Sabtu, 31 Disember 2016

Kejar pangkat boleh tapi jangan cara haram

kerja
Gambar hiasan.


SHAH ALAM - Tanamkan sifat taqwa dan integriti dalam menghadapi dugaan hidup yang penuh dengan cabaran. Demikian antara intipati ucapan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Datuk Seri Zakaria Jaafar sempena Ucapan Tahun Baharu 2017.

Ujarnya, bagi menjauhi rasuah, individu harus menjauhkan diri daripada sikap tamak, mementingkan diri sendiri dan tidak amanah.

"Buatlah apa yang boleh kita buat. Jangan buat perkara yang kita tidak boleh buat seperti maksiat dan perbuatan haram.

"Jangan kita ambil mudah dalam memperolehi sesuatu dengan perbuatan yang salah dari sisi agama mahupun undang-undang. Hindarkan sikap ego dan sombong diri agar segala perbuatan dan keputusan yang dibuat akan berlandaskan pada nilai integriti yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zakaria menasihati orang ramai supaya berusaha dengan cara yang betul dan berintegriti dalam mengejar pangkat, kedudukan dan kekayaan.

"Jangan kita ambil hak orang lain dan menindas orang yang lebih rendah dari kita hanya untuk mencapai apa yang kita kehendaki. Kejayaan yang sangat manis dan bermakna ialah kejayaan yang diperolehi dengan hasil usaha dan tenaga kita melalui jalan yang betul. Kerana rezeki yang baik akan menjadikan kita keluarga yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menanam semangat bermaafan dan ringan tangan dalam menjalankan tugas harian.

"Semangat ini akan membawa kita kepada sifat taqwa, kesyukuran dan sentiasa bersangka baik dalam menjalankan tanggungjawab. Intergriti itu adalah dalam diri kita sendiri. Yakinilah segala perbuatan baik akan dibalas dengan baik dan begitu juga sebaliknya," katanya lagi.

Tambah Zakaria lagi, tahun 2017 diramalkan akan lebih mencabar akibat dari keadaan ekonomi yang bergolak, tekanan dari negara luar terhadap isu 1MDB, kenaikan harga barang dan ramalan kehilangan pekerjaan yang dijangka mencapai 50,000 pekerja dari semua sektor.

"Belia dan golongan cendiakawan yang menjadi harapan negara kini menjadi sasaran perasuah bagi memenuhi keperluan mereka memperolehi keuntungan. Kemerdekaan dan Pembangunan Negara yang dibina selama 59 tahun akan musnah dan terkubur dengan sekelip mata akibat dari perbuatan rasuah," katanya.

Oleh itu, ujarnya "tanggungjawab memerangi rasuah terletak pada semua rakyat Malaysia. Rasuah akan terus berleluasa sekiranya masyarakat hanya menunding jari, berpuak-puak dan berpecah belah menyalahkan satu sama lain," katanya

Tiada ulasan: