Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata insiden beliau di'boo' pada mesyuarat perwakilan Umno Pontian sedikit pun tidak melenturkan semangat juang sebagai wakil rakyat.
Menyifatkan ia sebagai "hikmah dan cabaran" dalam politik, Ahmad yang juga timbalan ketua bahagian itu berkata insiden ejekan terhadapnya itu juga tidak bererti perwakilan tidak suka kepadanya.
"Orang Pontian tahu saya balik kawasan hampir setiap minggu sejak mula menjadi ahli parlimen tahun 2008 dengan pelbagai program. Saya anak tempatan dari Benut, Pontian.
"Mereka kenali saya sebagai Tok Mat yang sentiasa berusaha untu mengubah Pontian kepada kawasan yang lebih baik dalam pelbagai perkara. Peristiwa itu sedikit pun tidak melunturkan semangat saya.
"Begitu juga cacian dan rekaan dalam media sosial dengan pelbagai "spin" terhadap kenyataan saya yang hampir semuanya fitnah (terutama tentang GST) juga tidak akan melunturkan semangat juang saya," kata beliau dalam blognya hari ini.
"Maklum balas yang saya terima bahawa "boo" itu dimulakan oleh dua orang hadirin dari luar Pontian yang bukan perwakilan.
"Apakah perasaan saya? Di atas pentas itu kelihatan saya tidak menunjukkan reaksi apa-apa walau saya penuh sedar terhadap apa yang berlaku," katanya.
Malah, beliau juga menafikan turut diejek sebelum itu, sewaktu pengacara majlis menyebut nama dalam senarai protokol pada hari tersebut.
"Tiada yang "boo", bila nama saya disebut dan bunyi tepukan untuk saya, hampir sama sahaja dengan tepukan bila nama-nama tetamu lain disebut.
"Laporan pihak mereka yang mengatakan konon saya di "boo" banyak kali adalah tidak benar dan konon saya meninggalkan majlis lebih awal juga tidak betul.
"Itulah antara kerja mereka, mengadakan yg tiada dan meniadakan yang ada," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan