Jumaat, 30 Disember 2016

Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017

ASTRO AWANI


Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017
Kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 Sept 2017.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata tindakan itu susulan pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi (boleh urai) yang berkuat kuasa mulai Ahad ini.

Beliau berkata kementerian memberi tempoh selama sembilan bulan sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada warga kota sebelum melaksanakan 100 peratus penggunaan bahan tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, kita menyasarkan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bebas plastik. Saya menggalakkan rakyat agar berhenti menggunakan beg plastik, sila bawa beg anda sendiri apabila membeli-belah," katanya pada sidang media sempena penguatkuasaan penggunaan produk biodegradasi di sini hari ini.

Katanya kementerian telah memaklumkan kepada persatuan peniaga dan pasar malam berhubung pelaksanaan itu selain mendapat kerjasama daripada pembekal produk biodegradasi yang menepati keperluan peniaga dan pengguna.

"Kebiasaannya bahan biodegradasi ini mahal...hasil daripada perbincangan bersama pembekal, mereka telah pun bersetuju untuk menawarkan harga borong yang wajar kepada peniaga-peniaga setanding dengan harga polisterin dan plastik," katanya.

Loga Bala berkata tindakan proaktif kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman polisterin dan plastik terhadap kesihatan, sekali gus menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi.

Pelancaran penggunaan bahan boleh urai itu telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 3 Jun lepas.

Mengulas mengenai pelaksanaan undang-undang itu, rakan kongsi Restoran Chat Masala Brickfields dan Klang, N. Palaniappan berkata restoran itu sedang menggantikan bekas polisterin kepada bekas makanan biodegradasi secara berperingkat.

"Kami faham akan keburukan bekas polisterin itu...jadi kami guna pendekatan gantikan ia dengan bekas mesra alam bagi pengguna.

"Biarpun harga bekas itu lebih mahal berbanding bekas polisterin, kami tak kisah melaksanakannya...harga makanan yang dijual akan tetap sama, margin keuntungan mungkin kurang tetapi kami tidak akan rugi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, restoran itu pernah menerima notis daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi.
 
Sementara itu, peniaga pasar malam di Pantai Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Kadir berkata larangan penggunaan plastik di pasar malam sukar dikawal memandangkan pengguna lebih 'mesra plastik'.

"Mungkin mereka perlu membawa beg kertas atau beg kain sendiri ketika ke pasar malam, implementasi sepenuhnya tetap akan mengambil masa panjang," katanya. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: