Oleh Ainor Rahim
PETALING JAYA: PKR masih membuka 'pintu' kerjasama politik yang mungkin
terjalin dengan PAS biarpun kedua-dua parti itu tidak lagi mempunyai
tahaluf siyasi, demikian kata Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar.
Ujar Xavier, PKR mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan parti
pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kerana masing-masing mendukung
perjuangan yang sama iaitu menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Kalau dia (PAS) mengakui bahawa dia mahu ada rundingan dengan parti
PKR, dan mana-mana parti di Pakatan Harapan (PH). Kita terima dan kita
alu-alukan komunikasi itu sebab akhirnya PAS atau parti PH kita nak
menang PRU akan datang.
"Kalau ada perkongsian di antara PAS dan PH saya alu-alukan dan kita
akan teruskan perundingan kalau ada peluang untuk buat demikian. Kita
akan teruskan," katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu
Pejabat PKR hari ini.
Tahaluf siyasi PAS-PKR berakhir selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat
keputusan demikian dua minggu lalu, kerana mendakwa parti pimpinan Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan banyak perlanggaran syarat
tahaluf.
Susulan keputusan itu, timbul teka teki mengenai kedudukan exco dan
wakil PAS di Selangor, tambahan pula selepas PKR mengarahkan kesemua
wakil partinya dalam kerajaan PAS Kelantan meletakkan jawatan selaras
dengan keputusan Majlis Syura.
Bagaimanapun kedudukan tiga exco PAS di Selangor akhirnya terjawab
selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan
seiring dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk
mengekalkan jawatan ketiga-tiga mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri
sehingga pilihan raya umum akan datang.
Semalam Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Zuhdi Marzuki berkata
keputusan mengekalkan tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan PKR
membuktikan kedua-dua parti masih boleh bekerjasama walaupun tiada
hubungan rasmi dalam satu gabungan pembangkang.
Zuhdi menyifatkan perkembangan di antara PAS-PKR itu menjadi satu
contoh di mana rakyat boleh melihat sendiri parti yang tidak bergabung
mampu membentuk sebuah ‘Kerajaan Campuran’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan