Ahad, 25 Disember 2016

Peruntukan RM50 juta untuk sekolah Cina ‘hilang’?


Roketkini.com

IPOH: DAP hari ini membuat laporan polis berhubung ‘kehilangan’ wang peruntukan berjumlah RM50 juta untuk sekolah-sekolah rendah Cina di bawah Belanjawan 2016 yang lalu.

Ketua Biro Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak polis menyiasat sama ada insiden tersebut ada kaitan dengan penyelewengan dana atau penyalahgunaan kuasa.

Jelasnya, laporan akhbar China Press hari ini menyatakan Kementerian Kewangan telah mengesahkan peruntukan penuh telah pun diberi kepada Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menafikan perkara itu.

“Amat tidak boleh diterima apabila hanya tinggal lapan hari lagi pada 2016, tetapi 800 sekolah rendah Cina di negara ini masih belum menerima satu sen pun daripada peruntukan itu.

“Perkara sama juga terjadi pada tahun lepas, apabila RM30 juta yang diperuntukkan untuk sekolah-sekolah rendah Cina akhirnya digunakan untuk bantuan banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, ujar Setiausaha Organisasi DAPSY Perak itu, tidak ada kes sedemikian dilaporkan pada tahun 2013 dan 2014, iaitu sebelum parti MCA menyertai semula kabinet.

Malah, semua peruntukan RM50 juta yang dijanjikan kepada sekolah-sekolah rendah Cina pada kedua-dua tahun berkenaan disalurkan sepenuhnya.

“Namun selepas MCA menyertai semula kabinet, masalah mula timbul kembali dan peruntukan untuk sekolah-sekolah rendah Cina dilaporkan hilang,” tegas Zhemin. – Roketkini.com


Tiada ulasan: