Khamis, 20 Ogos 2015

PAS Kota Raja tak terbubar walaupun ahli j/kuasa letak jawatan

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata peletakan jawatan beberapa pemimpin dan ahli kawasan Kota Raja tidak akan menjejaskan kedudukan parti Islam itu di Selangor.
 
Malah beliau menjelaskan perkara itu sudah dibincangkan lebih awal dengan PAS Pusat dan pengunduran tersebut tidak menyebabkan mana-mana cawangan PAS terbubar mengikut Perlembagaan PAS.
 
"Kota Raja tidak akan tutup sebab tidak ada siapa pun ada hak untuk membubarkan apa-apa kawasan atau cawangan. Ianya adalah terpulang kepada PAS Pusat. Ini semua ganti dengan orang baru, tiada masalah. 
 
"Untuk cawangan dan kawasan tertentu, kita telah mengenal pasti mereka yang akan mengambilalih sekiranya berlaku keperluan.
 
"PAS Selangor bersedia mengambilalih mana-mana kawasan atau cawangan parti. Sebenarnya kami telah berbincang dengan YB Setiausaha Agung PAS.
 
"Dan kita bersetuju bahawa sebarang pengambilalihan boleh dilakukan selari dengan Perlembagaan PAS mengikut Fasal 26 (9), menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambilalih mana-mana badan perhubungan PAS di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan penggerak Gerakan Harapan Baru (GHB) Kota Raja yang akan membuat pengumuman mengenai pembubaran beberapa cawangan PAS kawasan itu pada petang ini.
 
Kawasan parlimen yang diketuai oleh Dr Siti Mariah Mahmud itu mebabitkan sembilan cawangan PAS bakal dibubarkan apabila semua AJK mereka didakwa mahu menyertai GHB.
 
Iskandar berkata, pihaknya telah menentukan orang tertentu bagi mengepalai cawangan-cawangan yang dikatakan akan hilang ahli jawatankuasanya nanti.
 
Dalam perkembangan sama, beliau berkata PAS akan terus beroperasi seperti biasa dan masih mempunyai sokongan kuat ahlinya di Selangor.
 
"Jadi kami rasa tidak akan ada berlaku masalah untuk kita meneruskan pentadbiran parti.
 
"Tiada masalah, kita ada 100,000 ahli dan kita ada lebih daripada seribu cawangan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: