Khamis, 22 Disember 2016

Pandang kunjungan Hadi ke Tehran dari sisi lain - Tuan Ibrahim

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke himpunan antara mahzab di Tehran sepatutnya dilihat dari aspek peranan umat Islam dalam menghentikan keganasan yang berlaku di Syria, tegas timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
"Hadi pergi atas sifat keahliannya dalam KUIS dan dia sudah memaklumkan kepada setiausaha agung KUIS. Program ni acara tahunan cuma Dr Yusuf dan beberapa pimpinan lain boikot acara ni tetapi bagi Hadi dia rasa penting untuk pergi sebab kalau semua boikot (jadi) siapa yang harus memberi perhatian kepada isu ini?," soal beliau ketika dihubungi Antarapos.
 
Tuan Ibrahim menyatakan, Hadi dalam ucapannya di Tehran  menggesa agar dihentikan keganasan yang dilakukan ke atas umat Islam di Syria.
 
"Kalau kita boikot apakah kezaliman di Syria akan berhenti? Jawapannya kezaliman itu akan terus berlaku, jadi kalau semua pihak boikot pertama ia akan beri tekanan kepada Syria tetapi dalam waktu yang sama ada pihak yang pergi bincang dan berunding, desak. 
 
"Saya fikir pelbagai pihak perlu buat dalam pelbagai fokus, bukan hanya satu," ujar beliau.
 
Hadi sebelum ini berkunjung ke Tehran untuk menyertai persidangan anjuran kerajaan negara berkenaan yang kemudiannya dikecam beberapa pihak termasuk tokoh agamawan terkenal, Dr Yusuf al-Qaradawi.
 
Yusuf termasuk beberapa agamawan di negara ini meyifatkan kunjungan Hadi itu 'tidak kena pada masa' ketika Iran menjalankan jenayah kejam ke atas rakyat di Aleppo, Syria.
 
Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim berkata kecaman itu timbul kerana ada pihak yang hanya memberi perhatian kepada pertembungan Sunni-Syiah dan tidak melihat kunjungan itu sebagai usaha untuk medesak kekejaman itu dihentikan.
 
"Ia timbul kerana melihat kepada pertembungan antara Sunni dan Syiah tetapi Tuan Guru Presiden melihat ini sebagai satu dalam politik antarabangsa, di mana pertembungan Sunni-Syiah tu memang sengaja diwujudkan kuasa-kuasa besar untuk menimbulkan suasana tidak tenteram di negara umat Islam," jelas beliau. 
 
Malah beliau mendakwa ada pihak terutamanya di Barat yang mahu mengalih isu yang lebih besar berhubung tindakan Zionist-Israel terhadap Palestin kepada pertembungan Sunni-Syiah.
 
 

Tiada ulasan: