Peranan Timbalan Presiden Umno Tan Seri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal untuk menguatkan perjuangan parti perlu dihormati, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
“Sebagaimana kita menghormati dan menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden Umno, maka timbalan presiden (Muhyiddin) juga sepatutnya berada di tempat yang sama demi kepentingan parti,” ujar Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan itu.
Menurut blog Umno Cheras, ketua bahagian itu berkata, bagi memperkasa hala tuju perjuangan Umno, semua pihak perlu berganding bahu sebagai satu pasukan yang jitu.
“Sekarang bukan lagi masanya untuk kita saling curiga-mencurigai antara satu sama lain,” katanya lagi.
Dalam konteks Umno jelas beliau, kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dihormati kerana kedudukannya diputuskan oleh ahli-ahli parti.
Menurut beliau, walaupun Muhyiddin dan Shafie tidak lagi berada dalam kabinet tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh memberikan sumbangan kepada parti.
“Peranan mereka tidak boleh dihalang jika kita ingin menguatkan Umno terutama untuk berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya lagi.
Najib sebelum ini membuat rombakan kabinet kontroversi dengan menggugurkan Muhyddin sebagai timbalan perdana menteri dan Shafie sebagai menteri penuh.
Langkah itu dilihat susulan pandangan kritikal mereka dalam isu 1MDB, syarikat pelaburan negara yang sedang terbeban hutang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan