KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali menyokong cadangan Raja Muda Selangor, Tengku Amir
Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya pengurusan persatuan bola
sepak negeri itu dirombak semula.
Menerusi akaun rasmi Twitternya, Azmin berkata dia menyokong sepenuhnya
mengenai cadangan itu dan mahukan mereka yang tidak lagi mampu memberi
apa-apa sumbangan supaya berundur secara terhormat.
"Saya menyokong 100 peratus cadangan daripada Tengku Amir Shah untuk
merombak FAS. Mereka yang tidak lagi boleh membuat kerja yang
diamanahkan seharusnya memberi peluang kepada mereka yang melakukannya.
"Bola sepak adalah membabitkan sukan, pembinaan berpasukan dan kemahuan untuk berjaya dan tidak membabitkan politik.
"Malah amaran Tengku Amir Shah terhadap kebergantungan kepada mentaliti
yang mengharapkan subsidi juga tepat pada masanya dan itulah yang
sepatutnya kita lakukan," katanya.
Memetik laporan BH Online, konflik membabitkan pengurusan FAS nyata
begitu membimbangkan sehingga mendapat perhatian Tengku Amir Shah Sultan
Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi akaun rasmi Instagramnya, beliau turut menyarankan 'orang
lama' dalam organisasi terbabit supaya berundur diri dengan cara
terhormat.
Tambah beliau, mentaliti pengurusan FAS yang mengharapkan subsidi dan
dana kerajaan negeri perlu dihapuskan selain rombakan penuh membabitkan
Ahli Jawatankuasa (Exco) badan induk bola sepak negeri itu agar ia lebih
relevan dan sesuai dengan kehendak generasi sekarang.
Selain itu, Tengku Amir Shah juga menuntut Mohamed supaya
memperkenalkan barisan baharu yang bebas daripada unsur-unsur politik,
berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil
yang positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan