Selasa, 27 Disember 2016

Selamatkan Malaysia daripada musibah alam sekitar dan ekonomi


 
Oleh Anas Alam Faizli 

DALAM karyanya bertajuk Plague, Albert Camus mengisahkan sebuah kota masyarakat Oran, Algeria sekitar tahun 1940-an. Wabak dan kematian menyelubungi kota itu. Karya itu mengisahkan dengan terperinci bagaimana Kerajaan kota itu tidak mahu mengakui situasi sebenar, lambat memberi maklum balas dan lewat bertindak.

Kini, kita juga sedang berdepan dengan “musibah” dalam bentuk pemanasan global dan perubahan iklim dunia yang disebabkan tindakan kita sendiri, dan bukti wujudnya perubahan iklim dunia sudah tidak dapat disangkal lagi; kecuali kepada kumpulan fanatik yang digelar “penafi perubahan iklim dunia”.
Pernah satu ketika dahulu kita percaya yang jerebu yang melanda Malaysia hampir setiap tahun susulan El-Nino ialah kemuncak kebahayaan perubahan iklim global. Dalam penyesalan, kita terpaksa “meraikannya” dengan memakai topeng N90 sehingga menutup sekolah kerana bimbang bahaya jerebu kepada kesihatan anak-anak kita. Rakyat Malaysia yang umumnya ceria dan gembira bertukar sedih dan tertekan sepertimana langit biru kita berubah menjadi kelabu, gelab dan busuk.

Kata orang, yang walaupun klise, “ketidakpedulian ialah rahmat”. Jadi, dalam diam kita menerima dengan rela yang El-Nino menyebabkan jerebu, tanpa disedari dalam setiap helaan nafas, kita menyedut sesuatu yang sangat merbahaya, udara tercemar, pembunuh senyap yang wujud dalam atmosfera kita. Semakin lama kita bernafas di dalamnya, semakin dahsyat kesannya.

Pencemaran yang disebabkan amalan harian kita, daripada keperluan pengangkutan sehinggalah penggunaan tenaga. Hanya kerana kita tidak melihatnya di depan mata dan ia tidak nyata, tidak bermakna ia tidak wujud. Selamat datang ke dunia yang dicemari dengan CO2, NOx (Nitrogen oksida) dan pelbagai lagi unsur membunuh. Unsur-unsur ini mengancam nyawa manusia dan haiwan, malah pendedahan berterusan boleh membawa kepada musibah kematian.

Tetapi, wujud jalan penyelesaian sekiranya kita bersedia untuk memahami punca masalah dan mula bertindak menyelesaikan semuanya. Mari kita lihat apakah yang sudah wujud dan mempertimbangkan sekiranya tindakan kita kini sudah mencukupi, atau mula berfikir untuk berusaha lebih keras bagi kesejahteraan masa depan kita.

Paling mustahak, adakah usaha kita betul dan tepat?

Konvensyen Kerangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC)

UNFCCC ialah kerjasama antarabangsa alam sekitar yang diwujudkan pada 1994. Matlamat utamanya ialah menstabilkan ketepuan gas rumah hijau (GHG) di atmosfera kepada satu tahap yang boleh diterima pakai yang seterusnya boleh mengurangkan kesan antropogenik kepada sistem iklim global. Ia telah diratifikasikan oleh 197 negara termasuk Malaysia menyebabkan ia mempunyai kesahihan undang-undang yang terpakai kepada semua ahlinya.

Dalam Persidangan Ahli (COP) ke-15 di Copenghagen pada 2009, Malaysia dengan rela memberikan komitmen untuk mengurangkan 40% pembebasan karbon dalam KDNK pada 2020 berasaskan nilai pembebasan karbon dalam KDNK pada 2005. Pada COP ke-21 di Paris, Malaysia bukan sahaja bertindak selaku perunding utama untuk negara-negara membangun, tetapi juga meningkatkan komitmen pengurangan pembebasan karbon sebanyak 35% lagi menjelang 2030, dengan janji untuk terus mengurangkannya sehingga 45% sekiranya sokongan pembiayaan dan pemindahan teknologi wujud di peringkat antarabangsa. Jadi, sejauh manakah tindakan kita sekarang untuk memenuhi janji ini?

Pada 1965, Malaysia membebaskan 7 juta tan karbon dioksida. Pembebasan itu meningkat sehingga 100 juta tan pada 1996 dan mencecah tahap membimbangkan pada 2014 sebanyak 258 juta tan. Menyedihkan, tiada pemantauan yang dilakukan ke atas NOx, yang jauh lebih merbahaya berbanding CO2 yang terbebas.

Di sinilah dilema wujud, sekiranya anda mensasarkan pengurangan pembebasan, ia dikatakan boleh menjadi penghalang pembangunan industri. Tetapi menetapkan kepadatan karbon kepada sasaran KDNK boleh dilihat sebagai muslihat dokumentasi.

Muslihatnya ialah meningkatkan KDNK tanpa mengurangkan pembebasan gas rumah hijau daripada pembangunan sebenar. Jalan lain yang wujud, kita juga boleh meletakkan petanda aras dengan menggunakan pembebasan per kapita; yang juga sebenarnya meningkat!

Mari kita lihat lima sektor utama yang merupakan penyumbang terbesar pembebasan CO2 dan NOx dan apa yang kita boleh lakukan. “Lima Utama” ini ialah Tenaga, Pengangkutan, Pembinaan, Air dan Pengurusan Sisa.

Kelestarian tenaga - Kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui

Bagi perbincangan menyeluruh isu Tenaga, kita perlu memahami dua aspek yang meliputi permintaan (penggunaan) dan pembekalan (penjanaan tenaga). Kedua-duanya perlu diuruskan dengan optimum untuk memastikan pembekalan yang stabil dan berterusan kepada pengguna dengan kaedah yang mandiri dan kesan paling minimum kepada alam sekitar, tanpa mengorbankan pembangunan ekonomi.

Di rantau ini, Malaysia ialah salah satu pengguna tenaga paling tidak cekap; kalau diukur tingginya tahap kepadatan tenaga (energy intensity) kita. Negara jiran jauh ke depan berbanding kita dalam aspek EE. Ini merupakan jalan paling mudah untuk negara kita menjimatkan kos pengguna dan meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar dengan adaptasi penggunaan tenaga yang cekap, atau Kecekapan Tenaga (EE).

Kalau kita beri tumpuan kepada EE sahaja, ia boleh menjimatkan lebih RM60 bilion dalam masa 10 tahun (dengan menunda pembinaan tapak janaan tenaga baru, simpanan sumber untuk janaan tenaga dan simpanan subsidi gas) menurut KeTHHA; seperti mana yang awalnya dirancang dalam Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara (NEEMP), tetapi kemudiannya “diturun taraf” menjadi Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) pada 2014.

Menurut Natural Resources Defense Council (NRDC), EE ialah sumber tenaga paling utama- mengurangkan pembaziran tenaga dan menggunakan sepenuhnya apa yang sedia ada. Perkara ini juga benar kepada Malaysia. Sekiranya Malaysia boleh menjimatkan walaupun hanya 20% permintaan Tenaga, ia sudah bersamaan dengan 3,000 MW yang setanding dengan tiga unit tapak janaan tenaga nuklear. Bayangkan!

Mengapa tiada undang-undang atau dasar untuk mengawal EE di Malaysia? Sedangkan inilah yang sangat diperlukan sekarang. Kerangka pengawalan yang menyeluruh perlu dilaksanakan. Kita boleh bermula dengan memperkenalkan undang-undang kepatuhan EE kepada semua bangunan industri dan komersial!

Sektor pembekalan perlu memberi tumpuan kepada perkara sebenar, bukan ‘gimik pembungkusan’ semata-mata. Di Malaysia, janaan tenaga daripada sumber angin, gelombang dan laut mempunyai potensi terhad. Kita perlu mengakui yang pengganti kepada sumber tenaga boleh diperbaharui yang mempunyai aspek ekonomi berdaya maju ialah sumber hidro dan solar kecil (PV), sisa buangan, biogas, sisa perladangan, biomas daripada industri kelapa sawit. Ini ialah sumber yang kita perlu berikan perhatian.

Menurut Sustainable Energy Development Authority (SEDA), sasaran kepada janaan tenaga boleh diperbaharui perlu mencapai 2080 MW atau 11% menjelang 2020. Ini termasuk Ladang PV yang boleh meningkatan sasaran kepada 3,140 MW. Bagaimanapun, sehingga 2016, janaan tenaga boleh diperbaharui hanyalah 2%. Adakah kita tidak memberikan penekanan yang sewajarnya bagi mempromosikan janaan Tenagan Boleh Diperbaharui (RE) di Malaysia?

Menurut SEDA lagi, pada 2015, terdapat 128 projek RE (RM1.37 bilion) yang diluluskan dimana 84 projek ialah projek tenaga solar, 33 projek biogas, 4 projek hidro mini dan 7 projek biomas. Dalam tahun yang sama, 31 projek dalam EE (RM406.5 juta) juga telah diluluskan.

Soalnya sekarang, kemanakah duit yang diperuntukkan ini dan apakah perubahan yang terhasil dan kesannya kepada kita?

Perlu dinyatakan berdasarkan pemerhatian dilakukan yang walaupun insentif ini telah diberikan, projek-projek ini gagal dilaksanakan kerana syarikat-syarikat terlibat gagal melaksakanannya atau gagal memperolehi dana untuk pembiayaan projek.

Feed-in Tariff (FiT) yang boleh dianggap rendah serta subsidi yang diberikan kepada sektor tenaga bahan fosil menjadikan RE tidak berdaya saing. FiT semasa di Malaysia (tidak termasuk solar yang kini menggunakan meter tenaga piawai) ialah 0.05-0.10 USD/kWh berbanding di Indonesia pada 0.13-0.22 USD/kWh, Filipina pada 0.11-0.19 USD/kWh dan Thailand 0.12-0.19 USD/kWh.

Dengan meningkatkan FiT tanpa memindahkan kos kepada pengguna dan menghapuskan subsisi tenaga berkaitan fosil, anda akan dapat menyaksikan RE menjadi lebih berdaya saing.

Satu lagi kecanggungan yang wujud ialah proses pemberian tender kepada tapak janaan RE. Tender tapak tenaga solar banyak dianugerahkan melalui rundingan terus, malah terma dan syarat tender diklasifikasikan di bawah Aktar Rahsia Rasmi 1972.

Pengangkutan awam - Meningkatkan jumlah pengguna

Bagi sektor pengangkutan, langkah untuk bergerak maju ke depan perlu meliputi aspek jumlah kenderaan peribadi, meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam, dan yang paling utama ialah peralihan daripada pengangkutan yang menggunakan sumber fosil. Bagaimana kita mahu mencapai perkara ini dan di manakah kita sekarang? Adakah kita berada di landasan yang betul?

Pada 1980, 30% rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak. Ini ialah zaman bas mini yang kini sudah terhapus disebabkan dasar pengangkutan yang lebih menekankan pemilikan kenderaan persendirian berbanding penggunaan pengangkutan awam. Angka ini jatuh mendadak kepada hanya 12% pada 2008, sebelum meningkat sedikit mencecah 17% pada 2015, jauh lebih rendah berbanding 62% di Singapura dan 90% di Hong Kong, seperti dilaporkan Bank Dunia.

Peningkatan 5% sepanjang tujuh tahun lepas banyak disumbang oleh Transit Aliran Ringan (LRT). Bagaimanapun, 17% ialah jumlah yang sangat membimbangkan dan petanda betapa kita ketinggalan dan Malaysia perlu memikirkan kembali hala tuju masa depannya dalam aspek pengangkutan.

Bagaimana pula dengan kenderaan persendirian? The Journal of Traffic and Logistic Engineering (2015) mendedahkan yang sehingga tahun 2012, terdapat sekurang-kurangnya 20 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. Pemilikan kereta di Malaysia ialah yang ketiga tertinggi di dunia pada tahap 93% dengan 54% isi rumah mempunyai lebih daripada sebuah kereta.

Situasi lebih banyak kenderaan persendirian didaftarkan berbanding pengangkutan awam (bas) ini tidak sihat. Menurut Bank Dunia, penduduk Kuala Lumpur menghabiskan lebih daripada 250 juta jam terperangkap dalam kesesakan lalu lintas! Dan kesesakan lalu lintas ini merupakan kos lepas untuk KDNK sebanyak 2% atau RM80 per jam per pemandu.

Pembinaan Aliran Transit Massa (MRT) dan cadangan pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) adalah antara langkah perlu yang diambil bagi membangunkan kemudahan pengangkutan awam yang sesuai tetapi kosnya tinggi dan langkah ini sahaja masih belum mencukupi.

Anggaran kos pembinaan untuk MRT meningkat mendadak daripada kos awal RM40 bilion kepada kos sekarang berjumlah RM120 bilion (tinggi 2-3 kali ganda berbanding kos standard pembinaan di seluruh dunia), dengan pecahan kos ECRL dijangka mencecah RM55 bilion dan kos HSR ialah RM60 bilion.

Ketiga-tiga projek merupakan jenis pengangkutan dalam bandar yang berbeza tetapi penganalisis industri berpendapat yang peningkatan kos ini tidak masuk akal dan tidak munasabah. Satu-satunya sebab ia tidak menerima tentangan hebat masyarakat ialah kerana kita sangat terdesak memerlukan lebih banyak pengangkutan awam. Sangat mendukacitakan apabila keadaan semasa seperti ada pihak yang menangguk di air keruh.

MRT juga hanya dapat memberikan tambahan 2 juta pengguna setiap hari malah tidak dibincangkan secara serius apabila diumumkan di Parlimen sebagai projek kerajaan yang kemudiannya diubah menjadi projek swasta. Sangat mengejutkan apabila pembiayaan besar RM120 bilion dibelanjakan semata-mata untuk membina MRT yang sebahagian besar faedahnya hanya diterima penduduk Lembah Klang.

Apa yang lebih diperlukan ialah sistem pengangkutan awam yang holistik yang mampu mewujudkan perhubungan tempat yang lebih luas serta menyatukan pelbagai jenis pengangkutan; seperti Transit Bas Perantara (BRT) yang memberikan sokongan kepada perkhidmatan kereta api. Untuk setiap kilometer MRT, kita boleh membina 20 kilometer BRT. Lebih luas kawasan bermakna lebih capaian kepada orang awam.

Pengangkutan awam - Pengurangan pembakaran tenaga fosil dan pembebasan unsur bahaya

Usaha untuk membawa masuk Kenderaan Elektrik (EV), Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan kenderaan Hibrid ke Malaysia perlu diraikan. Semua ini pastinya dapat membantu mengurangkan pembebasan GHG dan menjadikan Malaysia pusat serantau kenderaan mesra alam.

Bagaimanapun, seperti mana kes pembinaan Landasan Kereta Api kita, matlamatnya tersasar jauh. Insentif yang ditawarkan disalurkan kepada sasaran yang salah.

Mengapa perlu kita memberikan insentif kepada EV persendirian mewah yang akhirnya hanya menjadi alat mainan orang kaya bermegah-megah? Pertama, ia tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat. Kedua, tenaga yang digunakan untuk mengecas kereta itu datangnya daripada grid tenaga negara- di Semenanjung Malaysia- yang mana 95% dihasilkan melalui bahan bakar api fosil.

Bagaimanapun, pengangkutan janaan elektrik boleh dipertimbangkan untuk pengangkutan awam samada LRT, MRT, Monorail, serta memperkenalkan BRT, bas dalam bandar, kereta api dalam bandar dan sebagainya. Semua ini sepatutnya jenis pengangkutan mesra alam. Matlamatnya ialah untuk meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam, mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya yang akhirnya akan dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.

Dalam masa kita menjadikan pengangkutan kita mesra alam, kita juga boleh memberikan insentif yang lebih banyak kepada kerajaan untuk menggunakan bas yang digerakkan oleh sumber biogas atau etanol. Ini ialah langkah yang sudah lama wujud, tetapi jarang sekali dilaksanakan. Kita dengan mudah dapat memperolehi biogas daripada sisa bio yang terdapat di Malaysia atau sistem sisa kumbahan perbandaran.

Sekiranya kerajaan merancang untuk membelanjakan wang membeli bas elektrik, kita boleh gunakan wang itu untuk membeli bas yang menggunakan biogas. Kalaupun ada yang mendakwa bas biogas lebih mahal berbanding bas konvensional, ianya akan berdaya saing sekiranya subsidi bahan api fosil dihapuskan.

Satu lagi insentif yang canggung ialah kenderaan hibrid mewah yang dipasang dalam negara termasuklah Audi, BMW atau Mercedes-Benz yang tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia.

Sebaliknya kita perlu memfokuskan kepada pemberian insentif dan potongan cukai yang lebih banyak kepada kenderaan mampu milik seperti model Honda dan Toyota dengan kapasiti enjin kurang daripada 2,000 cc.

Ketika kerajaan memperkenalkan pengecualian cukai kepada EV dan kereta hibrid pada 2012, kita menyaksikan peningkatan mendadak pembelian oleh pengguna. Malangnya, tindakan ini dihentikan pada 2014 dan pembelian kereta jenis tersebut jatuh mendadak.

Bangunan hijau- Industri Pembinaan dan Indeks Bangunan Hijau (GBI)

Industri pembinaan juga memainkan peranan penting dalam menyelamatkan Malaysia daripada Wabak semasa. Industri pembinaan ialah industri utama yang menggunakan sumber tidak boleh diperbaharui dan antara pengeluar sisa terbesar. Selain itu, operasi bangunan juga bertanggungjawab ke atas hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan gas CO2 yang dibebaskan.

Antara 30%-40% sumber semulajadi dieksploitasi oleh industri pembinaan, termasuklah 50% tenaga digunakan untuk menyejukkan bangunan. Hampir 40% penggunaan bahan dunia digunakan untuk pembinaan persekitaran dan 30% tenaga lagi digunakan untuk perumahan. Jelas sekali, industri pembinaan boleh memainkan peranan dalam memelihara alam sekitar dan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau yang memudaratkan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), agensi yang bertanggungjawab mengawalselia industri pembinaan Malaysia sentiasa mengambil tindakan proaktif untuk menangani isu pembinaan lestari dan membantu semua pihak melaksanakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan pembinaan berasaskan keluli yang lebih mesra alam dan mempunyai kecekapan tenaga lebih tinggi berbanding kaedah tradisional yang digunakan di Malaysia.

Ini boleh diukur melalui Indeks Bangunan Hijau (GBI), sistem ranking kebangsaan dan garis panduan untuk pembangunan hijau yang diperkenalkan pada 2009. Ia adalah kadar metrik yang memberi pengkelasan kepada semua aspek pembangunan hijau, daripada perancangan tapak pembinaan yang lestari sehinggalah kepada kecekapan operasi serta sumbangan pembinaan kepada kesejahteraan sosial. Semakin tinggi mata yang diperolehi, semakin tinggi kelulusan GBI yang diberikan serta insentif cukai hijau yang boleh digunakan bangunan terbabit.

Di Malaysia, contoh terbaik bangunan berkelulusan GBI ialah Bangunan Berlian Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya. Contoh lain ialah bangunan Malaysian Green Technology Corporation dan bangunan Suruhanjaya Sekuriti.

Malangnya, tidak banyak bangunan hijau yang wujud. Kita perlu bergerak pantas untuk mengubah semua pembangunan yang bakal dijalankan menjadi bangunan hijau lestari. Usaha yang lebih hebat sangat diperlukan dalam hal ini. Salah satu caranya ialah memastikan PR1MA menggunakan kaedah pembangunan hijau dalam perlaksanaan projeknya memandangkan buat masa kini mereka ialah penyumbang terbesar dalam pembinaan kediaman di Malaysia. Bagi pembangunan komersial pula, lebih banyak penguatkuasaan boleh diperkenalkan secara berperingkat untuk mencapai sasaran bangunan hijau lestari.

Air - Pemantauan bijak

Di Malaysia, 1,3890 juta liter air setiap hari (MLD) hilang kerana kebocoran paip dan kecurian, ia merupakan 32% bekalan air yang dikelaskan sebagai kadar air tidak berhasil (NRW). Bank Dunia mensasarkan NRW di setiap negara pada kadar 25% dan ke bawah. Kita jauh ketinggalan dan sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin. Untuk maju, kita perlu menetapkan matlamat untuk mencapai tahap negara maju seperti Singapura (5%) dan Jerman (7%).

Lebih banyak teknologi dalam pengurusan dan penggunaan sumber air diperlukan untuk menyediakan kualiti, kecekapan, perolehan, rawatan air yang lebih baik; yang boleh dicapai melalui pelbagai projek berteknologi tinggi. Sebaiknya, kita boleh bermula dengan pelaksanaan sistem pemeteran bijak yang membolehkan pengurangan kebocoran, kecekapan penggunaan, dan mewujudkan kesedaran penggunaan air di kalangan pengguna.

Bagaimanapun, semua ini tidak akan berhasil tanpa kewujudan pengurusan yang cekap yang perlu bermula sekarang.

Pengurusan sisa - Katakan tidak kepada tapak pembuangan sampah terbuka

Pengurusan sisa termasuklah rawatan kumbahan air, penggunaan sisa pepejal dan tapak pembuangan sampah terbuka yang bersih. Pelbagai jenis sisa wujud daripada industri, perbandaran, pertanian, kumbahan dan sisa organik. Umumnya, Malaysia buat masa sekarang menghasilkan 33,000 tan sisa pepejal setiap hari, ini tidak termasuk sisa pembinaan; dua pertiga daripadanya datang dari isi rumah bandar yang mempunyai tahap kitar semula yang sangat rendah iaitu sekitar 9.6%.

Masalah terbesar yang perlu diberikan perhatian ialah kewujudan tapak pelupusan sampah terbuka yang tidak bersih di Malaysia. Sekiranya kita boleh meletakkan sasaran 40% pengurangan sistem pembuangan terbuka menjelang 2020 kita boleh memperolehi manfaat pengurangan sekitar 5.8 juta tan CO2 yang bersamaan dengan pembebasan daripada 1.2 juta kereta di atas jalan setiap tahun. Kita boleh menjimatkan sebanyak RM 80 juta (perolehan tanah), RM16 juta setahun (untuk rawatan bahan larut resap tanah) dan RM 5.2 bilion (pengelakkan CAPEX).

Tambahan pula, tapak pembuangan sampah yang tidak bersih sedia ada kini apabila ditutup, masih tidak boleh digunakan paling kurang selama 20 tahun. Apatah lagi, jangka hayat purata tapak pelupusan sampah terbuka hanyalah 10 tahun. Ketika ini, kita berterusan memperluaskan lagi tapak ini dengan perolehan tanah berdekatan dengan lokasi tapak sedia ada. Ia satu kerugian penggunaan tanah sedangkan kawasan itu boleh digunakan untuk perkara lain seperti tapak perumahan rumah kos rendah. Kita perlu bertindak pantas dengan mengurangkan sisa buangan ke tapak pelupusan sampah terbuka yang membebaskan gas metana merbahaya.

Teknologi untuk kitar semula sisa, sisa untuk tenaga, sisa sebagai baja, pengurangan sisa boleh diimport ke negara-negara utama di Eropah. Ketika ini, banyak syarikat datang untuk melabur dan menjalankan pemindahan teknologi, tetapi kita perlu menyediakan jumlah Upah Longgokan (Tipping Fee) yang bersesuaian bagi memastikan projek ini berdaya saing dan menjimatkan.

Ketika ini, Upah Longgokan yang diberikan kerajaan kepada pengendali tapak sampah terbuka menutup pilihan lain. Sekadar perbandingan, Thailand, Indonesia dan Filipina menyediakan Upah Longgokan dua kali ganda nilai kita.

Menyelamatkan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi lestari Malaysia

Usaha kita ialah usaha serampang dua mata. Kita masih boleh memelihara alam sekitar serta menjana faedah ekonomi, dan dalam jangka panjang, mengambil peluang untuk menjadi pemimpin teknologi rantau ini. Ini juga merupakan satu bentuk tambah nilai kepada ekonomi dan berubah daripada “kapitalisma rentier” kepada kapitalisma industri teknologi.

Tindakan pantas untuk membuktikan kita bukan “cakap kosong” perlu dilakukan sekarang bagi merealisasikan komitmen Malaysia sepertimana termaktub dalam COP 15 (2009) dan COP 21 (2015).

Dalam isu Tenaga, kita perlu memberi tumpuan kepada EE yang boleh memberikan faedah mudah dan segera, dan kemudiannya mengembangkan komponen RE, hanya selepas itu dilakukan kita boleh mempertimbangkan samada perlu atau tidak membina tapak tenaga fosil yang baru.

Kita perlu segera melaksanakan Akta EE dan dasar yang secara menyeluruh mengawal selia dan melaksanakan EE di Malaysia. Bagi mempromosikan RE, penilaian semula kepada FiT dan penyediaan insentif perlu menjadi keutamaan segera.

Bagi pengangkutan, jumlah wang yang banyak yang dibelanjakan dalam projek pengangkutan yang sedang berlangsung perlu dinilai semula dan dipersoalkan secara serius. Pengangkutan menyeluruh yang meliputi semua jenis pengangkutan perlu diperkenalkan.

Insentif juga perlu ditawarkan kepada penggunaan kenderaan elektrik persendirian, mengurangkan kenderaan persendirian, dan proses meningkatkan jumlah pengguna kenderaan awam perlu dinilai kembali dengan memberikan keutamaan kepada keperluan pengguna.

Hybrid dan EEV untuk kegunaan persendirian adalah pilihan yang lebih baik berbanding EV, kerana ia lebih mampu milik untuk pengguna yang bergantung kepadanya untuk berhubungan.

Bagaimanapun, pengangkutan awam- gabungan pengangkutan janaan elektrik dan adaptasi biogas sebagai sumber bahan bakar ialah penawar yang sangat kita perlukan sekarang.

Lebih banyak tumpuan wajar diberikan untuk menggalakkan pembinaan bangunan lestari dan bandar pintar. Pembiayaan R&D dalam semua inisiatif teknologi hijau juga perlu ditingkatkan. Kita perlu menyelesaikan isu NRW dengan teknologi terkini bagi mengurangkan kebocoran paip air. Tiada usaha signifikan yang dilakukan untuk pengurusan sisa buat masa ini, maka sudah tiba masanya untuk memberikan tumpuan kepada perkara ini. Pasukan khas industri perlu dibentuk bagi menangani masalah ini.

Bagi melengkapi kerajaan dan sektor swasta, penggerak ketiga iaitu organisasi sivil perlu diberikan sokongan kerana mereka mampu untuk menerobos masuk ke peringkat akar umbi dan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia. Misalnya ialah Malaysia’s National Coalition of Environmental (MENGO), gabungan 30 NGO yang ditubuhkan pada 2009 yang sangat aktif dalam mencetus dan membentuk kesedaran alam sekitar di kalangan rakyat Malaysia.

Semua perkara di atas ialah desakan untuk semua pihak berkaitan melakukan perubahan menyeluruh dengan sokongan penuh kerajaan, termasuklah agensi, sektor swasta dan juga penggerak ketiga; NGO dan semua rakyat Malaysia.

Kita boleh membantu menjaga alam sekitar, membunuh “Musibah” yang sedang kita depani, pada masa yang sama membangunkan ekonomi kita dengan mengutamakan inisiatif pembangunan ekonomi bagi memperolehi “nilai terbesar untuk setiap sen yang dibelanjakan”.

Pelaburan modal di bawah rancangan pembangunan 5 tahun kita; terutama untuk Rancangan Malaysia ke-11 yang sedang berlangsung, dan eksport perkhidmatan teknologi dan pakar kita dalam rantau ini dengan menjadi pemimpin teknologi hijau serantau, adalah pilihan di depan mata yang mampu menjana keuntungan lebih besar serta pertumbuhan ekonomi mapan tetapi pada masa yang sama masih mengawal pembebasan Karbon kita.

Perlaksanaan semua cadangan di atas perlu bergegas dilakukan sekarang untuk Lima Sektor Utama. Malaysia Boleh!



*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli

Tiada ulasan: