Khamis, 29 Disember 2016

Mufti Perak: Berdosa bukan muhrim duduk bersebelahan dalam bas

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Mufti Perak memuji pengusaha bas ekspres TransMalaya mengasingkan jantina penumpang dalam bas sebagai usaha baik menepati kehendak Islam kerana haram untuk bukan muhrim duduk bersebelahan sepanjang perjalanan.
 
Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam yang cuba menentang usaha syarikat bas ekspres itu dianggap jahil agama dan menentang hukum Tuhan.
“Usaha itu cukup baik dan patut dicontohi syarikat bas lain.
 
“Malah tindakan pengasingan itu bukannya untuk menyekat kebebasan kerana dari segi Islam, suami isteri atau muhrim boleh duduk sekali, tetapi kalau pasangan bukan muhrim duduk bersebelahan haram bagi mereka sepanjang jalan dan berdosa sepanjang jalan.
 
“Orang kafir ini dia tidak akan bersetuju dengan undang-undang Islam, apa pun mereka tidak bersetuju dengan Islam kerana mereka hanya mahukan kebebasan,” lapor FMT hari ini.
 
Semalam, pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli yang menguruskan TransMalaya berkata, pengasingan itu dilaksanakan sejak Februari 2015 bagi mencegah pasangan bukan muhrim melakukan perkara tidak senonoh sepanjang perjalanan.
 
“Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka dan pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam bas
yang boleh dilihat penumpang lain.
 
“Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya. Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas berseorangan selalu terdedah kepada bahaya,” kata Noorlini.
 
Usaha itu bagaimanapun diselar peguam dan aktivis, Siti Kasim yang mahu penumpang diberikan kebebasan semasa menaiki bas.
 
“Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?” kata Siti.
 
Ketua Biro Agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin berkata, setiap syarikat mempunyai cara tersendiri menarik pelanggan dan kerajaan tidak perlu campur tangan dengan menjadikannya peraturan supaya syarikat lain turut mencontohi TransMalaya.
 
“Terpulang kepada syarikat bas terbabit atas inisiatif mereka dan pihak kita perlu meraikan inisiatif terbabit,” kata pendakwah bebas itu.
 
 

Tiada ulasan: