu memajakkan jentera pilihanrayanya ini pada PKR, DAP; apatah lagi Amanah dan DAP. Sasaran PAS ialah, mana-mana pihak yang ada agenda membawa kebaikan kepada rakyat dan Islam, boleh bekerjasama dengannya. 
 
Di kemuncak isu tahaluf siyasi ini PKR nampaknya masih terbelit dengan pelbagai isu perimbangan kuasa dan pengaruh dalamannya sendiri sementara rakan politik barunya – Amanah dan PPBM nampaknya terlalu ghairah mahu menguji pengaruhnya di mata rakyat.
 
Dalam PRU 2008 dan 2013, PKR menjadi peneraju Pembangkang kerana ia ada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun kini kepimpinannya agak sukar dimanfaatkan sepenuhnya ketika beliau terkurung di Sungai Buloh. 
 
Sejak isu bekerjasama dengan bekas seteru utamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad hingga membawa kepada sikap yang jelas bagaimana mengendalikan karenah PAS, nampaknya pemimpin-pemimpin PKR masing-masing tidak ada acara sendiri menangani era tanpa Anwar ini.
 
 

Tiada ulasan: