Jumaat, 26 Disember 2014

Palanivel, Prakash sila mohon maaf atau disaman – Mohan

 
Beliau menabur fitnah tidak berasas dengan menggelar kami berkelakuan seperti samseng pada hari mesyuarat tergempar itu.


MIC kecoh


PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan bersama Ketua MIC Cawangan Ampang, Datuk Muneandy memberi amaran kepada Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel serta Setiausaha Agungnya, A. Prakash Rao agar memohon maaf atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Mohan mendakwa, ia ekoran tindakan Prakash Rao memfitnah beliau apabila Setiausaha Agung MIC itu membuat laporan polis mendakwa mereka bertindak samseng dan menceroboh Ibu Pejabat MIC Pusat ketika mesyuarat tergempar berlangsung pada 18 Disember lalu.

Sehubungan T. Mohan turut membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang semalam sebagai mendesak Prakash Rao menarik balik segala fitnah berkenaan serta memohon maaf dengan kadar segera.

“Beliau menabur fitnah tidak berasas dengan menggelar kami berkelakuan seperti samseng pada hari mesyuarat tergempar itu. Kami mahu beliau (Prakash Rao) minta maaf segera.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya jika gagal memohon maaf kepada kami atas segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan,” tegasnya, lapor Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Mohan berkata beliau bersama Muneandy telah dipanggil oleh Palanivel untuk mengadakan perbincangan dan menghadiri perjumpaan itu.

“Presiden bersetuju berjumpa kami, dan selepas itulah kami memasuki Ibu Pajabat MIC dan berjumpa dengannya, itu bukan tindakan samseng atau pencerobohan seperti yang didakwa Prakash Rao.

“Prakash Rao dalam laporan polis mengadu bahawa terdapat beberapa orang gangster dan orang mabuk tidak dikenali kononnya bertindak memecahkan pintu bilik Jawatankuasa Kerja di bangunan MIC Pusat.

“Kebanyakan yang memprotes di sana sebenarnya ahli MIC dan juga ketua-ketua bahagian MIC. Apakah mereka ini merupakan gangster? Tidak adil melontarkan tuduhan palsu, lagipun tidak ada ahli yang mabuk ketika insiden itu, hentikan pembohongan,” katanya.

Beliau menambah: “Jika ada pun seperti yang didakwa Prakash Rao, kenapa perkara ini tidak dilaporkan kepada polis untuk bertindak segera pada hari yang sama. Kenapa tunggu tiga hari baru nak mengamuk,” soalnya lagi.

Mohan turut memberi amaran kepada Prakash Rao supaya segera memohon maaf serta memberi penjelasan mengenai aduan palsu yang diberikan itu.

“Kami akan memfailkan saman fitnah di Mahkamah ke atas Prakash Rao, sekiranya dia gagal memohon maaf,” tegasnya.

Tiada ulasan: