Khamis, 29 Disember 2016

Anina dakwa tunggu masa tekan 'kunci'

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin mengugut untuk menggunakan 'kunci' yang ada padanya untuk menghancurkan pihak yang cuba menjatuhkannya.
 
"Kepada mereka yang begitu ghairah bermain dengan kehidupan seorang ibu kepada 3 srikandi hidup saya ini, saya ingin berpesan. Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua. 
 
"Jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk dari apa yang ada di sebelah sini. Saya sudah cukup baik selama ini. Saya tidak melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan sampah ke mulut rakyat," demikian memetik tulisan Anina di laman Facebooknya.
 
Anina pada baru-baru ini terpalit dakwaan skandal seks apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar.
 
Bukan itu sahaja Anina juga 'dilucutkan' jawatan sebagai Ketua Srikandi PPBM selepas dikatakan wujud 'kesilapan teknikal' dalam pelantikan itu.
 
Kekeliruan yang wujud terhadap skandal peribadi dan politiknya, menurut Anina akan dijawab dalam satu sidang media sambil menunggu reaksi pimpinan tertinggi partinya.
 
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Anina dalam tulisannya juga menjelaskan tidak gentar untuk berdepan dengan pihak yang cuba menjatuhkannya.
 
"Jika saya berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang berkuasa tanpa gentar, saya juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja yang kencing perjuangan saya.
 
"Jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," katanya.
 
Anina juga berkata, beliau seperti wanita lain mahukan seorang lelaki yang melindunginya dan bukannya mengancamnya jika sesuatu yang diinginkannya gagal dimilikinya.
 
 

Tiada ulasan: