Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak
mempunyai kuasa atau hak untuk mengulas mengenai perkembangan terbaru
bersabit rundingan antara parti itu bersama PAS.
Menurut Ketuanya Anina Saadudin, sayap pimpinannya akan mendokong apa
jua keputusan pimpinan tertinggi parti berkaitan permuafakatan dengan
parti lain.
Ujarnya, ini adalah demi memastikan keutuhan pembangkang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Sudah pastilah kami di peringkat sayap ada tahu sedikit sebanyak
tentang perkara tersebut, tapi tiada autoriti atau dalam keadaan yang
boleh buat sebarang komen tentang perkara tersebut.
"Sebarang keputusan yang diambil pucuk pimpinan parti berkaitan dengan
rundingan yang dibuat oleh parti pembangkang lain, pihak Srikandi, saya
sebagai Ketua Srikandi, menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat
tersebut," katanya kepada Antarapos.
Selasa lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti
pimpinannya akan meneruskan rundingan dengan PAS, meskipun kini mereka
telah menandatangani perjanjian kerjasama politik dengan Pakatan Harapan
(PH).
Menurut Muhyiddin, PH telah dimaklumkan mengenai kemajuan rundingan
tersebut dan gabungan itu telah menyatakan bahawa rundingan bersama PAS
masih boleh diteruskan.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad semalam berkata rundingan antara PAS
dengan PPBM tidak tergugat meskipun parti itu menjalin persefahaman
dengan PH.
Malah kata Idris, perbincangan masih diteruskan kerana PAS belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu.
Muhyiddin sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama
PAS, namun tidak pernah mendedahkan hasil perjumpaan tersebut.
Muhyiddin dikatakan cuba menjadi 'orang tengah' untuk memujuk PAS
bekerjasama dengan pembangkang yang lain bagi membolehkan pertandingan
satu lawan satu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
Namun PAS berulang kali menegaskan bahawa kerjasama berkenaan tidak
akan berlaku kerana mereka tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan
DAP dan Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan