THE RAKYAT POST
Sulaiman berkata, isu kematian mangsa yang dikaitkan dengan GST dibuat berdasarkan andaian dan tidak dapat disahkan.
JOHOR BAHRU Polis menasihatkan orang awam, terutama media supaya lebih adil dalam laporan dan mengelak menulis berdasarkan khabar angin.
Nasihat berkenaan diberikan susulan
laporan muka hadapan akhbar berbahasa Cina, China Press hari ini
mengenai pemilik kedai runcit berusia 67 tahun di Taman Sri Stulang yang
menggantung diri kerana tidak sanggup menghadapi Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasa pada 1 April lalu.
Dalam kes berkenaan, mayat mangsa Lim Tai
Chun ditemui tergantung di kedai runcit oleh anggota polis yang
menerima panggilan kecemasan pada jam 8.58 pagi Ahad.
Mangsa dipercayai meninggal dunia dua hari lalu.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten
Komisioner Sulaiman Salleh menafikan mangsa menggantung diri akibat
tidak sanggup menghadapi GST seperti yang dilaporkan oleh akhbar
berkenaan.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat atas kematian mengejut.
“Polis mengesahkan tiada bukti yang menunjukkan mangsa menggantung diri akibat tidak sanggup menghadapi GST,” katanya kepada The Rakyat Post, hari ini.
Pada masa yang sama, Sulaiman berkata, tiada nota bunuh diri ditinggalkan oleh mangsa.
Beliau menggesa pihak media supaya mengesahkan dahulu maklumat berkaitan apa-apa kes bagi mendapatkan kenyataan rasmi.
Sulaiman berkata, isu kematian mangsa yang dikaitkan dengan GST dibuat berdasarkan andaian dan tidak dapat disahkan.
“Mohon supaya lebih adil untuk semua pihak kerana pihak polis menyiasat berdasarkan fakta dan bukan khabar angin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan