Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: Amanah mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk
milik PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pengarah komunikasinya, Khalid Samad berkata pemilikan kerusi tradisi
yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan
senario politik hari ini.
Justeru, Amanah nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu
ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu
pembahagian kerusi.
"Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat PH dan PPBM. Apa yang penting
adalah senario politik hari ini sudah berubah. Tidak seperti 2013
(PRU13). Kita tidak boleh jadikan tahun 2013 sebagai asas untuk
pembahagian kerusi. Kita alu-alukan kenyataan PKR yang menyatakan
kesediaan mereka serahkan kerusi kepada PPBM, kerana ia bersandarkan
politik semasa hari ini.
"Kita sudah kenalpasti 40 kerusi parlimen yang kita berhasrat untuk
tandingi. Kita akan bincang dalam mesyuarat. Ada beberapa kerusi yang
ditandingi oleh PAS pada pilihan raya lepas, ada juga yang ditandingi
PKR. Kita lihat dan bincang. Tetapi inilah kerusi yang kita rasa ada
harapan untuk menang," katanya selepas sidang media Pakatan Harapan (PH)
di Ibu Pejabat PKR, tengah hari tadi.
Khalid juga menggesa PAS memahami realiti politik semasa yang kini
dirancakkan lagi dengan kehadiran PPBM dan Amanah, maka perbincangan
mengenai pembahagian kerusi perlu dilakukan segera.
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata perbincangan itu penting
supaya setiap parti politik pembangkang ada kekuatan sehingga
membolehkan mereka menerajui setiap negeri.
"Ada cadangan untuk kita patut mendepani PRU14 ini dengan mengenalpasti
negeri-negeri yang setiap parti boleh terajui. Contohnya PKR di
Selangor dan Perak, DAP di Pulau Pinang dan mungkin Negeri Sembilan.
"PPBM mungkin di Kedah dan Pahang, Amanah di Johor, manakala PAS di
Kelantan atau Terengganu. Jika PAS mahu setuju dengan formula ini kita
akan beri mereka terajui Kelantan dan Terengganu. Maka itulah
pentingnya untuk duduk dan berbincang," tegasnya lagi.
Amanah sejak awal lagi mencanang akan meletakkan calon di semua kerusi
yang ditandingi PAS, meskipun parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
itu bertegas akan tetap mempertahankan kesemua kerusi tradisinya.
Selain Hadi, timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas
pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang hanya akan
dicapai jika tiada mana-mana parti pembangkang mengusik kerusi tradisi
miliknya, terutama Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan