IPOH: Sebuah lokomotif 40 gerabak membawa muatan 1,700 metrik tan gula
mengalami kebakaran kecil ketika melintasi laluan di Tasik Bukit Merah,
Bagan Serai, lewat malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil
berkata, lokomotif yang mempunyai 40 gerabak itu memulakan perjalanan
dari Perai pada jam 9.18 malam, namun terpaksa berhenti di tengah-tengah
landasan Tasik Bukit Merah pada kedudukan 1.5 Kilometer dari tepi
tasik, berikutan mengalami kebakaran lokomotifnya.
Katanya, pemandu lokomotif, Azhar Md Salleh, 42, bersama seorang
pembantu berusia 25 tahun, berbuat demikian selepas menyedari terdapat
percikan api pada bahagian enjinnya.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 11.09 malam tadi
segera bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu sepasukan anggota
dari BBP Kamunting.
"Bagaimanapun kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pemandu dan pembantunya dengan menggunakan empat tong alat pemadam api.
"Pihak BBP Bagan Serai yang diketuai oleh Ketua Operasi Pegawai Bomba
(PB) Borhan Shabudin, segera membuat pemantauan bagi memastikan api yang
membakar bahagian alternator enjin jentera dipadamkan sepenuhnya.
"Kebakaran terbabit hanya membabitkan 10 peratus bahagian kepala
lokomotif berkenaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan
dilaporkan," katanya.
Beliau berkata, lokomotif berkenaan akan ditunda oleh lokomotif lain
dan akan ditempatkan di depo Batu Gajah seterusnya diserahkan kepada
Bahagian Forensik Bomba cawangan Taiping untuk siasatan lanjut mengenai
kejadian itu.
Sementara itu, jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
"Kebakaran kecil yang berjaya dipadamkan itu membabitkan lokomotif tren kargo.
"Kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau sebarang penangguhan perjalanan tren yang lain," katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu pihak KTMB menghantar lokomotif yang
lain bagi menarik kargo berkenaan. Beliau berkata, anggota bomba pula
dipanggil bagi memantau keadaan walaupun api berjaya dipadamkan oleh
pemandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan