Jumaat, 30 Disember 2016

Kelakuan PAN porak perandakan PH


 
Oleh IZWAN ABDUL HALIM


DALAM bulan Disember ini sahaja terlalu banyak hiruk pikuk, kekalutan dan pendirian saling bercanggah antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). (*Kronologi lengkapnya akan disusuli kemudian insya-Allah)

Sedangkan mereka baharu sahaja menandatangani perjanjian kerjasama antaranya berkaitan pilihan raya. Perkara paling penting menghadapi pilihan raya tentulah pembahagian kerusi. Malangnya, masing-masing menunjukkan ketamakan. Bahkan sibuk pula dan kemudian saling bercanggah lagi mengenai calon Perdana Menteri.

Walhal, untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil pun mereka kekurangan tenaga, inikan pula nanti Pilihan Raya Umum. Modal pilihan raya bukan air liur ceramah sahaja....

Tiba-tiba, di sebalik keghairahan mereka mengenai kerusi dan calon PM, diumumkan oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad kesediaan membenarkan PAS mengetuai kerajaan di Kelantan dan Terengganu nanti. Apakah ertinya? Bahkan sebelumnya rakan mereka di Johor mahu menawan kubu BN itu dengan membawa seramai mungkin pemimpin nasional PH berpotensi ke negeri Selatan Tanah Air itu. Di manakah sebenar-benarnya mereka sasarkan?

Sebenarnya gelabah, porak peranda, hilang punca dan bayang-bayang kecemasan mulai melanda kem mereka. PAN cuba menagih PAS untuk berbaik dengannya memberi ihsan kerusi ditandingi, sesuatu yang mustahil untuk pengkhianat. Ketika sama bermakna longgarnya keyakinan, cuba menikam rakan yang lain, cuba menipu dan melanjutkan pencurian.

Nyawa PAN benar-benar bergantung kepada perolehannya pada PRU nanti dan banyak berharap DAP akan memihak banyak perkara kepadanya. Ketidaktentuan dan sikap mereka akan terus dibawa-bawa. Ingat sebagaimana terjadinya saling berebut pada Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, seperti itulah mengulangi keadaannya kepada PKR - DAP - PAN - PPBM.

Mereka hanya bersatu di atas kertas dan gambar sidang media, tapi haluan mereka sendiri-sendiri. Mana mungkin angkatan yang kucar kacir seperti ini dapat menumbangkan gergasi ganas BN? Melainkan kebijaksanaan seperti Nabi Daud AS menewaskan Jalut yang tentunya baka hikmah ini dimiliki kelompok ramai ulama iaitulah PAS

Tiada ulasan: