Rabu, 21 Disember 2016

Mahkamah Rayuan putuskan Guan Eng tidak boleh saman media

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.
 
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Rohana Yusuf membenarkan rayuan Perkasa dan dua media arus perdana mengenai saman Lim berkaitan kenyataan Perkasa yang didakwanya membayangkan bahawa beliau adalah 'ejen Singapura'.
 
Rohana berkata, panel itu membuat keputusan berkenaan kerana berpegang dengan keputusannya dalam kes Utusan Melayu (M) Bhd. lwn Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa pegawai awam tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi masing-masing.
 
Katanya, mahkamah menerima prinsip yang diputuskan dalam satu kes undang-undang Britain, Derbyshire County Council lwn The Times Newspapers Ltd & Others (1993), yang menyebut bahawa pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan berkaitan memfitnah atas kedudukan rasminya.
 
"Mengenai isu prinsip undang-undang dalam keputusan kami dahulu (Utusan lwn Adnan), setelah menimbang rayuan yang dikemukakan, kami berpendapat bahawa kes Utusan lwn Adnan terpakai dalam kes ini," kata Rohana, yang bersidang bersama-sama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Datuk Mary Lim.
 
Panel itu membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal yang ditimbulkan perayu bahawa kes itu sama dengan kes Utusan lwn Adnan.
 
Panel yang sama juga membuat keputusan dalam kes Utusan lwn Adnan pada 1 Mac tahun ini. Adnan menyaman Utusan Melayu berhubung penyiaran sebuah artikel dalam Mingguan Malaysia pada 9 November tahun lepas.
 
Dalam kes hari ini, perayu terdiri daripada Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Syed Nazri Syed Harun dan The New Straits Times Press (M) Sdn. Bhd. serta Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad.
 
Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Mac 2015, yang membenarkan saman Guan Eng terhadap mereka serta memerintahkan mereka membayar ganti rugi berjumlah RM550,000 setelah mendapati kenyataan berkenaan berbaur fitnah terhadap Guan Eng.
 
Mahkamah Tinggi memerintahkan Ruslan, Ibrahim dan Perkasa membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am dan teruk; Syed Nazri dan NSTP membayar RM200,000; dan Abdul Aziz serta Utusan Melayu membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk.
 
Bagaimanapun, kata Rohana, setelah mendengar hujah mengenai merit dalam rayuan berkenaan dan setelah membaca hujah bertulis daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati empat isu utama yang ditimbulkan defendan (perayu) sebagai asas rayuan, tidak mempunyai sebarang merit.
 
"Kami bersetuju dengan penemuan fakta oleh hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan oleh itu, tiada alasan bagi kami untuk campur tangan dalam dapatan beliau tentang fakta bahawa dakwaan memfitnah itu tidak dapat dipertahankan. Oleh itu, kami mengesahkan dapatan hakim Mahkamah Tinggi tentang liabiliti defendan (perayu) terhadap beliau (Guan Eng)," katanya.
 
Mengenai jumlah ganti rugi, Rohana berkata, hakim Mahkamah Tinggi itu terkhilaf apabila mengambil kira ganti rugi teruk ketika menentukan jumlah keseluruhannya sedangkan ganti rugi itu tidak pernah diperakui dalam saman berkenaan.
 
"Setelah mengambil kira fakta kes dan setelah membuat pertimbangan, kami berpendapat bahawa ganti rugi sewajarnya adalah seperti berikut," katanya.
 
Beliau kemudian mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM550,000 kepada RM150,000.
 
Pada 11 Mei 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap tujuh defendan berkenaan dengan mendakwa bahawa Ruslan menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan tentang pertemuannya dengan Datuk Seri Kalimullah Hassan dan seorang pemimpin kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011.
 
Guan Eng mendakwa, kenyataan itu membayangkan bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara ini kepada Singapura dan oleh itu, menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi khas sebanyak RM15 juta, serta faedah, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
 
 
 

Tiada ulasan: