MALAYSIAKINI
Kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor tidak mungkin terjejas dengan berakhirnya riwayat Pakatan Rakyat.
"Beliau hanya boleh disingkirkan melalui usul undi tidak percaya di
dewan undangan negeri, tetapi ini tidak mungkin berlaku," kata Prof Dr
Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-undang
dan Pentadbiran Awam, Majlis Profesor Negara.
"DAP hanya berkata Pakatan tidak lagi wujud. Parti itu tidak berkata ia
tidak akan menyokong Azmin. Adalah difahamkan, PKR, dengan Azmin sebagai
timbalan presidennya, mempunyai hubungan baik dengan DAP dan PAS,"
katanya.
Nik Ahmad Kamal berkata Azmin mungkin dipanggil menghadap oleh Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberi penjelasan
tentang keadaan yang wujud.
Para pemerhati percaya Azmin tidak akan menghadapi banyak masalah untuk
meyakinkan Sultan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti sama
ada dengan adanya atau tiadanya Pakatan Rakyat.
Kata mereka, Pakatan Rakyat tidak didaftarkan sebagai sebuah parti
gabungan, tetapi hanya merupakan suatu pakatan longgar yang ditubuhkan
pada April 2008.
Nik Ahmad Kamal mengulas tentang pengumuman DAP bahawa Pakatan Rakyat
tidak lagi wujud setelah Muktamar PAS meluluskan resolusi yang menggesa
parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Resolusi itu dibuat berikutan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan
presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai reaksi terhadap
rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kerusi, 15 daripadanya
disandang DAP, 15 PAS, 13 PKR, 12 Barisan Nasional dan satu Bebas.
Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Dekan Pusat Pengajian
Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata Azmin perlu mendapatkan
deklarasi berkanun mengenai sokongan daripada beberapa anggota dewan
undangan neegri itu untuk menjamain kedudukannya sebagai menteri besar.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan