PAS ibarat sepohon kayu besar di tengah padang yang luas. Usia pohon yang berjasa ini telah mencecah 66 tahun. Teguh berdiri memberikan manfaat kepada manusia dengan naungan teduhan dan buahan yang dihasilkannya untuk dinikmati.
Walau ditimpa kemarau, hujan,
banjir, ribut petir dan serangan makhluk perosak, pohon ini terus gagah
berdiri. Ada daun-daun lama yang gugur, diganti dengan pucuk baru yang
segar. Ada dahan yang patah, tumbuh semula tunas baru yang menjadikan
pohon ini lebih rendang. Ada tangan-tangan jahat yang mencantas
dahannya dengan sangkaan pohon ini akan mati. Tapi mereka silap kerana
tindakan mencantas satu dahan akan menyebabkan tumbuhnya tiga atau empat
tunas baru yang muda dan segar.
Selama 66 tahun akarnya terpacak kukuh ke bumi dan pucuknya menjulang
tinggi serta saiz batangnya semakin membesar, ramai yang memandangnya
mula mengkagumi keperkasaan dan keteguhan pohon ini. Dulu dimomokkan
supaya jangan dekat kerana kononnya pohon ini berhantu. Ramai juga yang
percaya lalu memandangnya dengan penuh rasa cuak dan curiga. Sekarang
ramai yang rasa rugi kerana tak singgah berteduh lebih awal di bawah
bayangan pepohon rendang ini dan menikmati kemanisan buahnya. Bila dah
singgah sendiri, baru mereka tahu rupanya realiti tidak begitu. Silakan
singgah dan makanlah buahnya.
Dulu ada sekumpulan anai-anai yang cuba bersarang di dalam lubang
yang dikorek pada batangnya. Sedikit demi sedikit dikorek lubang dengan
sangkaan akhirnya pohon ini akan tumbang. Tapi akhirnya kumpulan
anai-anai yang berangan-angan besar pergi dengan kehampaan dan mencari
pepohon baru untuk dibuat sarang. Dah tabiat anai-anai, di mana
bersarang maka di situlah ia akan merosakkan.
Hari demi hari dan masa yang beredar, manusia sekeliling semakin
melihat perlunya pohon ini dipertahankan kewujudannya agar terus teguh
dan berkesinambungan memberikan kesejahteraan kepada manusia. Pantang
diusik maka akan ada tangan-tangan yang tampil mempertahankannya. Silap
kalau ada yang anggap pohon besar ini tak ada tuan. Kamu boleh singgah,
boleh berteduh dan boleh makan buahnya, tapi awas! Jangan sekali-kali
ganggu dan rosakkannya.
Jangan bandingkan pohon besar ini dengan pokok bunga di dalam pasu. Memang pokok bunga di dalam pasu yang berbunga oren dan merah nampak cantik dipandang. Tapi usianya tak panjang. Cuba ambil pokok bunga ini dan tanam di tengah padang yang luas terdedah kepada panas, hujan kemarau, rebut petir dan serangan perosak. Tengok berapa lama ia boleh hidup. Yang indah di mata tak semestinya bagus. - HARAKAHDAILY
* Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Jangan bandingkan pohon besar ini dengan pokok bunga di dalam pasu. Memang pokok bunga di dalam pasu yang berbunga oren dan merah nampak cantik dipandang. Tapi usianya tak panjang. Cuba ambil pokok bunga ini dan tanam di tengah padang yang luas terdedah kepada panas, hujan kemarau, rebut petir dan serangan perosak. Tengok berapa lama ia boleh hidup. Yang indah di mata tak semestinya bagus. - HARAKAHDAILY
* Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan