Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia didakwa di mahkamah untuk membuktikan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana kewangan milik Kerajaan.
Bagaimanapun katanya, beliau percaya pendakwaan terhadapnya tidak akan dibuat walaupun dirinya sebelum ini dipanggil polis untuk memberikan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
“Saya sudah tiga kali disoal dan dipanggil polis. Saya minta kalau mahu tanya, tanyalah di mahkamah dan dakwa saya di mahkamah.
“Saya ada cukup bukti mengatakan bahawa Najib itu pencuri duit,” katanya seperti dipetik Selangorkini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib malam tadi.
Mahathir sebelum ini dipanggil untuk diambil kenyataannya berhubung tulisan yang didakwa menghasut di blognya, “chedet.cc” kerana mengkritik pentadbiran Najib Razak.
Beliau juga pernah diambil keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menyamakan Perdana Menteri dengan pemimpin diktator Uganda Idi Amin, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Jun lalu.
Bagaimanapun Mahathir mendakwa, segala kritikan dan dakwaannya terhadap perdana menteri tidak akan berlanjutan ke mahkamah.
“Biasanya kalau kita dakwa seseorang itu mencuri di hadapan orang ramai, tentunya dia ambil saman malu kepada orang buat dakwaan itu kalau dia tak mencuri.
“Tapi beratus orang kata Najib curi duit, dia tak saman sesiapa pun sebab dia memang mencurilah dia tak berani saman,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan