Oleh Ainor Rahim & Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: AMK tetap mempertahankan dan meminta Pakatan Harapan (PH)
agar menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri
sekiranya mereka menang pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemudanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana Anwar
mempunyai rekod yang baik ketika berada dalam pentadbiran kerajaan suatu
masa dahulu.
"Kejayaan beliau (Anwar) membina gerakan massa yang luas, 'big tent
politics' merentas ideologi serta berkomunikasi dengan rakyat tiada
tandingan.
"Rekod beliau sebagai Menteri Kewangan terakhir yang membawa belanjawan lebihan juga terbukti.
"Sosok tubuhnya di dalam membawa kebangkitan Islam yang sederhana serta
menyatukan budaya-budaya serantau dalam gagasan Gelombang Kebangkitan
Asia menjadikannya tokoh antarabangsa yang dihormati dalam dan luar
negara," katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional Angkatan Pemuda
Keadilan ke-12 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di sini, hari ini.
Terdahulu, mantan menteri yang kini menyertai DAP, Datuk Zaid Ibrahim
mempersoalkan keengganan PH menamakan calon bagi memegang jawatan
tertinggi itu sekiranya memenangi PRU akan datang.
Sehubungan itu pada Februari lalu beliau menggesa PH menamakan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri kerana pemimpin veteran
itu mampu meraih sokongan kuat termasuk daripada pengundi Felda dan
seterusnya memastikan kemenangan PH.
Zaid dalam tulisan di blognya berkata, pemilihan Dr Mahathir sebagai
calon PM boleh meleraikan kebimbangan umum bahawa DAP berminat untuk
mengambil alih kepimpinan negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan PKR agar tidak terlalu selesa
dengan gabungan yang terjalin bersama parti pembangkang lain iaitu DAP,
Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada hari ini.
“KEADILAN (PKR) tidak harus merasa selesa mengharapkan kekuatan
kerjasama ini, sebaliknya mesti membina kekuatan sendiri supaya nanti
tidak timbul lagi dakwaan seolah-olah kita tdak mempunyai sebarang
kekuatan dan sumbangan, hanya menumpang kekuatan rakan.
“Kesatuan kita akan meningkatkan peluang yang ada. Jika kita tidak
fokus dan terus mencari-cari segala perbezaan yang ada, maka sebenarnya
kita telah memilih untuk kalah lebih awal,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan