AMPANG JAYA: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos,
seharusnya menggunakan saluran betul seperti menyerahkan memorandum
kepada pihak berkuasa tempatan sesebuah daerah berhubung aktiviti premis
perjudian yang wujud di sekitar Selangor.
Ini kerana tindakan melakukan pemeriksaan dan serbuan tanpa kebenaran
adalah melanggar undang-undang jika pemilik premis tampil membuat
laporan, selain turut mengancam keselamatan Jamal dan pengikutnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata tindakan Jamal itu
melanggar undang-undang ditetapkan iaitu melakukan pencerobohan ke atas
sesuatu tempat.
"Jika pemilik sesebuah premis membuat laporan, Datuk Seri Jamal boleh dikenakan tindakan atas kesalahan berkenaan.
"Dia mungkin mempunyai niat yang baik untuk mendedahkan kegiatan judi
dan maksiat serta pusat hiburan haram sekitar Selangor, namun gunakanlah
saluran yang betul," katanya dipetik BH, sebentar tadi.
Beliau memberitahu, Jamal boleh membuat laporan polis berhubung
aktiviti seperti ini jika berpendapat tindakannya untuk memaklumkan
kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, tidak dilayan.
"Saya bimbang juga kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian
dengan elemen kongsi gelap dan ini boleh membahayakan dirinya sendiri,"
katanya.
Abdul Samah bagaimanapun ingin melihat secara terperinci mengenai
dakwaan Jamal bahawa terdapat sekurang-kurangnya lebih 400 premis
perjudian di sekitar daerah Ampang Jaya sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan