SEREMBAN:
Tarif cukai pintu di Negeri Sembilan tidak akan dinaikkan bagi 2017
walaupun terdapat kenaikan nilai hartanah di beberapa kawasan tertentu
di negeri berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata meskipun tindakan itu bakal memberi impak dari segi perolehan,
keputusan itu tetap dibuat bagi mengurangkan bebanan masyarakat yang
ketika ini berdepan kos sara hidup yang tinggi.
"Berdasarkan pembentangan penilaian
harta dibuat seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam
mesyuarat tadi, terdapat peningkatan setiap tahun harga hartanah di
kawasan Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai, Majlis
Perbandaran Port Dickson, Majlis Perbandaran Jempol dan Majlis
Perbandaran Tampin...memang harga tanah naik melonjak.
"Tindakan ini bakal menjejaskan kos
penyelenggaraan termasuk kos emolumen juga meningkat menyebabkan PBT
menghadapi isu kurang pendapatan tahunan, namun kerajaan sudah putuskan
tidak akan ada kenaikan cukai pintu.
"Dalam keadaan sekarang, sebarang
kenaikan cukai atau cukai pintu tidak kena pada masanya...kita tidak
mahu membebankan lagi rakyat," katanya selepas mesyuarat Exco di sini,
hari ini.
Mohamad berkata walaupun perolehan tidak
meningkat, tahap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat perlu
dijaga, malah boleh dipertingkatkan.
"Tidak semestinya perolehan kita tidak
bertambah, tahap perkhidmatan juga tidak boleh dipertingkat...kita boleh
tingkatkan lagi perkhidmatan contohnya dalam urusan pungutan sampah dan
berkaitan. Saya yakin tidak akan mengganggu atau mengurangkan tahap
perkhidmatan kepada masyarakat.
"Saya yakin cara kita mempertingkatkan
perkhidmatan melalui dasar kita memakmur negeri, mensejahterakan rakyat
dan cara kita memberi perkhidmatan itu sendiri akan dilihat dan
diubahsuai supaya yang penting perkhidmatan dapat dilihat dan memberi
kemudahan kepada orang ramai," katanya.
Mohamad turut mengumumkan pengecualian bayaran permit niaga kepada penjaja akan diteruskan sehingga akhir 2017.
"Ia melibatkan penjaja biasa yang jenis
buka payung dan bukan tetap seperti peniaga pasar malam. Bagaimanapun
lesen berniaga tetap diperlukan tetapi hanya bayaran permit
dikecualikan," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan