RETREAT Lembaga Pengurusan Kecemasan dan Bencana
(Khidmat Malaysia) PAS Pusat pada 21 Mei 2017 menggariskan beberapa
langkah ke arah menatapkan lagi fungsi Khidmat Malaysia dalam menangani
apa jua bentuk bencana yang melanda dalam negara.
Banjir, ribut, tanah runtuh dan air pasang besar antara bencana yang
telah ditangani Khidmat Malaysia setakat ini. Yang paling lumrah berlaku
ialah bencana banjir.
Sesi baru 2017/2019, Khidmat Malaysia kekal diterajui oleh Naib
Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Ketua Pengarah dengan
dibantu oleh Dr Azman Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1, Haji
Husin Ismail Timbalan Ketua Pengarah 2, Nazri Mohd Aris yang juga Ketua
Pengarah Jabatan Amal Malaysia sebagai Timbalan Ketua Pengarah 3 dan
Khairul Faizi Ahmad Kamil sebagai Setiausaha.
Khidmat Malaysia semakin matang berperanan setelah diuji dengan
pelbagai ujian di medan sebenar antaranya tragedi banjir besar di
Kemaman dan Pahang pada 2013.
Pada tahun 2014, diuji pula dengan bencana banjir di Terengganu dan
yang paling tragis ‘Bah Kuning’ yang mencatat sejarah pilu terutama bagi
penduduk Kelantan pada akhir 2014 dan awal tahun 2015. Manek Urai
antara saksi bagaimana kuasa air yang melanda tak kenal sesiapa.
Pengurusan kecemasan dan bencana bukan hanya kerja bermusim kerana datangnya bencana tak kenal waktu dan siapa mangsanya.
Malah sepanjang tahun jentera operasi Khidmat Malaysia dari pelbagai
agensi dan Jabatan di dalam PAS seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat,
Kelab 4×4, Ameerah serta beberapa NGO yang bergerak di bawah payung
parti dirancang untuk dipersiapkan dengan pelbagai kursus dan latihan
agar selalu berada dalam keadaan siaga bagi turun ke medan operasi bila
keadaan memerlukan.
Pada sesi ini juga, dalam rangka untuk memberikan nilai tambah kepada
kerja-kerja menangani bencana, Relawan Khidmat akan ditubuhkan.
Dalam masa yang sama, Khidmat Malaysia merancang untuk mengadakan
kunjungan hormat bagi menjalinkan kolaborasi dan engagement dengan
Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dan pengurusan bencana negara
seperti National Disaster Management (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Untuk sesi baru ini juga, Standard Operation Procedure (SOP) Khidmat
Malaysia dalam proses untuk diperkemaskan lagi supaya Khidmat Malaysia
mampu bertindak di medan bencana dengan kadar yang paling optimum.
DR AZMAN IBRAHIM
Timbalan Ketua Pengarah 1 Khidmat Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan