PUTRAJAYA: Sokongan padu dan kasih bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi terhadap kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN) menyentuh
hati Datuk Seri Najib Razak.
Meskipun tidak lagi aktif dalam politik, Najib berkata Tun Abdullah,
atau lebih mesra dipanggil Pak Lah tidak pernah terdetik untuk
mengkhianati parti, apatah lagi untuk bertindak keluar dari Umno.
"Beliau bukan sahaja memanggil saya sebagai 'my brother', bahkan Tun
Abdullah adalah sahabat yang sebenar lagi sejati, kerana tetap setia
bersama saya dan kerajaan sama ada ketika susah mahu pun senang, waima
(bahkan) dalam situasi getir lagi bergelora.
"Bahkan lebih menyentuh dan mengharukan saya, betapa tingginya nilai
kasih sayang Tun Abdullah kepada parti dan negara, sanggup serah tampuk
kepimpinan tertinggi UMNO dan jawatan Perdana Menteri kepada saya dengan
penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti," katanya semasa berucap di
Pelancaran Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, petang tadi.
Perdana Menteri turut menyifatkan Pak Lah sebagai seorang yang berhati
mulia, selain menghargai usahanya untuk terus memartabatkan Islam dan
golongan agama di negara ini.
"Pada sisi lain saya amat menghormati Tun Abdullah sebagai seorang
pemimpin yang cenderung mengangkat martabat Islam dan golongan agamawan,
selain turut mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara selaras
pemikiran beliau menerusi kerangka Manhaj Hadhari," katanya lagi.
Dalam pada itu Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menerima sumbangan daripada kerajaan berjumlah RM5 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan