Jumaat, 30 Disember 2016

Tiga kementerian bertanggungjawab kawal selia penggunaan vape

ISMA WEB
 
 

KUALA LUMPUR– Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI) ditugaskan untuk mengawal selia penggunaan rokok elektronik dan vape.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Oktober lalu.

KPDNKK dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan mengawal selia dan menguatkuasa peraturan standard keselamatan bagi bateri dan peranti mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

KPDNKK juga akan mengawal selia dan menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik serta vape mengikut akta sedia ada.

Selain itu, aktiviti pelesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut akta baharu juga akan dikawal oleh KPDNKK.

Sementara itu, KKM pula akan mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin, mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

“KKM juga akan mengawal selia penjualan, promosi, penajaan dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik atau vape, manakala larangan merokok termasuk larangan penggunaannya bagi pengguna bawah umur.

“MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut Akta Standard Malaysia 1996,” kata kenyataan itu.


Tiada ulasan: