Isnin, 24 Ogos 2015

Umno Keningau calon Zahid jawat timb presiden

MALAYSIAKINI


 


Walaupun pemilihan parti 2016 ditangguhkan selama 18 bulan, namun Umno Keningau kini sudah mempunyai calon bagi jawatan timbalan presiden.

Ketua Umno bahagian itu Datuk Sairin Karno berkata bahagian itu akan mencalonkan Naib Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menjawat jawatan nombor dua dalam parti itu, lapor Berita Harian Online semalam.

Laporan itu juga menyebut, Sairin berkata pencalonan Zahid itu dibuat sebagai tanda sokongan padu bahagian itu kepada beliau, sejajar dengan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.

Timbalan presiden Umno kini disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk menyokong sepenuhnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana beliau orang nombor satu dalam parti dan pentadbiran negara.

"Umno Keningau juga memberi sokongan kepada Ahmad Zahid selaku naib presiden Umno dan timbalan perdana menteri dan akan kami calonkan beliau sebagai timbalan presiden (pada) pemilihan parti akan datang," katanya seperti dilapor portal berita itu.

Cadangan itu diberikan oleh Sairin sewaktu menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Perwakilan Gabungan Umno Keningau dan Pensiangan yang turut dihadiri Zahid.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin, Ketua Umno Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Yasin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Dalam laporan itu juga, Zahid mengumumkan peruntukan masing-masing RM1juta kepada Parlimen Pensiangan, Keningau dan Putatan bagi melaksanakan projek pembangunan.

Laporan itu juga menyebut, Abdul Ghani dan Sairin menyuarakan keperluan pembangunan di kedua-dua kawasan itu termasuk berkaitan pembinaan balai polis baru di Sook dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.


Tiada ulasan: