KUALA LUMPUR, Langkah beberapa jawatankuasa pemuda Pas Shah Alam meletak jawatan daripada parti berkenaan lebih baik dan berani berbanding mereka yang lantang bersama Gerakan Harapan Baru (GHB) tetapi masih bersembunyi di sebalik jawatan parti berkenaan.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya menghormati pendirian mereka kerana perlembagaan parti membenarkan mereka berbuat demikian.

Menurutnya, tindakan keluar parti itu hak mereka dan Pas Selangor mengetahui arah tuju mereka.

“Dengan sebab itu kita ucapan syabas dan Pas Selangor akan meminta Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor untuk mengisi kekosongan yang ada menurut ketetapan perlembagaan parti.

“Tindakan itu tidak akan menjejaskan pentadbiran Pas Selangor dan kita bersedia mengisi kekosongan mereka dan pentadbiran parti di semua peringkat tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan 13 ahli jawatankuasa Pemuda PAS Shah Alam hari ini mengumumkan peletakan jawatan mereka di peringkat kawasan berkenaan.

Tindakan berkenaan dibuat selepas melihat Pas kini dilihat lebih eksklusif selepas pemilihan parti pada Muktamar di Kuala Selangor pada Jun lalu.

Tambah Mohd Khairuddin, Pas Selangor mengesahkan hanya dua ADUN Pas di Selangor yang telah mengisytiharkan diri bersama GHB dan menyerahkan nasib mereka kepada Pas Pusat.
Jelasnya, kesemua 13 adun Pas berkenaan telah menyatakan taat setia kepada Pas dan kepimpinan parti yang ada.

“Nasihat kita kepada ahli Pas adalah, agar terus beristiqamah bersama Pas yang telah menjadi parti Islam terbesar di Malaysia.

“Apalagi kini GHB lebih dilihat sebagai jurucakap kepada DAP,” ujarnya.