SHAH ALAM - Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berdepan masalah jika Pas meneruskan tindakan memutuskan hubungan dengan DAP.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, ini kerana Selangor ditadbir secara bersama oleh PR dengan kedudukan kerusi yang seimbang.

“Jika Pas memutuskan hubungan dengan DAP, ia akan mencetuskan ketidakstabilan politik di Selangor. Terutamanya dalam sesuatu perkara yang memerlukan undi majoriti.

“Sekiranya perkara itu berkaitan dasar PR, tentu Pas tiada masalah untuk sokong. Tetapi jika undi itu dikemukakan oleh DAP, Pas tidak akan sokong dan menyebabkan tiada kesepakatan di situ,” katanya, semalam.

Pas memiliki 15 kerusi Dun di Selangor, manakala DAP (15 kerusi), PKR (14 kerusi) dan BN (12 kerusi).

Kelmarin, Muktamar Tahunan Pas ke-61 meluluskan usul dibawa Dewan Ulama untuk putuskan hubungan dengan DAP.

Keputusan mengenai usul itu akan diputuskan Majlis Syura Ulama dalam masa yang ditentukan kemudian.

Mengulas lanjut, Samsul Adabi berkata, situasi itu berlainan dengan di Pulau Pinang kerana Pas hanya mempunyai seorang wakil Adun di negeri itu.

“Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri mengatakan kepimpinan negeri itu tidak memerlukan Pas. Jadi ia menunjukkan Pas seolah-olah tidak mempunyai kepentingan.

“Apabila Guan Eng cakap begitu, memang DAP tidak akan rugi apa-apa. Tetapi Pas yang rugi apabila mereka jadi Adun, tetapi tidak datangkan keuntungan kepada Pas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pas perlu menimbangkan banyak faktor jika mahu putus hubungan dengan DAP.