KUALA LUMPUR: Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, yang
sedang dalam misi untuk menakluk puncak Everest, diterbangkan dengan
helikopter dalam pemindahan kecemasan ke sebuah hospital di Kathmandu,
Nepal, setelah mengalami sakit dada yang teruk.
Semalam, beliau sepatutnya mendaki ke Camp 3 dan seterusnya ke kemuncak gunung tertinggi dunia itu dari Camp 4.
"Beliau dimasukkan ke wad dan diberi rawatan perubatan. Beliau kini
semakin pulih dan mungkin dibenarkan keluar tidak lama lagi," menurut
kenyataan daripada penganjur ekspedisi itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Chong Meng, 69, mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas, ketika berada di Camp 2 pada Khamis.
"Beliau mengalami sesak nafas dan terpaksa menggunakan oksigen pada waktu malam ketika tidur," menurut kenyataan itu.
Sakit dada beliau semakin buruk pada keesokan harinya dan beliau tidak
dapat berbaring untuk tidur disebabkan kesakitan pada perut.
Dalam percubaannya untuk mendaki Gunung Everest pada Mei tahun lepas,
beliau terpaksa membatalkan pendakian itu pada peringkat akhir di Camp 3
pada ketinggian 7,200m, berikutan cuaca buruk.
Gunung Everest adalah gunung tertinggi dunia, dengan ketinggian 8,848m.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah rakan media misi
berkenaan, yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest (MEE) Lion
2017, anjuran Lions Club Port Dickson Pantai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan