Isnin, 1 Mei 2017

Bersihkah imej PKR dengan arahan 'tutup mulut'

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Akhirnya pucuk pimpinan PKR bersuara mengenai isu Ketua Angkatan Muda Ampang, Datuk Adam Rosly yang menghadapi enam pertuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekayaan luar biasa beliau. 
 
Suara PKR lantang kali ini -- Jangan ada lagi mana-mana pemimpin parti membuat komentar mengenai kes Adam Rosly itu. Ia dikeluarkan Pengarah Politik dan Dasar serta Penasihat Presiden PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar.
 
"Segala urusan berkaitan pendirian PKR, seeloknya dan sebetulnya diputuskan di dalam mesyuarat kepimpinan parti. Sama ada Mesyuarat Biro Politik atau mesyuarat Pimpinan PKR.
 
"Mana-mana pimpinan pun sebaiknya mengeluarkan ulasan, pendirian atau cadangan di dalam mesyuarat, bukan di khalayak ramai," katanya. 
 
Kenyataan Kamaruddin ini tegas dan bersifat reaksi kepada seruan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu parti 'menjarakkan diri' dari kemelut Adam.
 
Rafizi berhujah, PKR perlu memutuskan isu itu segera kerana bimbang ia dijadikan modal oleh musuh politik PKR. 
 
"Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan PKR sebagai parti dari kemelut peribadi Saudara Adam Rosly ini perlu diputuskan segera terutamanya dalam keadaan PRU14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.
 
"Saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret PKR dan Pakatan Harapan.
 
"Sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan PKR untuk membolehkan beliau 'bercuti' dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden," katanya.
 
Datuk Adam, 28 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada SPRM berhubung kekayaan beliau.
 
Beliau didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
 
Pemimpin muda itu dibebaskan selepas membayar wang jaminan RM300,000. Sebutan kes beliau ditetapkan pada 29 Mei ini. 
 
Rafizi juga mahu Adam mengisytiharkan harta secepat mungkin bagi menjernihkan keadaan.
 
"Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.
 
"Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PKR mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain. 
 
"Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat," katanya. 
 
Bagaimanapun tidak semua pimpinan PKR bersetuju dengan pendirian Rafizi itu. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali meminta semua pihak memberi ruang untuk Adam disiasat pihak berkuasa.
 
Isu kekayaan luar biasa Adam mula mencuri perhatian selepas dibongkar Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
 
Isu Adam ini menguja bekas Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub menggesa pimpinan parti itu mencari jalan penyelesaian dalam 'perang dingin' melibatkan Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
 
Ujarnya, PKR tidak lagi boleh menafikan wujud pergeseran serius di antara mereka kerana ini akan menyukarkan parti bersatu dan fokus kepada isu-isu lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
  
"Pimpinan parti perlu mengakui kewujudan pergeseran tersebut, supaya ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi, atau paling tidak mengurangkan pergeseran," katanya.
 
Ada pemerhati politik menganggap Rafizi cuba 'menyerang' Azmin dengan menyelar Adam. Penganalisis politik, Dr Kamaruzzaman Yusuf berkata, mungkin ada sebab mengapa Rafizi memilih ‘mengusik’ isu ini.
 
“Itu mungkin juga (usaha Rafizi jatuhkan Azmin), sebab diketahui ramai bahawa Rafizi dengan Azmin ni memang bermasalah," ujar Kamaruzzaman.
 
Untuk rekod, Rafizi pernah membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan permintaan habuan seks oleh pegawai kerajaan negeri Selangor, untuk mendapatkan projek.
 
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Azmin dan beliau bersedia pegawai kerajaan negerinya disiasat pihak berkuasa.
 
Bibit pergeseran ini ada penyokongnya. Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, misalnya, menyokong parti mengambil tindakan terhadap Adam.
 
Katanya, imej parti berteraskan reformasi yang diasaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh 'dirosakkan' dengan salah laku pemimpin dan ahli-ahlinya.
 
"Saya setuju dengan Rafizi untuk keadilan dan kebenaran ditegakkan. Dengan demikian saya menyarankan disegerakan siasatan parti.
 
"Kita sebuah parti reformasi. Reformasi bermaksud kita tidak bersekongkol dengan mana-mana kumpulan yang berlawan dengan etika manusiawi," tegasnya.
 
Abdullah berkata, saranan Rafizi itu berdasarkan perlembagaan parti dan wajib bagi parti bertindak supaya keadilan mewarnai kebijakan, kebenaran dan kesaksamaan pada semua pihak. 
 
Rafizi nampaknya masih mempersoalkan tindakan Adam meminjam duit ah long membeli banglo mewah di Ampang kerana “perkara sebegitu tidak boleh diterima rakyat dan parti perlu mengambil tindakan ke atas Adam. 
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan bertegas jika Adam dilepaskan begitu sahaja ia hanya akan menampakkan sikap 'double standard' pemimpin PKR.
 
"Kalau kita nampak diam dan tidak ambil serius perkara ini orang akan kata... dan rakyat tak salah kalau mereka kata..orang lain kamu (pembangkang) bising tapi kalau orang sendiri kamu diam. Jadi parti mesti ambil tindakan.   
 
"Rakyat biasa tak boleh terima, pinjam duit ah long RM500,000 untuk (beli banglo)..kalau dah tak ada duit, janganlah beli banglo. Maksud saya ini perkara mudah," ujarnya.
 
Bagaimanapun perintah “tutup mulut” sudahpun dikeluarkan. Ini bererti PKR cuba menyisir dari menangani soal persepsi negatif yang bakal menerpa parti. Bolehkah Rafizi berpuas hati dengan pendekatan ini?
 
 

Tiada ulasan: