MALAYSIA TODAY
(Sinar Harian) – SEKURANG-kurangnya 39 laman web
termasuk yang menyiarkan kritikan terhadap isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) dan sentimen agama Islam disekat oleh kerajaan sepanjang
tahun lalu.
Ia adalah hasil laporan penyelidikan bersama yang dijalankan dua
badan bukan kerajaan, iaitu Sinar Project dan Ooni yang bermula pada 24
September hingga 13 November tahun ini.
Menurut laporan Oriental Daily yang memetik hasil laporan bertajuk
Perkembangan Penapisan Internet di Malaysia pada Februari tahun ini,
laman web The Malaysia Insider dan Sarawak Report adalah antara yang
paling awal dikenakan tindakan oleh pihak kerajaan.
“Walaupun kedua-dua laman web itu menyiarkan berita yang memetik
daripada sumber lain, tindakan tetap dikenakan terhadap mereka,” tulis
akhbar ini.
Difahamkan, laman web itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengancam keselamatan negara.
“Selain itu, beberapa blog yang mengkritik perkembangan semasa negara
turut tidak dikecualikan daripada dikenakan tindakan sama. Ini
termasuklah beberapa blog pro pembangkang dan blog milik beberapa
aktivis masyarakat.”
Begitu juga dengan laman web dikenali sebagai Religion Of Peace
telah disekat oleh kerajaan kerana menyiarkan isu sentimen kaitan Islam.
Sementara itu, laporan daripada hasil penyelidikan itu turut
menyebut, laman web milik Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)
yang telah disekat pada tahun lalu, bagaimanapun dibenarkan beroperasi
semula.
SKMM dilaporkan telah menyekat 5,044 laman web melibatkan pelbagai
kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sejak 2015
sehingga Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 4,277 adalah laman web berunsur lucah, jelik dan
mengancam keselamatan, manakala 767 lagi memaparkan unsur perjudian,
pelacuran, penipuan, cetak rompak, produk palsu, ubat tidak berdaftar
dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan