SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian pelaksanaan hudud di
Kelantan mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang Parlimen kali
ini.
Ini kerana RUU itu tersenarai pada kedudukan ke 28, iaitu usul terakhir
dalam kertas perintah, walhal sidang berkenaan berbaki lagi dua hari.
Setakat ini, sebanyak 12 RUU lagi belum dibahas Parlimen.
RUU pelaksanaan hudud difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
RUU itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta
Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) yang selama ini menghalang Kelantan
melaksanakan hudud di negeri itu, meskipun undang-undang Islam itu
sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak 1993.
Pindaan akta itu hanya memerlukan majoriti mudah dan tidak perlu mendapatkan sokongan 2/3 dewan.
Selepas memfailkan notis RUU hudud di Parlimen, DAP bertindak
memutuskan hubungan dengan Hadi atas alasan membelakangkan Pakatan
Rakyat selain menuduh Ahli Parlimen Marang itu sebagai seorang pemimpin
yang tidak amanah.
Hubungan Hadi dan DAP semakin keruh apabila Dewan Ulama PAS meluluskan
usul 'putus hubungan dengan DAP', sekaligus mempertahkan presidennya.
Bagaimanapun usul itu belum muktamad dan akan diputuskan Majlis Syura Ulama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan