Khamis, 4 Mei 2017

Logo pun tak boleh buat keputusan, sindir Nazri

 
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyindir Pakatan Harapan yang masih tidak dapat membuat keputusan berkaitan penggunaan satu lambang untuk pilihan raya umum (PRU).

“Masa dia lawan kita dulu, semasa Pakatan Rakyat pun tak ada logo. Sekarang PRU dah dekat.

“Kamu patut letak sajalah (mana-mana logo). Ini maknanya itu pun mereka (HARAPAN) tak boleh buat keputusan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi telefon bimbit HARTAR di Matic Kuala Lumpur.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan tiga logo HARAPAN yang disenarai pendek.

Sebelum ini, tiga rekaan didedahkan, berbentuk gambar matahari separuh dengan perkataan HARAPAN berwarna merah dan kuning serta satu logo dengan lambang ibu jari terangkat.

Rata-rata pengguna menyelar rekaan itu yang menurut mereka buruk. Malah ada yang menyindir logo tangan itu mirip logo jenama produk kacang tanah terkenal.

Susulan itu, HARAPAN hari ini mengalu-alukan orang ramai menghantar rekaan logo mereka untuk digunakan gabungan itu dalam pilihan raya.

Sementara itu, Nazri berkata, pengalaman BN berbeza sama sekali ketika memilih dacing sebagai logo mereka.

“Kalau dulu Parti Perikatan pakai kapal layar dan bila dah jadi BN tambah, lagi 10 parti baru, kita guna dacing,” katanya.

Beliau juga ditunjukkan media ketiga-tiga rekaan logo HARAPAN itu dan memberikan reaksi spontannya.
“Tak tahulah, susah nak pilih. Saya pilih dacing,” katanya.

'Pengaruh Selangor'

Berkenaan rekaannya pula, Nazri berkata logo-logo itu mempunyai pengaruh Selangor, yang dipimpin PKR, yang kuat.

Ini berdasarkan penggunaan warna kuning dan merah seperti warna-warna digunakan dalam bendera Selangor.

“Pemilihan logo itu nampak macam pengaruh Selangor kuat, ia (logo) bukan Pulau Pinang (tapi) Selangor, sebab merah dan kuning.

“Kalau Pulau Pinang warna kuning biru. Kalau Parti AMANAH Negara (AMANAH) warna oren… Jadi saya ingat pengaruh Selangor kuatlah,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: