Jumaat, 16 Disember 2016

Persefahaman PH-PPBM tak jejas rundingan dengan PAS

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rundingan antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak tergugat, meskipun parti itu menjalin persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang.
 
Malah menurut Naib Presidennya Dr Idris Ahmad, perbincangan masih diteruskan kerana PAS belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu.
 
Kedua-dua pihak setakat ini masih tidak menyatakan secara jelas mengenai rundingan berkenaan. 
 
"(Perbincangan) dengan PPBM masih lagi kita dengan dia ada perundingan-perundingan, tak bincang apa benda pun.
 
"Dengan BERSATU (PPBM) kita masih belum buat keputusan," katanya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama PAS, namun tidak pernah mendedahkan hasil perjumpaan tersebut.
 
Muhyiddin dikatakan cuba menjadi 'orang tengah' untuk memujuk PAS bekerjasama dengan pembangkang yang lain bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Tetapi PAS tetap menegaskan bahawa kerjasama berkenaan tidak akan berlaku kerana tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah.
 
Ketika ditanya mengenai tarikh PAS untuk bawa hasil pertemuan dengan PPBM kepada PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama (MSU), Idris tidak dapat mengesahkan perkara tersebut tetapi ujarnya, satu mesyuarat parti akan diadakan pada bulan Januari.
 
"Kita belum ada mesyuarat lagi, mesyuarat bulan depan," jawab beliau ringkas.
 
Selasa lalu, pembangkang mengikat perjanjian untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Persefahaman itu memutuskan 'formula' yang digunapakai antara PH dan PPBM bersabit pembahagian kerusi berdasarkan prinsip kebolehmenangan seseorang calon itu. 
 
 

Tiada ulasan: