Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina Saadudin berkata terlalu awal untuk Umno Kelantan membuat kenyataan berhubung prestasi parti serpihannya itu di negeri berkenaan.
Malah beliau mendakwa bukan hanya ahli Umno menyokong parti itu, malah
mereka turut mendapat sokongan daripada ahli PAS Kelantan dalam
menghadapi pilihan raya akan datang.
Kata Anina lagi, hanya pengundi yang boleh memberikan kata putus samada
parti teraju bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu diterima
atau tidak di negeri itu.
"Sokongan rakyat itu diterjemahkan di atas kertas undi sekiranya Datuk
Seri Mustapa Mohamed memberikan komen yang terlalu awal sebegitu
bermaksud dia bimbang dengan kehadiran Bersatu (PPBM) kerana parti ini
bukan hanya mendapat sokongan ahli (Umno) sahaja tetapi juga daripada
pihak ahli PAS Kelantan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed
semalam berkata kehadiran PPBM di Kelantan tidak akan memberi kesan
kepada Umno BN dan tidak akan melemahkan semangat Umno untuk terus
bekerja membela nasib rakyat negeri itu.
Malah beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
turut berkata, walaupun PPBM mempunyai beberapa bekas pemimpin Umno dan
berusaha memenangi hati rakyat, ia tidak bermakna parti itu kuat.
"Kalau Datuk Seri Mustapa Mohamed terlalu awal tampil untuk memberikan
komen mengenai sokongan rakyat tidak berbelah bahagi kepada Umno di
Kelantan, dia perlu sedar bahawa Umno tidak pernah menang pun selama ini
di Kelantan," bidas Anina terhadap kenyataan Mustapa.
Dalam perkembangan lain, Anina berkata beliau tidak akan meletakkan
jawatan selaku kepimpinan parti itu ekoran pertuduhan skandal seks yang
melibatkan dirinya baru-baru ini.
Ia ekoran tersebarnya transkrip perbualan lucah melalui aplikasi
WhatsApp baru-baru ini, yang didakwa melibatkan Anina bersama seorang
lelaki.
"Saya bukan ahli politik dan seperti mana yang sedia maklum di Malaysia
ini cara paling mudah untuk menjatuhkan seorang pemimpin adalah melalui
skandal seks, saya sebagai pejuang rakyat dan bukan ahli politik. Saya
tidak melayan isu-isu sebegini," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan