Jumaat, 23 Disember 2016

Malaysia akhiri tempoh anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dengan majlis resepsi

ASTRO AWANI


Malaysia akhiri tempoh anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dengan majlis resepsi
ANIFAH: Malaysia mengakhiri tempoh dua tahun sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dengan mengadakan majlis resepsi. - Gambar fail
 
PUTRAJAYA: Malaysia mengakhiri tempoh dua tahun sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dengan mengadakan majlis resepsi di Pejabat Perwakilan Tetap ke PBB di New York pada Khamis (22 Dis).

Majlis resepsi itu, yang dihoskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, adalah bagi merakamkan penghargaan Malaysia kepada anggota Majlis Keselamatan yang lain dan anggota PBB seluruhnya, Sekretariat PBB dan masyarakat sivil atas sumbangan mereka semasa Malaysia menduduki kerusi itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata, kerjasama yang diberikan oleh semua pihak telah memudahkan Malaysia melaksanakan tugasnya di Majlis Keselamatan.

Sejak dua tahun lepas (2015-2016), Malaysia menyaksikan pelaksanaan beberapa inisiatif penting, termasuk melindungi kanak-kanak daripada penculikan dalam situasi konflik bersenjata, yang dipengerusikan oleh Malaysia di Majlis itu.

Inisiatif lain ialah usaha tangani senjata pemusnah besar-besaran kepada pelaku bukan negara; isu Palestin; membina keamanan di negara-negara pasca konflik; dan kepelbagaian kesan perubahan iklim terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Malaysia gembira kerana inisiatif tersebut mendapat sokongan amat besar daripada semua pihak di dalam dan di luar jentera PBB," katanya.

Tiada ulasan: