Aisyah turut tertegun dengan kesebakan datuknya. |
Atau pun hanya kerana satu peristiwa sahaja ia boleh membuat kita hilang rasa "meta" dan kemanusiaan kita relai dan lunyai. Lebih membahagiakan lagi perubahan yang spontan dan drastik itu juga tanpa diduga memberi sesuatu pengajaran besar penuh pengertian, memaknakan hidup kita sebagai hamba-Nya yang relatif lemah.
Saya kembali ke dalam diri saya sendiri. Saya sebenarnya seorang yang sukar untuk menangis. Air mata saya sangat mahal untuk jatuh tanpa ada tujuan yang tersendiri dan mengenatik yang kuat. Jiwa saya liat untuk menjadi sayu.
Saya adalah seorang yang "gagah" dan sedia menghadapi apa juga cabaran dan halangan. Apa lagi selaku penulis politik saya tidak terlepas dengan cacian, tuduhan dan juga fitnah. Bahkan diancam secara fizikal, ia lebih menjadikan saya tidak mengerti erti takut atau dayus.
Dan selaku anak kampung yang meratah kesangsaraan dan kemiskinan sejak kecil segala kesusahan sudah mangli dalam diri saya. Demikian segala cabaran sebagai penulis tidak pernah mengugahkan perasaan saya dan dijadikan alasan untuk saya mengalah. Jauh sekali untuk meletakkan pena dari menyatakan kebenaran.
Sebahagian penerima bantuan daripada Husam. |
Perasaan sensitiviti saya sangat tinggi, disebaliknya saya ada ketegasan dan tidak akan bersekongkol dengan apa jua kemungkaran. Saya tidak akan larut dalam garam lautan dan tidak akan hanyut mengikut arus yang entah.
Apa yang hendak saya kongsikan dengan penjengok sekalian dalam catatan selepas Subuh ini ialah mengenai, bagaimana sekelumit peristiwa ia bisa mengugahkan perasaan saya. Bagaikan pupukan bayu yang lembut boleh meruntuhkan bukit pasir di sahara. Ia adalah mengenai sendu seorang kawan bernama Husam Musa telah menyebabkan saya tidak bisa tidur hingga ke Subuh.
Sendu beliau itu menjadi racun menyedar dan menginsafkan saya dan kenaifan kita semua sebagai hamba. Inilah yang hendak dikongsikan disini. Diharap sudi mendengarnya.
Semalam saya di Kota Bharu Kelantan dan sempat hadir ke suatu majlis Husam di Salor. Semasa berucap dalam majlis menyampai bantuan kepada penduduk dalam kawasannya, di Wisma Tokguru Husam telah menyelitkan ucapannya dengan memberi gambaran apa yang berlaku di Aleppo, Syria mengenai kesangsaraan dan penderitaan saudara seagama kita di sana angkara kekejaman regim Bashar as-Assab di tanah Halab itu.
Cuplikan gambar kanak-kanak derita di Aleppo. |
Saudara kita di Aleppo bukan sahaja hilang segala-galanya dalam hidup yang dibina dikit demi dikit sebelum ini, tetapi yang menyayatkan hati mereka terpaksa berdepan dengan cabaran kesusahan untuk meneruskan hidup selepas penginapan dan penempatan mereka dibom hancur.
Kanak-kanak ini mencari sesuatu yang hilang dibawah runtuhan. |
Warga paling malang dan terdesak kini menurut Husam ialah kanak-kanak yatim piatu dan orang-orang tua atau warga yang cedera. Mereka bergulat dengan pelbagai kesukaran meneruskan hidup selepas Aleppo hampir menjadi padang jarak padang terkukur.
Kanak-kanak, ketiadaan ibubapa, berlarian tanpa tentu hala, - mencari sesuatu yang hilang dan lenyap dari padangan mata mereka. Dan bila malam menjelma mereka berteduh di bawah reruntuhan atau khemah kecil yang sangat daif. Tubuh mongel mereka berbalut kain comping akan menggeletar kesejukan tanpa ada lagi tangan ibu ayah ayah yang mengelus dan mendodainya.
Orang-orang tua pula yang sedia lemah, terus menjadi gemulai. Hidup mereka ketidakketentuan, berselerakan bagaikan kain buruk menjadi sebahagian puing-puing kehancuran. Mereka akan terus bergeluk dengan keadaan menyedihkan sementara menanti usaha mengungsikan mereka ke kem-kem pelarian. Saat ini menurut Husam mereka bukan sangat mengharap doa berterusan tetapi menanti "huluran tangan kemanusiaan" kita semua.
Saat memberi gambaran kesedihan di Aleppo yang diterima langsung dari tiga rakannya yang bertugas di kem pelarian, Husam terhenti sejenak untuk beberapa jurus. Dia menjadi sebak tidak dapat meneruskan ucapannya. Suasana serentak itu juga menjadi sepi, yang kedengaran ialah tetes hujan yang jatuh ke bumbung zink bergaul dengan sendu Husam yang jelas.
Sang bocah, cucunya bernama Aisyah yang sepanjang majlis itu riang riang, berloncat dan berdecak ke sana ke mari menyerikan majlis dengan keletah kebudak-budakknya, tiba-tiba memberhentikan dari tarian kegirangannya, tatkala menyedari Husam (datuknya) tersendu. Untuk beberapa waktu Aisyah juga turut sama berteleku dan melungu kehairanan.
Panorama itu sangat mengesankan kepada saya menyebabkan tanpa disedari air mata saya juga jatuh berlinagan. Hadirin yang lain juga turut menjadi sebak. Saat itu juga dalam kepala tergambar akan suasana di Aleppo yang sudah bantrakan. Terkilas wajah-wajah mongel kanak-kanak di Aleppo yang comot, ketakutan dan histeria.
Terbanding pula dengan wajah Aisyah yang mungil dan comel penuh keletah. Hati disobek kesayuan apabila melihat kelakuan Aisyah yang termangu seolah-olah ikut sama mengenangkan rakan sebanya dengannya di Aleppo yang malang dan berdukacita. Naluri bocah sebesarnya yang masih suci dan bersih dari noda, hasad dan dengki sangat memanggil-manggil.
Nah, bertolak dan mengenang peristiwa di Wisma Tokguru itulah menyebabkan tidur saya tidak lena. Segala macam bunyi dan gambaran dari Aleppo terngia-ngian di telinga dan tersendak di kepala. Tiba-tiba sahaja bauran bayangan kemusnahan di Aleppo; asap, habuk, debu, berterbangan terdampar dalam diri dan inilah menjadikan tidur saya malam tadi terganggu.
Kombinasi panorama di Wisma Tokguru, sebak dan sendu Husam mengenai Aleppo, simpati Aisyah kepada rakan sebanyanya di bumi lunyai itu kini sedang memanggil-manggil saya untuk ke sana. Api berdosa seakan terbang ke dalam diri kalau tidak ikut sama membantu atau menumpahkan simpati dalam kepada nasib saudara di Aleppo itu. Apa yang digambarkan Husam itu menjadikan "paha kanan" yang pedih menderita di Halab terasa pada "paha kiri" di tanah Malaya ini. Saya berhasrat besar untuk ke sana.
Bertolak dari situlah maka pagi ini saya membuat satu janji untuk diri saya sendiri, bahawa sedikit korban saya lakukan untuk membantu saudara di Aleppo. Kebetulan waktu ini buku saya ke 50 sedang dipasarkan. Saya memutuskan setiap naskah buku ini yang terjual dan juga buku-buku lain yang ditawar bersama akan saya masukkan ke dalam tabung SEBAK ALEPPO yang akan saya buka dengan rasminya pagi ini kemudian menguar-uarkan kepada penjengok sekalian.
Anda tidak perlu menghulurkan bantuan atau derma itu secara langsung tetapi ia beriringan dengan pembeli buku baharu saya dan buku-buku lain yang akan ditawar bersama. Manakala penjengok atau rakan yang sudah memiliki buku baharu; PIRAUM 14- Siapa PM Selepas Najib, secara automatik anda dianggap sudah memasukan derma kemanusiaan anda ke dalam tabung SEBAK ALEPPO.
Di sini saya turunkan buku-buku yang ditawar beriringan dengan buku baharu saya dimaksudkan itu. 1) Tokguru Dalam Mataku, 2) Nasib: Pas, Amanah dan Najib, 3) Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah. Untuk mengetahui mengenai tabung SEBAK ALEPPO ini sila berhubung langsung dengan saya di nombor telefon 019 233 6996 atau menerusi emai: msomalaysia@gmail.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan