IBU
muda itu datang membawa anaknya yang berumur 1 tahun, dengan aduan
demam, batuk dan sesak nafas selama seminggu. Bertanya lanjut hal
pemakanan si bayi, si ibu sudah sebulan memberi bayinya “susu” dari
bancuhan air bersama krimer pekat manis yang biasa digunakan untuk
menyediakan minuman seperti teh tarik.
Selain
daripada berat badan bayi yang berkurangan daripada yang sepatutnya dan
menunjukkan tanda-tanda malnutrisi, bayi tersebut mengalami jangkitan
pernafasan pneumonia yang teruk, dengan bibir kebiruan, yang menyebabkan
saya terpaksa merujuknya ke hospital besar segera agar mendapat
mendapat rawatan lebih intensif.
Si ibu
rupanya terpaksa tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana beliau
bekerja. Ditanya mengenai sejarah keluarga, beliau mengakui suaminya
seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah beliau
anak-beranak.
Suami juga
kerap meminta wang daripada beliau, yang akhirnya memaksa beliau
bekerja kerana kesempitan wang. Anak yang masih kecil itu terpaksa
dihantar ke penjaga, dengan bekalan “susu” krimer pekat manis, apabila
susu formula biasa sudah kehabisan.
Sebelum
beliau dan bayinya menaiki ambulan untuk dirujuk ke hospital, saya
bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu
formula dan diberikan kepada beliau. Saya tahu ia tidak mencukupi, dan
keadaan akan kembali seperti asal sebaik beliau dan bayi keluar dari
hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang saya lakukan sebagai
seorang doktor yang baru ditahun kedua perkhidmatan ketika itu.
Oleh
kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum
Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 2016)
anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dan
Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA), Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Adakah Pencegahan Berkesan? , saya
mengulangi pendirian, bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini,
baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah perlu diteruskan
secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar.
Pengharaman
sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong
oleh kerajaan dan semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan
pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan. Impak dadah ke atas faktor
sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang
saya gambarkan diawal artikel ini, tidak dapat diukur dengan
timbal-balik keuntungan dari pengkomersilan bahan-bahan ketagihan ini.
Dadah yang
disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium,
heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti Amphetamine
(pil kuda, yaba), Methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant
(dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen
(dadah pengkhayal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti
ganja.
Dadah dan pelajar sekolah
Baru-baru
ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan keputusan satu kajian
yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu
hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah.
Jumlah ini
merupakan 4 peratus daripada jumlah sampel kajian. 74 peratus daripada
mereka yang terlibat dengan dadah ini mengambil Methamhetamine, 20
peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain. Pelajar tingkatan lima
mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus,
diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus),
tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).
Trend
pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Di samping
sekolah yang bekerjasama dengan AADK memantau gejala ini, didikan dan
pemantauan ibubapa kekal sebagai instrumen paling utama. Kajian
menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman
dan faktor luaran.
Faktor dalaman
Bagi
faktor dalaman, remaja mengambil kerana ingin menghilangkan masalah dan
rasa kebosanan. Oleh kerana itu penting bagi ibubapa untuk menjadi
tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mendengar luahan rasa
remaja.
Ibu bapa
mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka.
Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang
mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya
dirumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian.
Selain
daripada itu, ibu atau bapa, boleh bergilir keluar dengan setiap anak
remaja seorang demi seorang, sekadar temujanji makan bersama contohnya,
agar mereka mendapat momen istimewa atau saat privasi mereka bersama
ibubapa.
Sudahkah anda membuat temujanji dengan setiap anak anda agar mereka berasa istimewa?
Remaja
juga mengambil dadah kerana rasa ingin tahu, tekanan rakan sebaya dimana
mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak
mengetahui bahaya dadah dan terpengaruh dengan dakyah rakan-rakan yang
mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat
badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagainya.
Oleh
kerana itu, ibu bapa harus menekankan aspek jatidiri dengan
memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin
mempertahankan pendapat mereka bila berhadapan dengan tekanan
rakan-rakan.
Bagaimana
membentuk kekuatan jati diri ini? Ibu bapa harus terlebih dahulu menanam
rasa percaya kepada diri sendiri pada anak-anak, dengan meraikan
pendapat mereka, menghormati pandangan anak-anak, mengambil serius
lontaran pendapat mereka dan tidak keterlaluan dalam mengkritik pendapat
mereka.
Membina
kepercayaan diri sendiri itu sebenarnya bermula dari rumah. Bagi seorang
remaja Muslim, disiplin menunaikan tanggungjawab untuk solat 5 waktu
tanpa diperingatkan, misalnya, adalah satu pembentukan kawalan diri
(self-disciplined and self controlled) yang penting agar remaja, dapat
menguasai diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan desakan
kawan-kawan dan juga pengedar dadah diluar sana.
Kajian
oleh Partnership for a Drug-Free America menunjukkan 50 peratus remaja
kurang menggunakan dadah jika mereka mengetahui risiko penggunaan dadah
dari ibubapa sendiri. Oleh itu, ibubapa perlu berkongsi maklumat dengan
anak-anak apakah bahaya dadah.
Apakah bahaya dadah Methamphetamine?
Apakah yang perlu diterangkan kepada anak-anak remaja anda dan apakah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan?
Metamphetamine,
walaupun digembar-gemburkan sebagai boleh memberi tenaga, akan
“menuntut” semula tenaga tersebut selepas tamat aktiviti dadah tersebut
di dalam badan. Penagih boleh berjaga sehingga berhari-hari, namun
kemudiannya lesu dan tidur pula berhari-hari.
Dadah
tersebut boleh menyebabkan percakapan berlebihan, rasa kegelisahan dan
panik, hiperaktif, penurunan berat badan yang ketara, menjadi agresif,
dan perubahan emosi. Selain daripada itu, terdapat penurunan prestasi
pelajaran yang mendadak, kerap ponteng sekolah, hilang minat ke atas
perkara yang sebelum ini diminati pelajar, kerap bertukar-tukar kawan
(biasanya remaja mempunyai sahabat baik yang dipercayai atau kumpulan
kawan rapat “click’).
Dari sudut
psikologi, pelajar boleh mengalami kemurungan dan mempunyai idea untuk
mengambil nyawa sendiri atau mencederakan orang lain.
Dipetik daripada buku Garis Panduan Pengendalian Penyalahgunaan Stimulan Jenis Amfetamin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:
“
Methamphetamine/methamphetamine chloride juga dikenali dengan nama
Speed, Speedball, Meth, Chalk, Syabu, Ice, Crank, Glass, Crystal, Tweak.
Kebanyakan dadah jenis ini diproses secara haram di dalam makmal rahsia
oleh mereka yang tidak terlatih. Ia juga boleh diklasifikasikan kepada
tiga kategori mengikut kualiti ketulinannya.
Sebagai
contoh, jenis berkualiti tinggi berwarna putih kristal diikuti dengan
yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula
mempunyai rasa yang pahit. Dadah jenis ini digunakan secara “chasing the
dragon” atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap
candu.
Ibu bapa
dengan itu harus cakna tentang barangan yang dimiliki oleh anak-anak,
dan bertindak segera sebelum mereka pergi lebih jauh lagi dalam
penagihan.
Faktor luaran
Faktor
luar adalah faktor persekitaran, tekanan dari drug pushers atau pengedar
dadah juga keldai dadah. Ibubapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak
kita berkawan.
Selain daripada itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil.
Sebagai
contoh dadah dalam kumpulan Methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih
dikenali dengan nama Ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E’s, Ease, X, XTC,
Eccies, Love Drugs, Hug drug, dan Disco Biscuits adalah lebih kuat
daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.
Pil
ekstasi dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning
atau putih. Ada juga yang berwarna merah jambu, ungu, biru,
berbintik-bintik atau berjalurjalur. Terdapat berbagai-bagai bentuk
tablet seperti bentuk hati, dove, robin, rabbit dan champagne bottle.
Penting bagi ibubapa mengawasi pengambilan sesuatu yang kelihatan seperti “ubat” oleh anak-anak.
Polisi negara harus tegas terhadap bahan ketagihan
Tidak
berapa lama dahulu hangat diperkatakan apabila beberapa pihak
mencadangkan agar status pengharaman ganja dibawah Akta Dadah Merbahaya
1952 dipinda. Ganja atau marijuana dari tumbuhan Cannabis sativa
dikatakan sebagai penghilang tekanan dan mempunyai khasiat perubatan.
Beberapa
contoh negara Eropah seperti Belanda yang membenarkan penggunaan ganja
sebagai dadah rekreasi dijadikan contoh dalam menyokong gesaan ini.
Penulis yang pernah ke Belanda melihat bagaimana cannabis (weed, hash
dan marijuana) dijual secara terbuka di kedai kopi berlesen, bahkan tema
ganja dijadikan barangan cenderahati seperti rantai kunci, cawan dan
t-shirt.
Dalam 5 tahun kebelakangan ini, terdapat kajian jangka panjang berkenaan ganja yang telahpun selesai.
Dalam
tahun 2012, penyelidik dari New Zealand melaporkan hasil kajian mereka
yang melibatkan 1037 peserta dalam “The Dunedin Study” yang lahir dalam
tahun antara tahun 1972 dan 1973. Penggunaan ganja dikenalpasti melalui
temuramah ketika mereka berumur 18, 21, 26, 32, dan 38 tahun.
Ujian
neurofisiologi dilakukan lebih awal dari itu, iaitu ketika berumur 13
tahun sebelum mereka menggunakan ganja, dan sekali lagi ketika mereka
berumur 38 tahun.
Kajian ini
mendapati mereka yang menggunakan ganja sejak dari remaja mempunyai IQ
yang lebih rendah, dan kadar IQ tidak meningkat walaupun mereka berhenti
menggunakannya setelah dewasa.
Dalam
tahun 2015, kajian Coronary Artery Risk Development in Young Adults
(CARDIA) yang melibatkan 4000 dewasa muda selama 25 tahun melaporkan
penggunaan ganja menurunkan memori lisan dengan ketara.
Dari sudut
produktiviti dan disiplin, sebuah kajian melibatkan sekumpulan pekerja
menunjukkan mereka yang disahkan positif ganja melalui ujian air kencing
sebelum diambil bekerja, 85% dari kalangan mereka merekodkan kecederaan
sewaktu bekerja dan 75% menunjukkan gejala ponteng dibandingkan dengan
rakan sekerja yang disahkan bebas ganja melalui ujian air kencing.
Begitu
juga dengan ketum, di mana timbul isu mengenai potensi ia untuk
dikomersilkan dan dijual ke negara-negara maju sebagai ubat-ubatan.
Pokok
ketum, juga dikenali sebagai Kratom dalam sains herba, ialah sejenis
tumbuhan daripada famili Rubiaceae banyak terdapat di utara dan tengah
Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.
Nama
botaninya ialah Mitragyna speciosa korth. Ia tidak tersenarai dalam Akta
Dadah Merbahaya namun penjualan atau pembelian air ketum boleh diambil
tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dengan denda maksimum
RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Ketum,
walaupun dikatakan mempunyai khasiat tradisional memulihkan tenaga,
namun sejak akhir-akhir ini dilaporkan berlaku penjualan air ketum
berleluasa yang menyebabkan ketagihan kepada para remaja dan pelajar,
terutamanya dibahagian utara tanah air.
Kajian
oleh Darshan Singh dan para penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah,
Universiti Sains Malaysia (USM) dalam tahun 2014 menunjukkan lebih 50
peratus daripada 293 responden kajian yang mengambil air ketum secara
konsisten lebih dari 6 bulan menunjukkan ketagihan yang serius.
Mereka melaporkan tanda-tanda withdrawal
fizikal apabila berhenti mengambil air ketum seperti demam, kejang dan
kesakitan otot, susah tidur, mata dan hidung berair, kurang selera makan
dan cirit birit.
Tanda withdrawal psikologi
ialah tidak keruan, tertekan dan mudah marah serta gementar. Ini
menunjukkan air ketum mempunyai kesan ketagihan. Kita berasa bimbang
dengan para pelajar yang memulakan tabiat ini sejak dari awal, yang
berpotensi mendatangkan kesan jangkapanjang kepada perkembangan otak.
Kita tidak
mahu mengulangi sejarah lama dengan cadangan pengkomersilan daun ketum
ke luar negara atas sebarang tujuan. Syed Hussein Alatas menyatakan
dalam bukunya “The Myth of Lazy Natives” bahawa ketika Malaysia masih
dijajah, kerajaan British ketika itu memonopoli jualan dadah opium di
Malaya sekitar tahun 1910, dan opium menjadi antara hasil utama Malaya
sehingga 60 peratus jumlah hasil eksport, selain bijih timah dan getah.
Walaupun
dibantah orang ramai yang meminta opium diharamkan, kerana ia
menyebabkan penagihan dalam kalangan pribumi Malaya, penjajah British
enggan mengharamkannya dan meneruskan penanaman dan jualan kerana opium
menurut penjajah British, meningkatkan produktiviti pekerja dan
menjadikan pekerja lebih patuh arahan!
Ironinya,
opium diharamkan di England ketika itu. Tidak ada jaminan penanaman daun
ketum secara besar-besaran dapat dikawal daripada jatuh ke tangan
remaja dan disalahgunakan.
Peranan masyarakat dalam memerangi gejala ketagihan
Peranan
masyarakat adalah amat penting dalam memberi mesej kepada pihak pembuat
dasar, bahawa kita menolak elemen yang akan memudaratkan anak bangsa,
walaupun terdapat unsur keuntungan (yang sebenarnya bersifat
jangkapendek) disudut ekonomi.
Kerugian
adalah amat besar dan tak ternilai dari sudut sosial dan yang berkait
dengannya seperti pembentukan generasi yang sihat perkembangan otak dan
bebas pengaruh dadah dan pembentukan keluarga yang utuh, jika kita gagal
melihat isu dadah dan penagihan dari sudut yang lebih mendasar dan
mendalam.
Episod si ibu memberi bayi susu krimer pekat manis, kerana suami penagih, biarlah tidak berulang lagi!
* Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Ketua Penerangan Wanita ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan