KUALA LUMPUR: Meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun, namun
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kadar bayaran haji untuk
jemaah negara kekal dan tidak berubah iaitu RM9,980 seorang.
Perdana Menteri memberitahu, kadar itu tidak berubah sejak tahun 2009
lagi walaupun kos pengurusan haji meningkat kepada RM19,550 seorang pada
tahun depan.
Beliau berkata, kos selebihnya akan ditanggung oleh Tabung Haji dengan
penambahan subsidi keseluruhan berjumlah RM200 juta untuk tahun 2017
berbanding RM160 juta pada tahun ini.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memelihara serta terus
menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia dan membantu umat Islam
menyempurnakan Rukun Islam kelima.
“Mudah-mudahan, Malaysia akan terus berada dalam peliharaan,
dikurniakan rahmat keamanan dan kesejahteraan oleh Allah SWT,
insya-Allah,” katanya menerusi entri terbaru di laman blog
najibrazak.com hari ini.
Menurut Najib, kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa umat Islam di
negara ini menyimpan hasrat mengunjungi tanah suci sebagai tetamu Allah
sekiranya berpeluang suatu hari nanti.
Jelas beliau, sekiranya suatu ketika dulu umat Islam di Malaysia
terpaksa menyimpan selama berpuluh-puluh tahun lamanya sehingga ada yang
menjual barang kemas, harta benda serta haiwan ternakan untuk menziarah
tanah suci Mekah, tetapi kini urusan jemaah lebih mudah dengan adanya
Tabung Haji.
“Selain memberikan ruang untuk umat Islam menyimpan wang secara
beransur-ansur bagi melengkapkan perbelanjaan di tanah suci, Tabung Haji
turut berperanan mengatur serta menguruskan pemergian jemaah ke kota
Mekah dengan memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan mereka
terpelihara ketika menunaikan fardhu haji.
“Malah, lebih daripada itu, Tabung Haji turut memberikan subsidi buat
jemaah haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam
menyempurnakan ibadah dan memperoleh haji yang mabrur,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan