KUALA LUMPUR - Jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin  mengenai 'kehebatan' lebuh raya di Malaysia menjadikan Dewan Rakyat hari ini sedikit panas.

Mana tidaknya, jawapan Rosnah yang mengakui bahawa sistem dan kualiti lebuh raya di Malaysia terbaik di Asia mendatangkan kemarahan Khalid Abdul Samad (Pas – Shah Alam).

"Ya jawapan itu betul,” demikian respons Rosnah ketika ditanya oleh Rozman Isli (BN - Labuan) mengenai ‎betulkah sistem dan kualiti lebuh raya dan jalan-jalan di Malaysia antara terbaik di Asia.‎

Jawapan itu, lantas membuatkan Khalid bangun sambil mengatakan: "..kita nampak, janganlah nak tipu," katanya.‎
Namun suasana kembali tenang selepas Fong Kui Lun  (DAP - Bukit Bintang) bangun untuk meneruskan sesi sidang dewan.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan awal Khalid mengenai ‎status Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan, Rosnah berkata konsesi di lebuh raya berkenaan sepatutnya tamat 2018.

"Plaza tol batu tiga dan sungai rasau merupakan kendalian di bawah konsesi syarikat Plus Berhad, berdasarkan perjanjian konsesi asal, konsesi Plus sepatutnya tamat pada tahun 2018.‎

"Berikutan untuk mengurangkan kesan beban orang awam, kita telah beberapa kali struktur semula konsesi bayaran tol ini, pada tahun 1999, 2002 dan 2011 penstrukturan  yang terkini pada 2011 ‎untuk meringankan beban pengguna.

“Sebagai contoh pada perjanjian asal kadar tol dikenakan pada batu 3 untuk  tahun 2015 sepatutnya RM 2,40  berbanding kadar semasa RM1,10 kekal sejak dari tahun 2005 lagi sehingga kini," katanya.