KOTA BHARU: PAS Pusat akan bermesyuarat pada Sabtu ini bagi
membincangkan tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap anggota
parti itu yang bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan
Harapan Baru (GHB).
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kepimpinan
tertinggi parti menerima laporan daripada setiap badan perhubungan
negeri berhubung penglibatan anggotanya dalam gerakan itu.
"Kita kumpulkan maklumat daripada negeri-negeri dan boleh kata semua
negeri menghantar laporan secara agak 'terperinci' tentang perkembangan
GHB di negeri masing-masing. Akan ada keputusan (terhadap anggota parti
terlibat GHB) selepas mesyuarat PAS Pusat 8 haribulan ini," katanya
ketika ditemui permberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej
Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Balai Islam Lundang di
Kota Baru, hari ini.
Ditanya mengenai sejauh mana aktiviti GHB yang cuba melebarkan
pengaruhnya di negeri ini, Amar yang juga timbalan menteri besar
Kelantan itu berkata ia masih tidak serius.
"Saya tengok pada mata kasar saya tak ada kesan yang besar walaupun
kita tak nafikan ada orang-orang yang aktif untuk mengembangkan GHB dan
ada orang PAS yang berminat (untuk menyertai GHB). Tapi setakat ini pada
pengamatan kita, tak serius. (Tapi) sebelum mereka menjadi parti yang
rasmi tidak banyak komen kita boleh buat," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengisytiharan sumber dana parti
sebagaimana yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
sebelum ini, Amar secara peribadi berpendapat undang-undang itu wajar
diikuti oleh mana-mana parti politik di negara ini.
"Bukan setuju, tapi kalau ada undang-undang kita akan patuh, sebab kita
terikat dengan undang-undang. Jangan salah faham. Jangan tulis saya
setuju pula, itu cerita lain. Benda ini kena rujuk kepada pimpinan
ataslah. Tapi pada kitalah, kita lebih kepada sumbangan kutip derma
daripada anggota parti," katanya.
Najib pada Sabtu lepas mencadangkan pengwujudan semula peraturan itu
yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus bukan hanya kepada
anggota parti malah kepada penyokong parti masing-masing.
Cadangan itu pernah dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun ditolak DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan