Memaparkan catatan dengan label POLITIK - PPBM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label POLITIK - PPBM. Papar semua catatan

Selasa, 9 Jun 2020

Dr M, 5 pemimpin PPBM ‘terhenti’ keahlian fail tuntutan batal pemberhentian

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama 5 pemimpin PPBM lain yang “terhenti” keahlian memfailkan tuntutan untuk membatalkan pemberhentian itu.

Mereka menamakan Presiden Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan dalam tindakan sivil itu.

Peguam Haniff Khatri Abdullah yang mewakili mereka berkata penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain Mahathir, 5 yang lain ialah anaknya Mukhriz, bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik, bekas timbalan menteri Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya, serta PPBM turut dinamakan sebagai plaintif.

Mereka berhujah keputusan memberhentikan keahlian mereka tidak sah kerana Suhaimi tiada kuasa menyingkirkan mereka dari PPBM, serta jawatannya tidak diiktiraf di bawah perlembagaan parti.

“Pemberhentian kami atas alasan kami mengingkari parti dengan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Tidak betul untuk menggunakan Artikel 10.2.2 atau 10.2.3 perlembagaan PPBM terhadap kami kerana kedua-dua peruntukan itu menyatakan ahli yang menyertai parti politik lain atau meletak jawatan dari PPBM akan terhenti keahlian mereka,” kata mereka sambil menambah mereka tidak meninggalkan PPBM.

Mereka turut mendakwa Muhyiddin menggunakan kuasanya
“secara salah” dalam mengumumkan beliau ialah pemangku pengerusi pada 28 Feb lalu.

“Beliau kemudiannya membuat pengumuman untuk PPBM meninggalkan Pakatan Harapan berdasarkan keputusan pada 24 Feb oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Kami berhujah tiada keputusan dibuat ahli MPT untuk tujuan itu.”

Mereka berkata, mesyuarat tergempar MPT diadakan pada 25 Feb dan memutuskan Mahathir kekal sebagai pengerusi.

Bagaimanapun, katanya, defendan pertama Muhyiddin tampil dengan kenyataan pada 28 Feb mengumumkan beliau ialah pemangku pengerusi dan ini bertentangan keputusan MPT.

Mereka mendakwa Muhyiddin melakukan “penstrukturan semula” jawatan dalam MPT dan “mengenepikan atau memansuhkan” penglibatan beberapa individu yang tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin.

“Kami akan mengemukakan bukti untuk menyokong tuntutan ini,” kata mereka.

Selain mengembalikan keahlian, mereka memohon untuk membatalkan keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Suhaimi atas alasan mereka menyertai Perikatan Nasional.

Awal bulan ini, MPT PPBM mengesahkan keahlian plaintif itu dihentikan.

Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin menolak keahlian mereka dihentikan dan bertegas mereka tidak melanggar perlembagaan parti dengan duduk di blok pembangkang.

PRK Chini: Kem Mahathir juga tak letak calon

Malaysiakini

Kem pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Dr Mahathir Mohamad tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil PRK Dun Chini yang bakal diadakan 4 Julai nanti.

Keputusan itu diambil selepas PKR mengumumkan untuk tidak bertanding di kerusi itu yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Setiausaha Politik kepada Mahathir, Abu Bakar Yahya, berkata Dun Chini adalah kerusi yang ditandingi PKR mewakili Pakatan Harapan (PH).

"Tak adalah (tak letak calon), kerusi itu kuota PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Ditanya sama ada kem bekas perdana menteri itu ada membincangkan untuk meletak calon bertanding, Abu Bakar secara ringkas berkata: "Setakat ini tidak ada (sebarang perbincangan)," katanya lagi.

Pada 6 Jun lalu, PKR mengumumkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon bagi PRK di dewan undangan negeri Chini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Malaysiakini bahawa ia juga bermakna Pakatan Harapan (PH) tidak akan meletakkan calon.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, partinya membuat keputusan itu selepas mengambil kira masalah Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara.

Selaras dengan keputusan PKR itu, Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar BN diberi kemenangan percuma di situ tanpa ada mana-mana parti lain meletakkan calon termasuk Bebas.

Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata ia selaras dengan pendirian Mahathir bahawa pilihan raya tidak sesuai diadakan ketika ini meskipun merujuk dalam konteks persekutuan.

Malah katanya, jika PRK Chini tidak diadakan ia boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4.3 juta.

PRK Dun Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.

Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi itu selama empat penggal bermula PRU ke-11.

Pada PRU ke-14 lalu, Allahyarham yang mesra dipanggil "Datuk Burn" atau Ayah Nga dalam kalangan penduduk memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.

Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi dan calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 1,065 undi.


Ahli MT Bersatu yakin Muhyiddin kekal PM selepas PRU15

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Anggota majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman yakin presiden partinya Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini meskipun Umno dan PAS di bawah Muafakat Nasional memberi gambaran bahawa Bersatu akan dipinggirkan dalam PRU akan datang, walaupun parti-parti itu kini bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Ya. Kerana itu antara asas pembentukan PN dan antara isi persefahaman kami untuk hadapi PRU," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya apakah beliau yakin Muhyiddin akan terus menjadi perdana menteri jika PN menang dalam PRU akan datang .

Semalam, pemimpin Bersatu yang disingkirkan, Maszlee Malik mengatakan situasi politik ini pada akhirnya akan menyaksikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi atau Najib Razak akan menjadi perdana menteri selepas PRU akan datang.


Baca: Bergayut di dahan PN jalan sukar buat Bersatu


Kedua-dua pemimpin Umno itu kini sedang menghadapi perbicaraan rasuah di mahkamah.

Maszlee berkata, beberapa pemimpin Umno sebelum ini turut menolak PN didaftarkan secara rasmi.

"Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari Umno yang mengesahkan untuk bertanding di PRU15 menerusi PN.

"Umno ialah parti dominan dan sudah tentulah calon perdana menteri bukan lagi Muhyiddin, tetapi daripada Umno. Calonnya sudah tentu Najib atau Zahid Hamidi," katanya.

Bagaimanapun Muhammad Faiz menolak pandangan Maszlee dengan menyifatkannya sebagai "spekulasi tidak berasas".

"Dr Maszlee bukan lagi ahli parti Bersatu. Jadi kenyataannya hanya spekulasi tanpa asas.

"Bersatu kini dalam Perikatan Nasional sepertimana PAS dan Umno. Kami semua bersatu di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadapi PRU," kata Muhammad Faiz.

Maszlee berpihak kepada bekas perdana menteri dan anggota parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang bersaing dengan Muhyiddin untuk menguasai semula Bersatu dan kerajaan.

Turut bersama Mahathir ialah anaknya Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Bersatu, yang kini dikawal Muhyiddin, mengisytiharkan keanggotaan kelima-lima pemimpin berkenaan terlucut serta merta selepas berpihak kepada pembangkang.

Susulan tulisan Maszlee, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyatakan PAS yakin bahawa PN dapat menyelesaikan 

PN sudah bersiap-sedia menghadapi PRU-15, termasuklah dalam soal memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin hari ini berkata ia hanyalah keyakinan yang dizahirkan oleh PAS kerana perkara itu masih belum dibincangkan.

Anggota majlis tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang merupakan antara penentang kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang,  berkata tanggungjawab pengagihan kerusi kini terletak pada kepemimpinan tertinggi Umno.

"Tanya presiden atau timbalan presiden Umno," katanya.

Isnin, 8 Jun 2020

Pemuda PPBM berkempen gesa siasatan atas dakwaan Guan Eng

Pemuda PPBM merancang membuat laporan polis mengenai dakwaan mengaitkan Lim Guan Eng, yang akan disiasat SPRM.

PETALING JAYA: Satu kempen di seluruh negara akan dimulakan Pemuda PPBM hari ini untuk membuat laporan polis yang menggesa siasatan ke atas dakwaan tindakan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berhubung akaun bank seorang ahli perniagaan yang dibekukan.

Ketua Pemuda PPBM Putrajaya, Haris Faizal berkata, setiap bahagian Pemuda PPBM diminta membuat laporan polis berdasarkan satu laporan FMT pagi semalam.

Beliau berkata, Pemuda bahagian di Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menyerahkan satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 12 tengah hari.

Selepas itu, satu kempen mobilisasi di seluruh negara akan dijalankan.

“Setiap bahagian Pemuda PPBM akan ke (balai polis) di kawasan mereka sendiri,” katanya kepada FMT lewat malam tadi.

Laporan FMT semalam menyatakan Lim didakwa meminta Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan beberapa akaun bank seorang taikun hartanah yang dibekukan dalam siasatan pengubahan wang atas dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mengulas laporan itu, Lim memberitahu Malaysiakini: “Kes di luar bidang kuasa saya dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan. Pihak berkuasa berkaitan yang mempunyai kuasa untuk bertindak”.

SPRM mengesahkan akaun bank berkenaan sudah dilepaskan atas arahan peguam negara ketika itu.

Lim mendapati SPRM sudah memberi maklum balas terhadap laporan FMT dan berkata SPRM harus dibenarkan menjalankan siasatan mereka.

Jumaat, 5 Jun 2020

MPT Bersatu sahkan Dr M, 4 yang lain bukan lagi ahli parti

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam mengesahkan keahlian Dr Mahathir Mohamad, terhenti secara serta-merta.

Selain Dr Mahathir, pemberhentian serta-merta itu turut melibatkan Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat itu turut mengesahkan keputusan parti berkenaan untuk keluar daripada PH, yang menurutnya dimuktamadkan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu.

"Dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," kata Hamzah dalam kenyataan.

Untuk rekod, Dr Mahathir sebelum ini mendakwa mesyuarat MPT pada hari tersebut tidak pernah memuktamadkan keputusan itu. Anggota MPT A Kadir Jasin, yang menyokong Dr Mahathir, juga mendakwa sedemikian.

Keputusan untuk membawa Bersatu keluar daripada PH oleh presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang ditentang Mahathir dan penyokongnya, telah mencetuskan rantaian peristiwa yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan PH setelah tidak sampai dua tahun memerintah.

Ia juga menyebabkan konflik dalaman Bersatu menjelang pemilihan parti itu.

Mesyuarat semalam dipengerusikan presiden Muhyiddin Yassin di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM). Ia berakhir kira-kira pukul 11.40 malam, dan Muhyiddin enggan bertemu media yang telah menunggu sejak sebelum mesyuarat bermula.

Abu Bakar, Akramsyah dan Ulya Husamudin

Beberapa anggota MPT Bersatu yang diketahui berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad pula meninggalkan mesyuarat lebih awal, iaitu kira-kira pukul 10.45 malam, apanbila tidak berpuas hati dengan beberapa isu dibangkitkan.

Mereka ialah ialah Abu Bakar Yahya, Akramsyah Sanusi, Tariq Ismail dan Ulya Husamudin yang juga ketua penerangan Armada.

Dalam mesyuarat semalam, MPT Bersatu turut mengesahkan beberapa langkah dan keputusan yang dibuat parti itu sebelum ini, seperti pelantikan Muhyiddin selaku pemangku pengerusi, dan penyingkiran Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung.

Berkenaan kedudukan Muhyiddin sebagai pemangku, Hamzah berkata ia selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan parti setelah peletakan jawatan oleh Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

"MPT menyokong dan memberi mandat penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan," katanya lagi.

Begitu juga dengan pelantikannya menggantikan Marzuki, yang menurut Hamzah "sah dan teratur" mengikut perlembagaan susulan MPT sebelum ini telah mengesahkan pemberhentian keahlian Marzuki.

Sementara itu, Hamzah berkata MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah setiausaha kerja yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatanganinya terpakai secara rasmi.

Suhaimi sebelum ini merupakan penandatangan surat makluman pemberhentian keahlian terhadap Mahathir dan empat yang lain, yang bertarikh 28 Mei.

Bagaimanapun mereka mempertikaikan penyingkiran itu dan menyifatkannya tidak sah, antara lain mempersoalkan kuasa setiausaha kerja.

Menurut Mahathir, jawatan itu tiada dalam perlembagaan parti dan tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan parti.


Khamis, 4 Jun 2020

Muhyiddin singkir tiga pemimpin Bersatu dari kem Mahathir

Tiga pemimpin Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang diketahui umum berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad mendakawa telah dipecat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, dan timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid.

Surat penamatan perkhidmatan ketiga-tiga mereka yang dilihat oleh Malaysiakini, bertarikh 2 Jun dan menggunakan kepala surat Presiden Bersatu. Ia ditandatangani oleh Muhyiddin selaku presiden parti dan pemangku pengerusi.

Menurut surat itu, semua ketiga-tiga mereka ditamatkan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta merta. Tidak ada sebarang alasan yang diberikan oleh Muhyiddin.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, Marzuki berkata bahawa dia menerima surat itu melalui Whatsapp dari setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya semalam, sementara Anuar pula berkata, bahawa dia menerima suratnya pagi ini.

Untuk rekod, Marzuki juga adalah Setiausaha Agung Bersatu tetapi dipecat oleh Muhyiddin baru-baru ini. Bagaimanapun, pemecatan itu tidak diiktiraf oleh Dr Mahathir yang mendakwa bahawa sebagai pengerusi perkara itu tidak dirujuk kepadanya.

Marzuki berkata bahawa dia percaya bahawa pemecatan itu dibuat untuk menyingkirkan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin.

“Saya lihat pemberhentian ini tak lain kerana saya tak pendirian sama dengan presiden dan saya dapati mereka yang tak sama pendirian semua akan diambil tindakan,” katanya.

Marzuki juga mengesahkan bahawa Akhramsyah telah menerima surat yang sama, dan tidak faham mengapa Akhramsyah juga dipecat sedangkan beliau adalah salah satu daripada tujuh anggota pengasas parti itu.

“Dia pun mungkin pendirian sama dengan saya. Jadi mungkin ini adalah satu dari usaha-usaha untuk membersihkan parti supaya tak ada orang yang menentang.

“Jadi tidak ada demokrasi dalam parti,” katanya.

Marzuki mendakwa tidak ada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan penjelasannya sebelum pemecatan.

Sementara itu, Anuar mendakwa pemecatannya sebagai timbalan pengerusi Bersatu Kedah adalah usaha kem Muhyiddin untuk membersihkan kepimpinan parti daripada penyokong Mahathir.

“(Sebelum ini) Mukhriz Mahathir depa (mereka) dah pecat dah. Jadi sekarang, mereka jadikan saya sasaran, saya timbalan.

“Jadi tak ada siapa la lepas ni. Nampak tak? Jadi depa boleh kontrol (kawal) la Kedah,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa pemecatan itu ada hubungan dengan laporan yang dibuatnya kepada SPRM dan lembaga disiplin parti terhadap Muhyiddin dan Suhaimi.

Anuar berkata, bahawa bersedia dipanggil oleh lembaga disiplin parti, tetapi kecewa kerana ini tidak dilakukan.

"Bagi saya, mudah saja, panggil saya berdepan lembaga tatatertib dan saya akan ceritakan segala-galanya ( tentang mengapa laporan dibuat).

"Tetapi mereka pengecut. Mereka pilih pecat saya," katanya.

Anuar dalam satu kenyataan kemudian berkata bahawa beliau tidak mengiktiraf surat pemberhentian oleh Muhyiddin dan menganggapnya tidak sah, dengan alasan bahawa tindakan tersebut mesti dilakukan setelah berbincang dengan pengerusi parti.

Maszlee bertegas masih ahli PPBM, terus setia pada parti

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menegaskan beliau masih ahli PPBM dan akan terus menumpahkan taat setianya pada parti itu walaupun beliau merupakan salah seorang daripada 5 pemimpin yang keahliannya terhenti serta-merta.

Maszlee berkata, beliau tekad untuk terus bersama dengan PPBM dan bukan parti lain, yang menurutnya merupakan parti tonggak bagi masyarakat Melayu dan terus berhasrat membawa negara yang terpalit dengan rasuah dan kleptokrasi, ke arah lebih baik.

“Saya masih ahli PPBM. PPBM sentiasa di hati saya dan yakin PPBM dapat membawa aspirasi rakyat, untuk bawa politik bersih, yang dapat menjanjikan nusa dan rakyat masa depan lebih baik, berintegriti, amanah dan bermaruah,” katanya dalam forum disiarkan Sinar Live, hari ini.

Terdahulu, dalam surat ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM Muhammad Suhaimi Yahya menyatakan keahlian Maszlee, bersama 4 pemimpin lain iaitu Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta.

Surat ditandatangani Suhaimi itu menyatakan ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu dan tindakan itu diambil mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM.

Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti, manakala Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

Maszlee turut menyarankan supaya perjuangan PPBM yang ditubuhkan demi membela nasib anak bangsa dan membawa wadah politik baru buat bangsa Melayu tidak terpesong seperti hari ini apabila pemimpin yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu kembali diberikan kuasa.

“Apabila PPBM menerima orang yang sudah dihukum rakyat kerana salah guna kuasa, budaya politik kotor, saya rasa pada waktu itu ia merupakan usaha untuk sasarkan perjuangan PPBM dari prinsipnya. Pada saya, sebagai ahli PPBM, saya bertanggungjawab untuk bawa kembali parti ke landasan.

“Kita tidak boleh terima tokoh yang dihumban rakyat. Mereka ini cemarkan negara, nama Melayu dan Islam. Kemudian kita ambil untuk duduk sekali dan berikan kuasa.

“Kita akan dilihat sebagai pengkhianat, kita akan dilihat bukan sahaja khianati rakyat tetapi perjuangan parti,” katanya.

Ketika ditanya, siapakah Muhyiddin Yassin yang merupakan presiden PPBM dan kini menjawat tugas sebagai perdana menteri di matanya, Maszlee berkata Muhyiddin masih individu yang memberikan nilai dan inspirasi untuknya menyertai kancah politik negara.

“Dr Mahathir Mohamad, saya amat terinspirasi dengan ucapan Mahathir sejak tahun 2016, saya berpeluang mendengar dan menjadi moderator untuk progamnya. Manakala, Muhyiddin yang dahulunya mendendangkan perlunya untuk bawa Malaysia baru.

“Saya tidak akan lupakan kedua-duanya sebagai inspirasi politik. Bagi saya, saya sertai PPBM atas prinsip parti berkenaan dan atas pilihan yang jelas. PPBM tetap dihati,” katanya.


Selasa, 2 Jun 2020

Langkah pujuk Syed Saddiq gagal

Muhammad Azizul Osman
MGF10032020_ANGKAT-SUMPAH-KABINET11-681x454
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

PUTRAJAYA – Bekas pegawai Syed Saddiq, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal cuba memujuk bekas Ketua Armada itu untuk kekal bersama parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Beliau berkata sebelum Kabinet baharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentuk, beliau ada mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu namun usaha itu menemui jalan buntu.

“Saya telah berusaha pujuk Syed Saddiq sebelum tertubuhnya Kabinet lagi. Selalu bekas pegawai dan rakan baik beliau, saya berkali-kali hantar mesej kepada beliau.

“Malah dalam pertemuan singkat dengan Syed Saddiq sebelum pencalonan pemilihan parti kira-kira bulan Mac lalu, saya pergi ke rumah beliau. Itu kali terakhir saya berdepan dengan Syed Saddiq.

“Pertemuan itu untuk buat rundingan tentang hala tuju parti malangnya keputusan itu tidak dipenuhi dan Syed Saddiq terus menzahirkan perbezaan beliau yang asas terhadap hala tuju parti. Itu menyebabkan kami berenggang dari segi politik tapi tidak dari segi persahabatan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Wan Ahmad Fayshal pernah menjawat jawatan pegawai khas kepada Syed Saddiq semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Syed Saddiq tidak bersetuju dengan perubahan haluan parti yang kini bekerja sama dengan UMNO dan Pas.

Maka disebabkan itu, Syed Saddiq digugurkan keahliannya dalam Bersatu.

“Kini hala tuju sudah berubah dan Syed Saddiq tidak bersetuju dengan hala tuju parti dan gugurlah taat setia saya kepada beliau.

“Itu tidak menafikan rasa hormat saya sebagai anak muda dan mantan pengasas Armada. Tiada yang peribadi tentang dia,” katanya lagi.

Selain Syed Saddiq, turut digugurkan keahlian parti adalah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah. – MalaysiaGazette


Isnin, 1 Jun 2020

Kemelut Bersatu: Nada lain dari Alor Gajah

MALAYSIAKNI

Malaysiakini

Bersatu Alor Gajah menjadi satu-satuhya bahagian di Melaka yang enggan terlibat dalam kemelut dalaman antara kem Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

Ketika lima bahagian tampil dengan kenyataan bersama menyokong Muhyiddin, Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah Zamzuri Arifin mengeluarkan kenyataan menyeru ke arah pendamaian Muhyiddin-Mahathir.

Zamzuri juga menyeru ke arah pertemuan empat mata antara mereka.

“Bersatu bahagian Alor Gajah juga tidak mahu terlibat dalam kancah kekalutan yang berlaku kerana kami berpendapat adalah lebih baik menumpukan kepada menjaga ahli-ahli akar umbi selagi mana kami adalah ahli Bersatu dan berharap jalan penyelesaian dapat dicapai bagi kedua-dua pemimpin,” katanya.

Hari ini, lima pemimpin bahagian Bersatu Melaka mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Mereka berkata Muhyiddin harus diberi ruang untuk “memacu negara dan parti Bersatu ke tahap yang tertinggi”.

Sokongan itu dinyatakan di tengah-tengah pergolakan antara kem Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad yang mengaku masih memegang jawatan pengerusi parti.


Terima pelucutan keahlian, Pemuda PPBM Sabah beritahu Syed Saddiq

Keahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PPBM dilucutkan bersama-sama 4
yang lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad, minggu lepas.

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM Sabah hari ini menggesa bekas ketua pemuda kebangsaannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menggunakan nama sayap parti itu dengan berkata, beliau seharusnya menerima pelucutan keahliannya dan “melangkah terus” kerana keputusan itu dibuat selari dengan perlembagaan PPBM.

Ketua Pemuda PPBM Sabah Isquzawan Israq Arsit berkata, Syed Saddiq, yang keahliannya dilucutkan bersama-sama beberapa pemimpin lain, dihormati atas kepimpinannya sewaktu memegang jawatan menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“(Bagaimanapun) kami berharap beliau terima kenyataan. Lebih baik beliau dan penyokong tidak terus menggunakan nama Pemuda PPBM pusat kerana ia akan mengelirukan anggota sayap pemuda parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Isquzawan Israq Arsit

Syed Saddiq, yang merupakan ahli Parlimen Muar, adalah antara 5 ahli Parlimen PPBM yang lucut keahlian parti secara serta-merta Khamis lepas kerana duduk di kerusi blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas.

Turut lucut keahlian ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malek.

Setiausaha agung PPBM Hamzah Zainuddin mempertahankan keputusan pelucutan keahlian itu dengan berkata, ia dibuat berdasarkan perlembagaan parti kerana kepentingan parti mengatasi kepentingan mana-mana individu.

Beliau berkata, perlembagaan parti menetapkan bahawa keahlian mana-mana individu terhenti secara serta merta jika ia keluar parti atau menyertai parti lain.


Ahad, 31 Mei 2020

Syed Saddiq dakwa Hamzah kata Muhyiddin gila jawatan PM

Syed Saddiq (kanan) bersama Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah (tengah)
 dan Bendahari Pemuda, Rafiq Hakim pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Hamzah Zainudin mengatakan Muhyiddin Yassin, semasa masih timbalan presiden Umno, “gila jawatan hendak jadi perdana menteri”.

Syed Saddiq mendakwa Hamzah, ketika itu menteri perdagangan dalam negeri, koperasi, dan kepenggunaan dalam pentadbiran Najib Razak, berkata demikian dalam pertemuan untuk menarik beliau keluar daripada PPBM.

Hamzah ketika ini setiausaha agung PPBM, dilantik Presiden Muhyiddin Yassin pada 26 Mac lalu.

“Saya ingat lagi sebelum pilihan raya umum, salah seorang menteri jumpa dengan saya, cuba untuk tarik saya dari PPBM, tidak lain tidak bukan adalah orang sama yang ketuai PPBM sekarang ini untuk membuang Dr Mahathir Mohamad.

“Dia memanggil saya ke pejabat dan bila berjumpa, dia berkata ‘Muhyiddin gila jawatan hendak jadi perdana menteri, sebab itu dia masih menyerang perdana menteri Najib Razak’.

“Malangnya orang yang sama ini diberi kuasa untuk menentukan hala tuju PPBM. Individu ini tidak lain tidak bukan adalah Hamzah Zainudin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Umno memecat Muhyiddin pada 2016 susulan perselisihan beliau dengan Najib berkaitan isu 1MDB.

Syed Saddiq berkata banyak perkara boleh beliau kongsikan dengan media namun buat masa ini beliau hanya hendak ingatkan Muhyiddin “siapa rakan kamu ketika kamu dalam keadaan susah dan senang”.

“Bahkan siapa yang tinggalkan kamu dan tikam kamu dari belakang, sehingga kamu tidak berkuasa dan melabel kamu sebagai seseorang yang gilakan jawatan dan hanya ingin jatuhkan Najib kerana hendak jadi perdana menteri,” katanya.

FMT sedang mendapatkan reaksi Hamzah.

Hamzah baru-baru ini mengesahkan keahlian Syed Saddiq dan 4 individu lain dalam PPBM terhenti serta-merta.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengulas dakwaan bekas setiausaha politik Mahathir, Zahid Md Arip mengatakan Mahathir sedia maklum dengan keputusan pimpinan PPBM yang berhasrat keluar Pakatan Harapan.

Zahid dipetik sebagai berkata “keputusan besar” itu tidak boleh diputuskan Muhyiddin seorang.

“Kalau betul, kenapa Mahathir keluarkan surat pemecatan kepada Zahid sehari selepas majlis pimpinan, selepas dia tikam Mahathir dari belakang?

“Kenapa Mahathir hendak keluarkan surat pemecatan kalau betul Zahid hanya ikut kata-katanya?”

Redzuan cuba pujuk Dr M kerjasama dengan Muhyiddin ketika ziarah raya

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof mengakui bahawa dia bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) pagi semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata pertemuan itu hanya merupakan ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri.

Redzuan berkata, dalam kunjungannya itu, beliau berusaha memujuk Mahathir itu untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membangunkan semula negara, berikutan wabak Covid-19.

"Ya memang betul saya berjumpa Tun (Mahathir). Saya jumpa di YKP lebih kurang jam 9 pagi. Saya boleh berjumpa selepas mendapat pelepasan daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara), sebab saya negatif (Covid-19).

"Pertemuan itu perjumpaan biasa. Ziarah sempena Aidilfitri. Kita kawan baik, kawan lama. Tidak ada bincang soal politik.

"Saya nasihat dan mengajak Tun supaya sama-sama bantu Muhyiddin sebagai 'kawan-kawan' untuk membina semula negara sebab kita sedang dilanda Covid-19. Nampak Tun positif dengan nasihat itu.

"Pertemuan itu juga bukan seperti dilaporkan media yang saya akan tinggalkan PN (Perikatan Nasional). Itu tidak betul. Itu semua fitnah orang yang ada kepentingan, yang nak burukkan saya," katanya seperti dilapor BH Online.

Semalam, terdapat spekulasi mengatakan bahawa Redzuan, yang merupakan ahli Parlimen Alor Gajah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh, akan menyatakan sokongan mereka terhadap Mahathir.

Namun, perkara tersebut tidak berlaku.

Sebelum ini, Bersatu telah membatalkan keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Keputusan itu dibuat kerena mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Berdasarkan status quo buat masa ini, Muhyiddin memperoleh sokongan 113 ahli parlimen, iaitu majoriti dua kerusi daripada 222 anggota parlimen di Dewan Rakyat.

Pada Februari lalu, Mahathir mengambil keputusan meletak jawatan selaku perdana menteri ketujuh susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada 1 Mac, Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri Malaysia kelapan selepas mendapat sokongan majoriti anggota parlimen, dengan membentuk kerajaan PN bersama BN, PAS, dan GPS bagi membentuk kerajaan baru menggantikan PH.


Penjelasan Muhyiddin bukti tolak ansur Presiden Bersatu - Syed Ali

Penjelasan Muhyiddin bukti tolak ansur Presiden Bersatu - Syed Ali
Syed Ali menjelaskan, rakyat kini mahu Muhyiddin meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kelapan sehingga PRU ke-15. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penjelasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi pemimpin parti itu boleh diterima umum.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee sebaliknya menegaskan, Dr Mahathir memilih haluan berbeza dengan bersekongkol bersama Pakatan Harapan (PH) pada saat Pemangku Pengerusi Bersatu itu sudah banyak bertolak ansur dan memberi ruang kepadanya untuk memperkukuhkan parti.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan politik songsang Dr Mahathir, tetapi sebagai rakyat, saya tidak mahu melihat sifat dendam Dr Mahathir terhadap Muhyiddin akan merosakkan negara dan menyusahkan kehidupan semua.

"Apa sebenarnya yang Dr Mahathir mahu? Takkan dengan usia lanjut itu beliau masih lagi ketagih untuk jawatan Perdana Menteri? Apakah beliau mahu jawatan itu dijadikan harta pusaka agar diwarisi oleh keturunannya sahaja? Apakah lebih 30 juta rakyat ini tidak layak dan hanya beliau seorang sahaja yang selayaknya menjadi Perdana Menteri?

"Pada pemerhatian saya, Dr Mahathir selalu berhelah dengan mendakwa untuk 'mengembalikan mandat rakyat' dan Muhyiddin perlu dijatuhkan. Saya hendak tanya, rakyat mana?" soalnya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.


BACA: Tiada individu atasi perlembagaan parti - Muhyiddin

BACA: 
Kelima-lima mereka tidak dipecat, tetapi keahlian mereka terhenti - Hamzah Zainuddin

Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan beliau tidak mengambil tindakan terburu-buru dan mahu berlaku adil kepada semua pihak walaupun banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal.

Dalam pada itu, Syed Ali menjelaskan, rakyat kini mahu Muhyiddin meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kelapan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Jika Dr Mahathir berhajat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, beliau sewajarnya menyokong Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri selain boleh berkhidmat selaku seorang Negarawan yang dihormati.

"Maruah Dr Mahathir tidak akan 'jatuh' jika menyokong perpaduan rakyat dan berlapang dada dengan 'berketuakan' Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang sah di segi undang-undang dan Perlembagaan negara. Percayalah, Dr Mahathir tidak akan melakukan 'kesilapan lagi' dengan memilih Muhyiddin.

"Rakyat juga sudah letih dengan adu domba politik yang sedang berlaku ini, di masa negara sedang dilanda COVID-19," ujarnya.

Terdahulu, keahlian lima Ahli Parlimen Bersatu iaitu Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik diumum dihentikan kerana dilihat melanggar perlembagaan parti.

Muhyiddin rancang tarik pemimpin UMNO sertai Bersatu?

Manzaidi Mohd Amin
muhdin-681x351
Rakaman audio Muhyiddin tular di media sosial dan dijadikan bahan propaganda penyokong PH.

KUALA LUMPUR – Satu rakaman suara perbincangan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa pemimpinnya sedang merancang untuk menarik seramai mungkin pemimpin UMNO menyertai parti itu tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman berdurasi 2.24 minit yang dijadikan bahan propaganda oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) itu mendedahkan bagaimana perancangan Muhyiddin hendak menjadikan Bersatu sebuah parti Melayu terbesar dengan mengajak pemimpin UMNO menyertainya.

Dalam perbualan itu, hanya suara Muhyiddin yang kedengaran jelas merangka perancangan, disambut sokongan dan hilai ketawa pemimpin lain yang hadir pada perjumpaan berkenaan.

“Saya katakan ada 30 lebih yang (pemimpin) UMNO sekarang ini, boleh tak kita jumpa dan cakap dengan mereka? Hei, kita nak membentuk kerajaan kan? mengapa tidak sertai Bersatu?

“Kalau Bersatu sudah (ada) 41 (orang), campur 10 daripada UMNO, sudah (ada) 40. Kita adalah parti yang terbesar. Saya sedihlah, Tun (Dr. Mahathir Mohamad) tak ikut perancangan besar ini, dan saya rasa ia boleh dilaksanakan.

“Kalau kita ambil seorang (demi) seorang, mungkin ada antara mereka (pemimpin UMNO) kalau kita tawarkan jawatan tertentu, apa beza (mereka) nak sertai Bersatu, (dan) apa beza nak kekal dalam UMNO?,” soal beliau yang dipetik sebagai berkata dalam rakaman audio itu.

Menurut Muhyiddin, jika usaha sedemikian dilakukan, beliau percaya sebahagian besar pemimpin UMNO akan menyertai Bersatu.

Katanya, ini terbukti apabila sudah ada beberapa pemimpin UMNO yang menyertai parti itu yang merujuk kepada kemasukan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan beberapa yang lain.

“Bayangkan kalau 30 masuk dengan kita? Dengan 40 yang ada, kita adalah satu-satunya parti Melayu paling besar yang memerintah. Yang ini perancangan besar. Maaflah, nak cakap sikit walaupun saya sakit, saya buat kerja. Tiap malam saya cakap dengan orang.

“Hari tu saya cakap dengan Hamzah, Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu). mengapa kita tidak berbincang? Awak pun boleh Rafiq (Mohd Rafiq Naizamohideen – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Melaka).

“Cakap (pujuk dengan) seorang dua, tiga, empat, lima (orang)… kalau tambah seorang dua, tiga… kalau dia (mereka) tau kerajaan baru nak terbentuk, (pemimpin) UMNO (akan) masuk,” katanya.

Beliau turut menyatakan, kenapa pemimpin berkenaan tidak menyertai Bersatu sekarang, dan kenapa perlu mahu menyertainya kemudian?

Katanya, kalau jika jentera Bersatu melakukan dari sekarang, bukan sahaja 10 atau 20 pemimpin UMNO akan menyertai parti itu, termasuk yang memihak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin berkata, pemimpin yang menyertai Bersatu akan diberikan jawatan Menteri dan sekurang-kurangnya pengerusi di syarikat kerajaan (GLC) supaya mereka tidak menyertai PH dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Sudah tentulah, Tun beritahu saya No (tidak).. mungkin dia akan buat sesuatu. Saya tak fikir dia boleh buat sesuatu, dan semua orang ikut Najib punya tuntutan, dan ugut kita kalau kita tak bagi ini, kami akan keluar beramai-ramai.. mungkin boleh, tapi mungkin tak berjaya.

“Jadi, saya fikir jangan buat kesimpulan tersebut kerana jika ia terjadi, kelebihan adalah pada UMNO. Pada dasarnya, kalau kita buat begitu akan menguatkan Bersatu.

“Kalau Tun panggil dua tiga orang UMNO, kita cadangkan sertai sekarang. Kalau begitu kita jadi majoriti, lebih besar dari parti-parti lain yang ada sekarang. Bila masa lagi, inilah masanya,” katanya. – MalaysiaGazette


Sabtu, 30 Mei 2020

'Bersatu tak terburu-buru bertindak pada Mahathir '

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, hari ini menegaskan tindakan parti itu ke atas Dr Mahathir Mohamad serta empat ahli parlimen mereka tidak dibuat secara terburu-buru.

Justeru, Muhyiddin meminta semua anggota Bersatu agar bersabar dan bertenang dengan perkembangan yang berlaku sekarang.

"Saya berharap ahli-ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima orang bekas ahli Bersatu iaitu Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

"Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

"Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Bersatu mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan keanggotaan Mahahthir serta empat pemimpin parti itu yang enggan menyertai kumpulan Muhyiddin bekerjasama dengan BN serta PAS.

Semasa parlimen bersidang selama kira-kira sejam baru-baru ini, mereka duduk di blok pembangkang.

Tiada individu di atas perlembagaan

Keadaan itu mendorong Bersatu menganggap keanggotaan Mahathir dan empat yang lain dalam Bersatu terbatal serta-merta. Bersatu juga menafikan mereka memecat kumpulan terbabit.

Surat pemberitahuan mengenai kedudukan mereka dalam parti dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Untuk rekod sebelum ini Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan jawatan tersebut berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki Bersatu berbanding presiden.

Pengkritik kemudian mempersoalkan keabsahan tindakan Bersatu menganggap keanggotaan Mahathir, Syed Saddiq, Maszlee, Mukhriz dan Amiruddin terlucut berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan - yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri - pula mengiktiraf Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi Bersatu.

Semalam, Mahathir membuat kejutan apabila memasuki pejabatnya di ibu ibu pejabat Bersatu dan menunggu untuk mana-mana pegawai kanan parti menyampaikan keputusan mereka itu.

Pada sidang media kemudiannya Mahathir menegaskan beliau masih kekal sebagai pengerusi dan mengumumkan jawatan setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti.

Kata Mahathir, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan ia tidak sah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga perdana menteri turut menegaskan bahawa beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

"Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti" katanya.

Tambah anggota parlimen Pagoh itu lagi, Bersatu "dukacita" dengan pilihan yang dibuat oleh Mahathir untuk tidak berada bersama-sama dalam wadah dan haluan perjuangan parti seperti yang diputuskan oleh majlis pimpinan tertinggi mereka.

"Tun (Mahathir) bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya.

"Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya.

"Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkankan kerajaan yg telah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera," katanya.

Tun M, 4 ahli parlimen tak dipecat tapi terlucut keahlian

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF29052020_SIDANG-MEDIA-PPBM_16-681x454
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menunjukkan buku perlembagaan PPBM pada sidang media PPBM di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dipecat sebaliknya keahlian mereka terlucut dengan sendiri kerana melanggar perlembagaan parti.

Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memberitahu, ia adalah berlandaskan perlembagaan kerana kepentingan parti adalah lebih
utama dari mana-mana individu.

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Hamzah, banyak aduan diterima mengenai salah laku kelima-lima mereka antara lainnya iaitu pengumuman  Mahathir untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dibawah kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara lain katanya, Mahathir pada 4 Mei lalu telah membuat kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti PH mendesak supaya sidang Parlimen dilanjutkan selain mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang telah dilantik secara sah oleh Yang diPertuan Agong.

“Tun Dr. Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam hal ini, Tan Sri Megat Najimuddin sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin telah memaklumkan kepada saya sebagai Setiausaha Agung bahawa perkara di atas tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3,” ujarnya.

Menurut Hamzah lagi, keputusan untuk keluar dari PH telah pun diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bertarikh 23 Februari, yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri.

Tambah beliau, pengumuman keputusan MPT telah diumumkan oleh Presiden, sebagai Pemangku Pengerusi pada 24 Februari selepas Mahathir meletakkan jawatannya pada hari yang sama.

“Sebagai Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun memberhentikan YB Senator Datuk Marzuki Yahya melalui notis yang bertarikh 18 Mac berkuatkuasa serta-merta.

“Selanjutnya pada 26 Mac, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik saya sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya.

“Dengan perlantikan ini, semua arahan atau kenyataan yang dikeluarkan YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tidak sah serta merupakan satu salah guna kedudukan,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan agar semua ahli Bersatu merapatkan saf dan menyokong serta mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu merangkap pemangku Pengerusi serta Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

Katanya, beliau yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh Muhyddin mampu untuk digunakan bagi menangani isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi negara terutamanya dalamsektor ekonomi dan politik, khususnya ketika krisis penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia. – MalaysiaGazette


Rina nafi letak jawatan Ketua Srikandi Bersatu

Kumara Sabapatty
MGF29052020_SIDANG-MEDIA-PPBM_15-681x454
Ketua Srikandi PPBM, Datuk Seri Rina Harun hadir pada sidang media PPBM di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Datuk Seri Rina Harun menafikan khabar angin beliau akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau masih merupakan ahli Bersatu dan juga Ketua Srikandi.

Ia sekaligus menidakkan segala tohmahan tidak berasas yang diuar-uarkan di dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.

Rina juga menyatakan kekesalan terhadap pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai pendirian dan kedudukannya dalam parti.

“Nama saya sejak wujud krisis perlembagaan parti ini, makin popular diuar-uarkan bahawa kononnya saya akan letak jawatan dari parti.

“Ingin saya jelaskan bahawa sehingga ini saya merupakan ahli parti PPBM yang sah dan juga Ketua Srikandi parti dan mendukung perlembagaan parti dengan menyokong kepimpinan di bawah Presiden dan juga Pemangku Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya ingin menyeru supaya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan pelbagai polemik politik selepas ini dengan pendirian saya ini yang dapat membersihkan nama saya dari pelbagai tohmahan itu,” katanya kepada pemberita di Hotel Sofitel Bukit Damansara petang tadi.

Beliau ditemui selepas hadir bersama seorang lagi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan Bersatu, Mohd Radzi Jidin.

Katanya, fokus pihaknya dengan kementerian adalah ke arah pandemik Covid-19 yang kini meruncingkan keadaan segala industri dan rakyat secara umum.

Tambah beliau, fokus utama pihaknya adalah terdapat banyak perancangan yang direncanakan untum rakyat menghadapi pandemik bagi memenangi rantaian Covid-19 itu.

“Pagi tadi Kementerian saya membincangkan banyak perkara untuk dirancang dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat khususnya bagaimana hendak memastikan rakyat berbilang bangsa mengamalkan norma baharu kehidupan semasa Covid-19.

“Tanpa mengira agama dan bangsa semua pihak harus menggembleng tenaga dan bersatu hati untuk menghadapi Covid-19 dan tanpa sokongan semua pihak ia tidak akan terlaksana,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan puak kedua dalam Bersatu yang melakukan pelbagai percubaan menggulingkan kepimpinan Muhyiddin – Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Sya rasa parti sebentar tadi sudah menyatakan pendirian mereka menerusi kenytaan dan sidang media bagaimanapun, apa yang dilakukan pihak di sebelah sana (Tun M) adalah tidak wajar.

“Mereka sepatutnya mengenepikan politik ke tepi dan membantu kerajaan memerangi Covid-19 bukannya mengeruhkan keadaan dengan mencetuskan pelbagai polemik politik yang menyusahkan semua pihak..tidak wajarlah. Tolonglah hentikan semua perbuatan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette


Jumaat, 29 Mei 2020

‘Tunggu masa’, pengasas bersama PPBM tak terkejut keahlian Dr M gugur

PETALING JAYA: Salah seorang pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman tidak terkejut keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 lagi individu digugurkan, mengatakan beliau hanya menunggu masa bila presiden parti nak bertindak.

“Saya sebagai antara pengasas dan setiausaha agung dan setiausaha kerja PPBM yang pertama, sentiasa memerhati keadaan ini,” katanya kepada FMT.

“Saya hanya menunggu adakah Muhyiddin Yassin (presiden) berani menyingkirkan mereka yang membawa masalah dalam parti tanpa mengira siapa…tapi akhirnya keputusan itu diambil kerana PPBM kena ‘move on'”.

Kamarulazman berkata keputusan menggugurkan keahlian Mahathir dan anaknya, Mukhriz, serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah itu “tepat” dan sepatutnya sudah lama dibuat walaupun rakyat menganggap Mahathir seorang ikon.

Malah, Kamarulazman berkata ia tidak perlu dipersoal.

“Mereka tidak mahu akur dengan kepentingan parti dan mempunyai agenda yang semua sedia maklum,” katanya.

Beliau mendakwa tindak-tanduk Mahathir mendorongnya meninggalkan parti yang ditubuhkan bersama 6 pemimpin lain itu.

“Kini jelas apa yang saya katakan dulu menjadi kenyataan. Mahathir dan Mukhriz bukanlah ‘team players’. Mereka lebih bersifat individualistik dan tidak menghiraukan pandangan ramai dalam parti,” katanya.

Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee, dan Amiruddin dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Kamarulazman berkata keputusan itu selaras dengan perlembagaan PPBM.

“Mereka memilih duduk di kerusi pembangkang walaupun PPBM sebahagian daripada kerajaan. Apabila ahli tidak hormat keputusan presiden, ini menunjukkan mereka tidak sepatutnya terus ada dalam parti,” katanya.

Mengenai masa depan PPBM, Kamarulazman berkata ahli parti itu kini berada di persimpangan selepas pengguguran pemimpin utamanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jatuh bangun sesebuah parti terletak kepada kebijaksanaan presiden “merencana kebangkitan sebagai satu pasukan yang mempunyai hala tuju yang sama”, dan kesediaan menerima perubahan.

“Ahli tidak boleh bernostalgia dengan sejarah kehebatan Mahathir. Zaman beliau sudah berlalu,” katanya.

Beliau menambah presiden juga mesti tunjukkan kekuatan dalam mengemudi parti dan menyingkir kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

“Sekiranya ini tak berlaku, maka saya lihat PPBM akan melalui zaman kejatuhan seperti parti politik serpihan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Muhyiddin mempunyai kelebihan ketika ini iaitu beliau mendapat kepercayaan rakyat sebagai perdana menteri dalam mendepani wabak Covid-19.

“Sokongan wakil rakyat juga lebih terarah kepada Muhyiddin kerana lumrah ahli politik mereka sentiasa berpegang kepada tunjang kekuatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama PPBM, Anina Saadudin berkata, pengguguran Mahathir dan 4 individu lagi tidak perlu dipersoal kerana ia berpunca daripada mereka sendiri.

Katanya, mereka pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei enggan duduk di blok kerajaan dan memilih untuk bersama blok pembangkang.

“Ini bermakna Mahathir mengkhianati parti sendiri,” katanya.

“Jangan lupa Mahathir menumbangkan kerajaannya sendiri 3 bulan lalu dengan meletakkan jawatan walaupun puas dipujuk Agong.”

Anina bagaimanapun masih menghormati Mahathir sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

“Saya mohon pemimpin hari ini jadikan sejarah sebagai pedoman hidup, bukan menghukum Mahathir tanpa melihat diri sendiri di cermin,” katanya.

Kamarulazman dan Anina, bersama Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi merupakan 7 pengasas dan penaja PPBM.


Kami tak lompat parti, 2 Adun beritahu KM Pulau Pinang

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (kiri) dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly
Md Lazim bertegas mereka masih bersama PPBM.

GEORGE TOWN: Dua Adun PPBM yang berdepan tindakan disingkirkan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata, undang-undang anti-lompat parti negeri itu tidak terpakai ke atas mereka kerana mereka masih bersama parti berkenaan.

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, undang-undang anti-lompat parti bertujuan menghukum mereka yang melompat parti, bukannya mereka yang kekal dalam parti sama.

“Undang-undang anti-lompat parti tidak terpakai kepada saya. Pakatan Harapan ialah gabungan dan bukannya parti. Dan saya masih ahli PPBM serta Adun di bawah parti itu,” katanya kepada FMT.

Khaliq, yang juga seorang peguam, berkata jika kerajaan negeri mahu meneruskan usul mengosongkan kerusinya, berdasarkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, beliau akan mencabarnya di mahkamah.

Seorang lagi wakil rakyat PPBM, Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim, turut sependapat dengan Khaliq.

“Kenapa kosongkan kerusi saya apabila saya masih ahli PPBM?” soal Zolkifly.

Seorang lagi wakil rakyat negeri itu, Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin digantung keahliannya oleh PKR, tetapi beliau turut menyokong Perikatan Nasional.

Afif tidak dapat dihubungi kerana masih dirawat di hospital akibat kecederaan dalam kemalangan motosikal.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, usul mengosongkan kerusi 3 Adun itu diputuskan sebulat suara oleh kepimpinan PH Pulau Pinang.

Beliau berkata, 3 Adun itu akan dianggap ahli pembangkang mulai sekarang.

Katanya, penyingkiran mereka sebagai Adun sejajar Seksyen 14A Perlembagaan Pulau Pinang, yang membenarkan DUN mengosongkan kerusi ahlinya yang bertukar parti.

Beliau berkata, usul itu akan diundi dalam sidang DUN akan datang, yang dijadualkan pada suku terakhir tahun ini.

Sokongan 2 Adun PPBM itu kepada PN tidak mengubah majoriti diraih PH di DUN Pulau Pinang. Gabungan itu mempunyai 34 kerusi berbanding DAP yang memiliki 19 kerusi, PKR (13) dan Amanah (2).

Angka itu turut mengambil kira Afif yang menyokong PN.

Umno dan PPBM kini mempunyai 2 kerusi, manakala PAS memiliki satu kerusi. Secara keseluruhan, PN mempunyai 6 kerusi di negeri itu.


'Kami tak terima pemecatan salah ini' - Dr M dan empat yang lain

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin Bersatu yang menerima surat digugurkan daripada parti itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai bertentangan dengan undang-undang.

Dalam satu kenyataan bersama, kelima-lima pemimpin berkenaan berkata tindakan itu dibuat kerana kegusaran presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menghadapi pemilihan parti serta kedudukan beliau yang tidak selamat selaku perdana menteri.

"Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.

"Yang jelas, pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara. 

"Ini juga menampakkan sikap diktator presiden," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Dr Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Mukhriz merupakan pencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti itu yang ditangguhkan selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Menurut mereka, peruntukkan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang membolehkan seseorang ahli dipecat adalah apabila mereka "mengisytiharkan keluar daripada parti" dan "menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini".

"Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah.

"Kamu langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ia bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang- undang," jelas mereka.

'Surat ditandatangani individu biadab'

Terdahulu hari ini, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan surat terhadap lima anggota parlimen berkenaan memaklumkan keahlian mereka 'terhenti serta merta;.

Keputusan itu dibuat atas alasan mereka duduk di blok yang "tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional" semasa persidangan parlimen pada 18 Mei lalu.

Pada masa itu, seramai 114 anggota parlimen duduk di blok kerajaan, yang menyaksikan Muhyiddin hanya memperoleh majoriti tipis dua kerusi parlimen.

Sementara itu, kelima-lima anggota Parlimen itu berkata surat berkenaan menampakkan 'kecelaruan' urusetia Bersatu dan ditandatangani oleh individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti, selain menampakkan parti itu tidak ditadbir secara profesional.

"Tindakan seorang setiausaha kerja mengutus surat sebegini kepada antaranya para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab," tegas mereka.