Jumaat, 23 Disember 2016

Singapura hukum orang ketiga terlibat seleweng dana 1MDB

Yeo JiaweiYeo Jiawei

Bekas eksekutif bank Yeo Jiawei menjadi individu ketiga menerima hukuman di Republik Singapura atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Yeo dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh mahkamah hari ini, selepas disabitkan atas kesemua empat kesalahan mengganggu saksi.

Bagi setiap satu pertuduhan, Yeo boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Selepas perbicaraan selama 12 hari yang berakhir bulan lalu, Hakim Ng Peng Hong menyifatkan bekas eksekutif Bank BSI itu sebagai seorang yang "tidak boleh diharap" dan "tidak berwibawa" sebagai saksi.

"Tertuduh (Yeo) menafikan usahanya untuk menyeleweng secara sengaja langkah keadilan. Dia mendakwa orang yang mengilhamkan rancangan untuk menipu kepada CAD (Jabatan Ehwal Komersil) adalah Kevin Swampillai (bekas penyelianya di BSI).

"Selepas menilai versi bukti yang bercanggah... saya mendapati tertuduh tidak boleh dipercayai dan bukan seorang saksi yang berwibawa. Beliau gagal menimbulkan sebarang kesangsian terhadap kes pihak pendakwa. Pihak pendakwaraya telah membuktikan secara jelas dan nyata berhubung kesemua dakwaan yang dihadapi," ujar Ng ketika membacakan penghakimannya.

Mahkamah mendapati selepas Yeo dibebaskan atas ikat jamin polis, dia telah mengatur satu pertemuan pada 27 Mac di Swiss Club bersama-sama rakannya, Samuel Goh Sze-Wei dan Swampillai yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Khidmat Pengurusan Mewah BSI, lapor Berita Harian Sg.

Yeo memberitahu mereka supaya berbohong kepada polis bahawa wang yang dipindahkan kepada syarikat adalah milik Swampillai dan dibuat atas kehendaknya.

Yvonne Seah Yew FoongYvonne Seah Yew Foong
Pada 16 Disember lalu eksekutif perbankan privet BSI, Yvonne Seah Yew Foong, menjadi orang kedua disabitkan di Singapura dengan kesalahan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Seah, 45, mengaku salah atas tiga kesalahan kerana membantu memalsukan dokumen dan gagal melaporkan transaksi mencurigakan membabitkan taikun kewangan Malaysia, Low Taek Jho.

Pihak pendakwa raya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu.

Dalam rayuannya, Seah mengemukakan alasan menghidapi "klaustrofobia" atau "takut berada di tempat tertutup."

Bagaimanapun pihak pendakwa mempertikaikan alasan Seah memandangkan 'klaustrofobia' tidak terdapat dalam mana-mana laporan doktor membabitkan beliau.

Penyelia Seah, Yak Yew Chee, kini sedang menjalani hukuman penjara 18 minggu selepas mengaku salah atas kesalahan serupa.

Yak, 57, didenda S$24,000 dan diminta menyerahkan S$7.5 juta "sebagai menunjukkan kekesalan sebenar dirinya".

Jho Low telah dikenal pasti pihak berkuasa Singapura sebagai individu yang mempunyai kepentingan dalam siasatan yang sedang dijalankan membabitkan transaksi kewangan 1MDB yang menyalahi undang-undang.
Jho Low juga dikaitkan dengan dakwaan menggelapkan berbilion dolar dari dana negara.

Yak, pegawai perbankan peribadi Jho Low ialah pegawai atasan Seah dan Seah ialah kakitangan paling kanan dalam pasukan Yak.

Pihak pendakwa raya berkata, Seah membantu Yak dalam menguruskan hubungannya dengan Jho Low dan bapanya, Low Hock Peng dan menerima arahan Yak.

Yak pula menerima arahan daripada Jho Low dan bapanya.
Tuduhan ke atas Yak dan Seah adalah berkaitan dengan pemindahan wang yang dilakukan pada 2 November 2012 berjumlah USD153 juta (S$220.65 juta) dari satu akaun Coutts Zurich yang dimiliki firma Good Star, yang dikawal Jho Low, ke akaun BSI Singapore yang dibuka di Abu Dhabi iaitu Kuwait-Malaysia Investment Corp, yang mana ia merupakan satu lagi akaun yang boleh digunakan Jho Low.
Tiga hari kemudian, sejumlah S$153 juta telah dipindahkan ke akaun BSI milik Low Hock Peng.

Pada 7 November, sejumlah S$150 juta telah dipindahkan ke satu lagi akaun BSI yang dimiliki Jho Low.

Dari akaunnya, sejumlah USD110 juta telah dipindahkan ke satu akaun Swiss yang dimiliki Selune, sebuah firma yang yang beliau meraih faedah daripadanya.

"Pengaliran wang dari Jho Low ke bapanya dan kembali ke Jho Low sebelum ia dipindahkan keluar dari BSI telah disoal oleh seorang pegawai dari BSI Compliance pada 6 Nov 2012.

"Transaksi ini tidak menuruti garis panduan yang ditetapkan," kata Timbalan Pendakwa Raya, Nathaniel Khng di mahkamah.

"Dalam memberi jawapan terhadapnya, Jho Low secara berani menyatakan dalam emel pada 7 November 2012 kepada BSI bahawa dia telah memutuskan untuk memberi bapanya kemewahan yang beliau kecapi 'sebagai dasar hormat dan murah rezeki yang timbul daripadanya' dan bapanya kemudian memutuskan untuk menerima hanya jumlah yang kecil dan selebihnya dikembalikan," kata Khng.

Tiada ulasan: